KLIFF 2008 – UTUSAN MALAYSIA 13 Nov 2008

November 21, 2008

KLIFF 2008 sasar penggiat tempatan

TAHUN lalu, Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) berlangsung dengan jayanya biarpun ia tidak ramai dihadiri oleh kalangan penggiat dalam industri perfileman tempatan.

Pada festival filem anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan KLIFF Sdn. Bhd. itu, lebih separuh daripada jemputannya dikatakan datang dari luar negara.

Menyedari kekurangan itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berharap, tahun ini KLIFF mensasarkan 60 peratus khalayak daripada para penggiat perfileman tanah air.

KLIFF 2008 yang akan berlangsung mulai 26 hingga 29 November ini katanya, dijangka akan lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai pengamal perfileman pada festival tersebut.

“Harapan kita tinggi untuk melihat orang industri filem kita datang pada festival ini. Kalau boleh 60 peratus daripada audiens yang datang nanti kalangan penggiat filem tempatan.

“Itu adalah sasaran kami. Kali ini kami sudahpun menjemput secara terus persatuan-persatuan yang terletak di bawah Gafim (Gabungan Persatuan Filem Malaysia) untuk hadir.

“Kami telah pun minta senarai nama-nama jemputan ahli-ahli yang akan hadir pada festival ini daripada setiap persatuan terbabit,” katanya pada sidang media KLIFF 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi KLIFF Sdn. Bhd., Datuk Ab. Rauf Yusoh, Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Ahmad Ibrahim dan pensyarah Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Selain menarik pembabitan lebih ramai penggiat perfileman tanah air, KLIFF 2008 juga jelasnya, akan memperbaiki kekurangan pada tahun pertama penganjurannya tahun lalu.

Antaranya kata Mohd. Mahyidin, festival bertemakan Kepelbagaian Budaya itu tidak akan mengadakan lagi pameran tentang teknologi perfileman yang dibuka untuk orang ramai pada tahun lalu di Cineleisure, Damansara, Selangor.

“Sebaliknya, aktiviti itu akan digantikan dengan aktiviti padanan perniagaan atau business matching yang membabitkan para penerbit dan pengarah dengan para delegasi luar negara.

“Pendekatan itu diharap mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan termasuklah hak jualan dan edaran produk-produk kita di peringkat antarabangsa.

“Pameran tentang industri perfileman itu tidak akan diadakan lagi kerana ia kurang memberi kesan kepada pihak pemamer,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, KLIFF yang kali kedua dianjurkan pada tahun ini memperlihatkan semakin banyak pencalonan daripada negara-negara yang mengambil bahagian.

Menurut Pengarah KLIFF 2008, Wafa Abdul Kadir, tahun ini festival yang disertai negara-negara dari benua Asia, Afrika, Amerika Utara, Eropah dan Amerika Selatan itu berjaya menarik seramai 191 penyertaan.

“Penyertaan itu termasuklah bagi kategori Filem Cereka, Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari daripada 48 buah negara. Tahun lalu KLIFF 2007 menerima hanya 122 pencalonan dari 54 negara.

“Pada masa sama kami juga cuba memperkenalkan seni persembahan wayang kulit pada aktiviti seperti forum dan simposium yang akan dianjurkan sepanjang festival ini berlangsung,” ujarnya.

Katanya, senarai pendek lima calon bagi kategori Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari sudah pun dikeluarkan, manakala senarai finalis kategori Filem Cereka akan diumumkan pada 18 November ini.

Tambah Wafa, sepanjang KLIFF 2008 berlangsung, pelbagai acara seperti simposium, forum dan tayangan filem-filem yang akan mengambil bahagian pada festival itu.

Simposium misalnya, akan membincangkan banyak tajuk berkaitan industri perfileman di mana ia akan dijayakan oleh ramai penggiat terkenal seperti Nick Deocampo, Hassan Abd. Muthalib, Gotot Prakosa, Philip Cheah dan ramai lagi.

Pada malam pembukaan KLIFF 2008 yang akan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 26 November ini di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, para pemenang anugerah kategori Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari akan diumumkan.

Sementara para pemenang bagi kategori-kategori Filem Cereka akan disampaikan pada 29 November di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam dan ia dijangka akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Antara kategori Filem Cereka yang dipertandingkan ialah Filem Amerika Utara Terbaik, Filem Asia Terbaik, Filem Afrika Terbaik, Filem Amerika Selatan Terbaik, Filem Eropah Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Filem Dokumentari Terbaik.

Untuk maklumat lanjut berhubung KLIFF 2008, forum, simposium dan tayangan percuma filem-filem yang bertanding sila layari laman sesawang http://www.klfilmfest.com.

Blogged with the Flock Browser

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: