UTUSAN MALAYSIA, 16.11.2008

November 18, 2008

Di sebalik kebanjiran program luar

Niezam, UTUSAN MALAYSIA, 16 November 2008

Dalam keghairahan berdebat mengenai isu stesen radio swasta yang meminggirkan lagu tempatan, selama ini kita terlepas pandang bahawa stesen televisyen juga turut sama mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap kepentingan nasional.

Tanpa disedari boleh dikatakan saban hari stesen-stesen televisyen terutamanya swasta menyiarkan drama luar terutamanya dari Indonesia tanpa batasan.

Fenomena ini merupakan satu permasalahan baru terhadap dunia hiburan tanah air. Jika tidak ada langkah dilakukan bagi mengawalnya ini sudah tentu turut menyebabkan produksi tempatan gulung tikar.

Lambakan program asing ini mencerminkan kita sebenarnya terlalu mengagungkan karya luar. Mana silapnya? Adakah produk tempatan tidak mempunyai nilai membuatkan stesen televisyen terpaksa membeli drama-drama luar untuk tayangan umum?

Stesen televisyen berbayar Astro antara stesen yang paling banyak membeli program luar terutamanya dari Indonesia. Saluran Aruna, Oasis dan Kirana antara contoh saluran yang banyak menyiarkan drama-drama atau program dari negara jiran itu.

Begitu juga dengan TV3 yang turut menyiarkan semula drama bersiri Bawang Merah Bawang Putih atas alasan ia mendapat sambutan penonton. Itu tidak termasuk beberapa drama di stesen lain milik Media Prima.

Tindakan ini secara tidak langsung menafikan kemajuan budaya Malaysia yang sepatutnya diangkat tinggi. Lambakan program luar sebenarnya membunuh karya-karya tempatan.

Bayangkan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, apa akan jadi dengan budaya kita apabila semua saluran penyiaran dipenuhi dengan karya luar?

BUDAYA

Ia akan meruntuhkan budaya nasional yang sekarang ini sedikit demi sedikit terhakis dengan kemasukan anasir luar termasuklah melalui drama yang boleh diibaratkan perosak bangsa secara senyap.

Antara alasan menyiarkan program-program luar kerana ia dapat dibeli dengan harga murah. Tidak dinafikan untuk sesebuah drama luar, ia boleh dibeli dengan harga serendah RM3,000 satu episod berbanding program tempatan antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi durasi setengah jam.

Perbezaannya itu amat ketara tetapi soal keuntungan hendaklah diimbangkan supaya penjajahan budaya cara baru tidak berlaku.

Apa yang terjadi sekarang, kata Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Mohd. Rosli ialah apabila stesen televisyen cuba menidakkan karya tempatan.

Jurey berpendapat, stesen televisyen hanya mahu memikirkan keuntungan dengan membeli program luar dan kemudiannya dapat diulang siar beberapa kali.

Maka muncullah program-program tahyul yang merosakkan akidah dan seterusnya menyemai pemikiran karut kalangan masyarakat. Karya-karya tempatan pada dasarnya adalah lebih bagus tetapi ia tidak diiktiraf oleh stesen-stesen televisyen ini.

Pengkarya luar mendapat peluang yang jauh istimewa daripada karyawan tempatan yang terpaksa merempat sebelum hasil kerja masing-masing diterima.

Menolak tanggapan telenovela tempatan tidak bermutu, kata Jurey, hari ini penulis skrip mahu pun pengarah drama kebanyakannya terdiri daripada mereka yang hebat.

Malangnya ruang untuk drama tempatan amat terhad akibat slot yang ada diberikan kepada drama-drama luar selain sikap mereka dalam menilai hasil kerja karyawan tempatan sendiri.

“Kalau drama kita tak bagus, tak ada kualiti, mana mungkin drama kita dibeli dengan harga tinggi? Selain itu bukan mudah nak jual drama kepada stesen televisyen tempatan kerana kami terpaksa melalui beberapa peringkat termasuk semakan skrip sebelum ia boleh dijual,” katanya.

Ujar beliau lagi, jika keadaan seperti itu terus berlarutan, karya tempatan tidak mampu berkembang kerana karyawan tempatan tidak dapat bersaing dengan sihat akibat diskriminasi tersebut.

