Berita Harian 25 November 2008

November 25, 2008

Apresiasi filem antarabangsa di UM

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my



DARI KIRI, Abu Hassan, Khalid dan Ahmad berbincang pada majlis apresiasi filem sempena KLIFF2008.

Program ilmiah angkat KLIFF sebagai acara berprestij

APALAH ertinya acara festival filem jika pengisiannya tidak disertai dengan majlis ilmu. Apatah lagi jika festival filem itu membabitkan karyawan antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (KLIFF2008) yang diketahui banyak menghasilkan filem bermutu terutama yang menyentuh soal kemanusiaan dan kebudayaan secara global.

Justeru, apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur bergabung tenaga menganjurkan acara Apresiasi Filem Antarabangsa selama tiga hari, dari 26 November hingga 28 November.

Usaha itu sewajarnya dipuji kerana ia bukan saja menyemarakkan lagi acara itu tetapi turut menyuntik elemen ilmiah kepada mereka yang terbabit dalam acara ini secara langsung.

Pada sidang media ketika mengumumkan acara itu baru-baru ini di Auditorium FSSS UM baru-baru ini, Pensyarah kanan FSSS merangkap penasihat program, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, diskusi ini akan membicarakan mengenai tiga buah filem iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM), Captain Abu Raed dari Jordan dan Goodbye Life (Iran) dari pelbagai sudut.

Tambahnya, majlis apresiasi ini ibarat serampang dua mata untuk pihak penganjur.

‘Kami berpendapat, adalah lebih baik jika kita mengadakan sebuah majlis apresiasi seperti ini yang akan mengupas bukan saja filem kita sendiri tetapi juga filem dari luar. Malah, panel yang akan mengupas filem berkenaan juga akan membabitkan orang luar.

“Dengan cara ini sekurang-kurangnya filem kita akan menjadi buah mulut mereka apabila mereka kembali ke tanah air masing-masing. Saya percaya cari ini mampu untuk mempromosikan filem kita ke negara luar selain dari cara yang sedia ada,” katanya sambil memberitahu media asing juga akan diundang ke majlis apresiasi yang juga akan diadakan di Auditorium FSSS, UM.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengarah Pembangunan Finas, Khalid Maulod.

Sambil menafikan yang acara ini lebih kepada mengangkat filem asing, tegas Dr Abu Hassan, penggiat filem tempatan dan antarabangsa melihat penganjuran acara ini ke arah yang lebih positif.

“Mereka seharusnya menjadikan acara ini sebagai wadah untuk mereka berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai industri perfileman secara global selain mengkaji nilai estetika filem yang dipilih itu. Bukan mudah untuk filem luar negara ditayangkan di UM kecuali ia mempunyai nilai luar biasa di dalamnya.

“Di dunia ini terlalu banyak festival filem dan saya harap, dengan adanya acara apresiasi seperti ini, KLIFF dapat dilihat sebagai sebuah acara anugerah yang berprestij, mempunyai nilai intelektual sekali gus berbeza dengan festival yang sedia ada,” katanya yang menjangkakan 300 tetamu yang terdiri daripada penggiat filem tempatan dan luar negara termasuk pensyarah akademik, pelajar dan pengamal media bakal menghadiri acara ini.

KMBM membua tirai perbincangan

Bagi Ahmad Ibrahim atau Mat London pula, diskusi ini harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh semua penggiat filem kerana ada sesuatu yang berharga di dalamnya.

“Menerusi diskusi ini, kita sendiri dapat mendengar pandangan penggiat seni dari luar negara. Selain itu, dari acara ini, penggiat seni dapat membuat analisa dan perbincangan lebih mendalam mengenai sesebuah filem.

“Sebagai contoh, kita boleh melihat apakah rasionalnya mereka mengangkat visual hitam dan putih dalam filem KMBM. Manakala filem Captain Abu Raed pula, kita akan dapat mengetahui falsafah filem Jordan yang jarang dipertontonkan di negara ini.

“Begitu juga dengan Goodbye Life yang diarahkan oleh pengarah wanita sensasi, Ensieh Shah-Hosseini yang pernah mencipta polemik di kalangan media.Jadi apabila panel pada hari itu iaitu Shuhaimi Baba bertemu dengan Enssieh, kita akan dapat melihat cetusan idea dari dua pengarah wanita terkenal ini,”ujarnya.

Membuka tirai perbincangan adalah filem KMBM yang akan dikendalikan Mohamad Saleeh Rahamad dari UM sebagai moderator bersama tiga panel jemputan iaitu Norman Yusof dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim dan wakil Iran, Pejman Nasheri. Pengarah KMBM, Mamat Khalid bersama pelakon Rosyam Nor dan Umie Aida juga dijangka hadir pada hari berkenaan.

Pada hari kedua yang bermula jam 2 petang, filem Captain Abu Raed dibincangkan antara S M Zakil (moderator) bersama panel Profesor Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim (UM) dan Anwardi Datuk Jamil (FDAM) manakala perbincangan filem Goodbye Life menyusul pada hari ketiga. Acara ini turut bermula jam 2 petang menemukan Profesor Madya Datin Dr Hasmah Zainuddin (UM) selaku moderator bersama panel iaitu Profesor Madya Fuziah Kartini Hassan Basri (UKM) dan pengarah Shuhaimi Baba.

Sebelum sesi diskusi bermula, panel dan tetamu berpeluang menonton filem itu terlebih dulu.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: