HARAKAH 10 Mac 2009

March 10, 2009

Sebanyak 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka ‘meraikan’ demokrasi.

Demikian hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula.

Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.

“Bagi mereka, rakyat harus bangkit semula memperbetulkan keadaan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih tokoh-tokoh politik yang mereka inginkan. Rakyat mengatakan bagi peluang kepada kedua-dua pihak. Jika rakyat memilih salah satu pihak, maka pihak itulah pilihan rakyat Perak. Kata mereka, sebagaimana sebuah acara kematian, begitulah acara demokrasi.

“Dun Perak sekarang ini dianggap sebagai telah ‘mati’. Kedua-dua pihak mempunyai ruang dan juga tanggungjawab untuk mempertahankan apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dilihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan, maka sekaligus SPR menggunakan ruang pilihan raya ini untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negeri Perak dengan andaian kedudukan Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah,”katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Sementara itu beliau berkeyakinan kehadiran media baru yang dikenali sebagai ‘kewartawanan sukarelawan’ akan terus menjadi medium yang paling berpengaruh dan paling berpengaruh sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Selambau.

Jelasnya media tradisi seperti akhbar merupakan media yang sangat berpihak yang mana hanya bersifat satu sisi dan satu arah.

“Internet adalah media yang tidak berpihak berbanding akhbar. Jika Harakah ia akan melihat daripada sisi PAS, jika Suara KeADILan daripada sisi KeADILan, Utusan Malaysia dan Berita Harian akan melihat daripada sisi Barisan Nasional. Maka bagi rakyat tidak ada medium lain yang mempunyai pelbagai sisi dan tidak berpihak ialah media baru iaitu internet.

” Blog merupakan kewartawanan individu di mana mereka meluah perasaan individu sebagai ahli masyarakat bukan seperti sebuah akhbar yang mempunyai ramai pengarang. Jika ada 5,000 blog rakyat di Perak, mereka dapat membaca 5,000 blog daripada sisi orang Perak. Ini berbeza dengan media sekular yang satu arah,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau tidak meragui bahawa media baru ini akan menguasai aliran informasi sehingga ke skala 86 peratus yang akan menguasai dan membentuk pilihan raya di kedua-dua Dun dan Parlimen itu.

Blogged with the Flock Browser

HARAKAH 10 Mac 2009

March 10, 2009

Wacana bincang isu Rukun Negara: Dr Puad Zakarshi tarik diri

Mohd Nor Yahya
Sun | Mar 08, 09 | 6:02:59 pm MYT

KOTA BHARU, 8 Mac (Hrkh) – Rukun Negara merupakan tonggak dan pedoman kepada rakyat Malaysia. Namun sekarang ada pihak yang tidak lagi menjunjung prinsip tersebut.

Mengapa ia berlaku, tentunya ada sebab dan musababnya.

Oleh itu bagi membolehkan rakyat Kelantan mengetahui dengan lebih jelas lagi, wacana perdana akan diadakan bagi membincangkan isu tersebut.

Wacana bertajuk ‘Rukun Negara Didaulat atau Dicabar’ akan diadakan pada 14 Mac ini bertempat di Balai Islam Lundang bermula jam 9 malam.

Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, akhbar Harakah dan Sinar Harian.

Malangnya seorang ahli panel yang sebelum ini menyatakan setuju hadir membahas isu tersebut iaitu anggota Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi difahamkan menarik diri pagi tadi.Image

Ekoran itu hanya tinggal dua ahli panel iaitu anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya, manakala moderatornya Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof.

Pihak penganjur menjelaskan biar pun Dr Puad tidak dapat hadir beliau kini berusaha mencari penggantinya bagi sama-sama membincangkan isu berkenaan.

Di parlimen, anggota parlimen Batu Pahat itu antara wakil rakyat BN paling lantang bersuara.

Sementara itu pengarah wacana perdana, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tajuk berkaitan Rukun Negara dipilih kerana ia menjadi tumpuan masyarakat sekarang.

Menurutnya wacana membincangkan tajuk terbabit perlu diadakan kerana masyarakat sekarang keliru dengan isu yang berlaku terutamanya ‘rampasan kuasa’ di Perak Febuari lalu.

“Sedangkan setiap rukun bermatlamat untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang beragama dengan menjunjung kesetiaan kepada raja, menghormati perlembagaan dan mengamalkan undang-undang serta menjaga adat susila.

“Namun sekarang semakin ramai pihak yang berani mempertikaikan prinsip Rukun Negara, dan raja sebagai simbol dan payung negara telah diseret ke kancah politik,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat akhir bagi menjayakan program terbabit, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Oleh itu beliau berharap orang ramai meluangkan masa hadir mengikuti wacana tersebut untuk mendapat maklumat terkini politik negara dan pentafsiran sebenar terhadap prinsip Rukun Negara.

Wacana itu merupakan siri ketiga diadakan. Siri pertama pertengahan tahun lepas menampilkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Prof Dr Abdul Aziz Bari dari UIAM.

Wacana kedua akhir tahun lalu menampilkan Naib Presden PAS, Dato’ Husam Musa dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin. – mj_

Blogged with the Flock Browser