Perkara itu, kata Jurey, sudah dibangkitkan dan pihaknya sudah diberi tanggungjawab oleh Finas bagi membuat kajian sebelum ia dapat dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Gejala yang berlaku ini turut memperlihatkan cara stesen televisyen menguruskan dunia hiburan amat daif. Ini kerana mereka hanya memikirkan keuntungan tetapi dalam masa yang sama melakukan keruntuhan tidak hanya kepada industri hiburan sebaliknya kepada budaya tempatan itu sendiri.

Mereka sebenarnya telah menentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang merupakan asas kepada kehidupan kita pada hari ini. Kalau dilihat dari segi kualiti, drama-drama asing jauh lebih buruk dan busuk sifatnya dari aspek naratif dan cara pembikinan.

Tetapi stesen televisyen tempatan tidak mahu menerima kenyataan itu sebaliknya terus membiarkan pencerobohan budaya dan pemikiran itu menjadi lebih kolot.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, apa yang berlaku ini adalah disebabkan stesen-stesen televisyen itu tidak memiliki ciri-ciri intelektualisme yang sewajarnya.

Sebab itu, kata beliau, mereka dengan sewenang-wenangnya mempercayai karya luar sedangkan dalam masa yang sama telah meminggirkan karya tempatan yang lebih baik.

TAMADUN

Kesannya drama yang disiarkan itu tidak bersesuaian dengan tamadun setempat yang menjadi amalan turun temurun.

“Mereka ini hanya tahu ada drama yang hendak disiarkan tetapi tidak mahu berfikir adakah drama-drama itu bersesuaian atau tidak dengan tamadun kita? Itu yang menjadi persoalannya sekarang,” tegasnya.

Akibatnya sesetengah stesen televisyen juga akan menyimpan karya sampah yang langsung tidak ada kualiti ilmu, tatasusila dan juga tamadun.

Sinetron Indonesia kata Dr. Abu Hassan adalah satu karya yang cukup keji apabila mereka melihat manusia itu dengan penuh penghinaan dan kemudiannya disebarkan kepada pemikiran masyarakat di negara ini.

Mengambil contoh karya Aziz M. Osman menerusi drama bersiri Puteri siaran TV3 adalah jauh lebih baik dari aspek kualiti berbanding drama-drama seram dan percintaan dari Indonesia.

Bahayanya menyiarkan produk luar ini kerana hasil kerja yang dihasilkan itu tidak mengambil kira budaya dan sensitiviti masyarakat Malaysia.

Katanya, sejauh mana baiknya sesebuah karya itu, tidak kiralah ia dari Indonesia, Mexico atau Filipina tetapi tidak memahami budaya Malaysia, sudah pasti ia tidak boleh dijadikan panduan untuk dicontohi.

Ini kerana mereka menghasilkan karya itu untuk negara mereka tetapi tidak mengimport drama-drama dari negara kita. Jika bercakap soal kualiti, drama tempatan memiliki kekuatan dan sepadan dengan nilai dan identiti budaya masyarakat Malaysia yang diwarisi sejak sekian lama.

Kata Dr. Abu Hassan lagi, kesan jangka panjang pula apabila pelancong menonton drama-drama luar, ia akan memberi implikasi kejatuhan moral seolah-olah negara tidak mempunyai karya yang terbaik.

“Apa perasaan anda jika kita buka saluran televisyen tetapi drama yang disiarkan adalah dari negara lain? Ia menggambarkan kita seperti tidak berada di negara sendiri,” katanya.

Tindakan sesetengah stesen televisyen itu ujarnya haruslah ditentang supaya ia tidak menjadi penyebab terhadap ancaman kehancuran budaya pada masa akan datang.

Beliau menyeru semua penonton dan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak menonton karya asing sebagai tanda protes agar suatu hari nanti kita tidak hilang segala-galanya akibat kesilapan pengamal stesen televisyen ini.

Bagaimana hendak menjadi negara maju menjelang abad ke-21 sedangkan industri penyiaran yang amat berpengaruh itu gagal memainkan peranan dalam membina bangsa sebaliknya menjadi penyebab kepada keruntuhan tamadun kerana mengagungkan karya lain.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: