Apresiasi filem antarabangsa di UM

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


DARI KIRI, Abu Hassan, Khalid dan Ahmad berbincang pada majlis apresiasi filem sempena KLIFF2008.

Program ilmiah angkat KLIFF sebagai acara berprestij

APALAH ertinya acara festival filem jika pengisiannya tidak disertai dengan majlis ilmu. Apatah lagi jika festival filem itu membabitkan karyawan antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (KLIFF2008) yang diketahui banyak menghasilkan filem bermutu terutama yang menyentuh soal kemanusiaan dan kebudayaan secara global.

Justeru, apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur bergabung tenaga menganjurkan acara Apresiasi Filem Antarabangsa selama tiga hari, dari 26 November hingga 28 November.

Usaha itu sewajarnya dipuji kerana ia bukan saja menyemarakkan lagi acara itu tetapi turut menyuntik elemen ilmiah kepada mereka yang terbabit dalam acara ini secara langsung.

Pada sidang media ketika mengumumkan acara itu baru-baru ini di Auditorium FSSS UM baru-baru ini, Pensyarah kanan FSSS merangkap penasihat program, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, diskusi ini akan membicarakan mengenai tiga buah filem iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM), Captain Abu Raed dari Jordan dan Goodbye Life (Iran) dari pelbagai sudut.

Tambahnya, majlis apresiasi ini ibarat serampang dua mata untuk pihak penganjur.

‘Kami berpendapat, adalah lebih baik jika kita mengadakan sebuah majlis apresiasi seperti ini yang akan mengupas bukan saja filem kita sendiri tetapi juga filem dari luar. Malah, panel yang akan mengupas filem berkenaan juga akan membabitkan orang luar.

“Dengan cara ini sekurang-kurangnya filem kita akan menjadi buah mulut mereka apabila mereka kembali ke tanah air masing-masing. Saya percaya cari ini mampu untuk mempromosikan filem kita ke negara luar selain dari cara yang sedia ada,” katanya sambil memberitahu media asing juga akan diundang ke majlis apresiasi yang juga akan diadakan di Auditorium FSSS, UM.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengarah Pembangunan Finas, Khalid Maulod.

Sambil menafikan yang acara ini lebih kepada mengangkat filem asing, tegas Dr Abu Hassan, penggiat filem tempatan dan antarabangsa melihat penganjuran acara ini ke arah yang lebih positif.

“Mereka seharusnya menjadikan acara ini sebagai wadah untuk mereka berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai industri perfileman secara global selain mengkaji nilai estetika filem yang dipilih itu. Bukan mudah untuk filem luar negara ditayangkan di UM kecuali ia mempunyai nilai luar biasa di dalamnya.

“Di dunia ini terlalu banyak festival filem dan saya harap, dengan adanya acara apresiasi seperti ini, KLIFF dapat dilihat sebagai sebuah acara anugerah yang berprestij, mempunyai nilai intelektual sekali gus berbeza dengan festival yang sedia ada,” katanya yang menjangkakan 300 tetamu yang terdiri daripada penggiat filem tempatan dan luar negara termasuk pensyarah akademik, pelajar dan pengamal media bakal menghadiri acara ini.

KMBM membua tirai perbincangan

Bagi Ahmad Ibrahim atau Mat London pula, diskusi ini harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh semua penggiat filem kerana ada sesuatu yang berharga di dalamnya.

“Menerusi diskusi ini, kita sendiri dapat mendengar pandangan penggiat seni dari luar negara. Selain itu, dari acara ini, penggiat seni dapat membuat analisa dan perbincangan lebih mendalam mengenai sesebuah filem.

“Sebagai contoh, kita boleh melihat apakah rasionalnya mereka mengangkat visual hitam dan putih dalam filem KMBM. Manakala filem Captain Abu Raed pula, kita akan dapat mengetahui falsafah filem Jordan yang jarang dipertontonkan di negara ini.

“Begitu juga dengan Goodbye Life yang diarahkan oleh pengarah wanita sensasi, Ensieh Shah-Hosseini yang pernah mencipta polemik di kalangan media.Jadi apabila panel pada hari itu iaitu Shuhaimi Baba bertemu dengan Enssieh, kita akan dapat melihat cetusan idea dari dua pengarah wanita terkenal ini,”ujarnya.

Membuka tirai perbincangan adalah filem KMBM yang akan dikendalikan Mohamad Saleeh Rahamad dari UM sebagai moderator bersama tiga panel jemputan iaitu Norman Yusof dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim dan wakil Iran, Pejman Nasheri. Pengarah KMBM, Mamat Khalid bersama pelakon Rosyam Nor dan Umie Aida juga dijangka hadir pada hari berkenaan.

Pada hari kedua yang bermula jam 2 petang, filem Captain Abu Raed dibincangkan antara S M Zakil (moderator) bersama panel Profesor Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim (UM) dan Anwardi Datuk Jamil (FDAM) manakala perbincangan filem Goodbye Life menyusul pada hari ketiga. Acara ini turut bermula jam 2 petang menemukan Profesor Madya Datin Dr Hasmah Zainuddin (UM) selaku moderator bersama panel iaitu Profesor Madya Fuziah Kartini Hassan Basri (UKM) dan pengarah Shuhaimi Baba.

Sebelum sesi diskusi bermula, panel dan tetamu berpeluang menonton filem itu terlebih dulu.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , ,

Advertisements

HARIAN KOSMO 17 NOV 2008

November 23, 2008

Janji Dan Semangat KLIFF 2008

HARIAN KOSMO, 17 NOVEMBER 2008

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

MAHYIDDIN bersama jawatankuasa tertinggi KLIFF 2008 pada sidang media di ibu negara baru-baru ini.

JANJI pihak penganjur, Festival Filem Kuala Lumpur 2008 (KLIFF 2008) yang bakal berlangsung sekali lagi pada 26 hingga 29 November nanti, tidak akan meminggirkan pemain sebenar dalam liga perfileman nasional.

Sepatutnya itulah yang berlaku sejak daripada penganjuran pertama memandangkan walaupun festival itu bertaraf antarabangsa yang mengalungkan pengiktirafan dan menerima pencalonan daripada penggiat filem luar negara, jatuh bangun kejayaan KLIFF sebenarnya turut dijana karyawan tempatan.

Penglibatan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) ke dalam KLIFF tahun ini memberikan petanda baru bahawa ada kebangkitan dalam penganjuran acara besar yang ditunjangi oleh Wafa Tan Sri Abdul Kadir sebagai pengarah KLIFF Sdn. Bhd ini.

“Sebelum ini ada kecelaruan apabila persatuan-persatuan karyawan tempatan tidak dipanggil untuk sama-sama terlibat menjayakan acara nasional ini. Apabila tidak dipanggil, kitapun tak ambil tahu.

“Tapi apabila perkara ini diajak berbincang oleh pihak FINAS, saya terus kata okey dan akan beri kerjasama yang sepatutnya. Nama sahaja KLIFF, tapi ini projek perfileman negara, sebagai pemain sebenar, kami terpanggil juga untuk membantu kerana buruk-baiknya nanti, kami juga yang akan dikaitkan,” luah Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih akrab disapa Matt London, optimis.

Untuk KLIFF, FDAM bertanggungjawab memastikan agenda apresiasi filem turut mendapat kerjasama Universiti Malaya (UM) agar berjalan lancar dan memberi manfaat kepada seluruh khalayak filem.

Antara agenda utama adalah meraikan delegasi luar negara dengan malam pembukaan KLIFF 2008 yang akan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 26 November di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur dan malam kemuncak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 November. Pelbagai agenda lain disediakan termasuklah tayangan filem percuma, apresiasi filem, simposium dan padanan perniagaan turut dianjurkan sebagai pengisi acara sepanjang festival.

Berbanding tahun lepas, KLIFF 2008 tidak akan mengadakan ekspo perfileman memandangkan sambutan dan sokongan fizikal yang diterima tahun lepas di Cineleisure, Damansara tidak melayakkan ianya digelar ekspo perfileman seperti mana yang berlaku dalam festival antarabangsa yang lain.

“Jadi kali ini, kami fokuskan kepada padanan perniagaan atau dipanggil ‘business matching’. Dari situ para karyawan filem tempatan dapat membina rangkaian perniagaan filem yang lebih luas termasuklah pasaran, hak jualan dan edaran produk-produk Malaysia di peringkat antarabangsa,” beritahu Ketua Pengarah FINAS, Mohd. Mahyiddin Mustakim di majlis sidang media KLIFF di ibu negara, baru-baru ini.

KLIFF kali kedua yang dianjurkan tahun ini juga memperlihatkan peningkatan jumlah pencalonan daripada negara-negara yang mengambil bahagian.

Sementara itu menurut Wafa, festival yang disertai negara-negara dari benua Asia, Afrika, Amerika Utara, Eropah dan Amerika Selatan itu berjaya menarik seramai 191 penyertaan.

“Penyertaan termasuklah bagi kategori Filem Cereka, Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari daripada 48 buah negara. Tahun lalu KLIFF 2007 menerima hanya 122 pencalonan dari 54 negara.

“Untuk tahun ini, kami memperkenalkan seni persembahan tradisional wayang kulit pada aktiviti seperti forum dan simposium yang akan dianjurkan sepanjang festival ini berlangsung,” ujarnya.

Simposium perfileman yang akan berlangsung di Hotel Seri Pasifik, Kuala Lumpur ini akan melibatkan ramai penggiat terkenal seperti Nick Deocampo dari Filipina, Hassan Abd. Muthalib (Malaysia), Gotot Prakosa (Indonesia), Philip Cheah (Singapura) serta ramai lagi.

Senarai pendek lima calon bagi kategori Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari sudah pun dikeluarkan.

Penganugerah untuk tiga kategori ini akan disampaikan pada malam pembukaan manakala penganugerahan untuk kategori filem cereka akan disampaikan di malam kemuncak pada 29 November ini

Blogged with the Flock Browser

Tags:

Tiga hari apresiasi Kliff

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Acara julung kali ini mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur. Memilih Auditorium FSSS sebagai lokasi acara, tiga filem iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM), Captain Abu Raed dari Jordan dan Goodbye Life (Iran) akan dibincangkan secara mendalam.

Menariknya, perbincangan ini disertai penggiat filem tempatan dan luar negara termasuk pensyarah akademik. Sebelum perbincangan bermula, tayangan filem berkenaan diadakan terlebih dulu. Untuk hari pertama yang bermula jam 9.30 pagi, perbincangan menjurus filem KMBM dikendalikan Mohamad Saleeh Rahamad dari UM sebagai moderator bersama tiga panel jemputan iaitu Norman Yusof dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim dan wakil Iran, Pejman Nasheri. Pengarah KMBM, Mamat Khalid bersama pelakon Rosyam Nor dan Umi Aida juga dijangka hadir pada hari berkenaan.

Pada hari kedua yang bermula jam 2 petang, filem Captain Abu Raed dibincangkan antara S M Zakil (moderator) bersama panel Profesor Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim (UM) dan Anwardi Datuk Jamil (FDAM) manakala perbincangan filem Goodbye Life menyusul pada hari ketiga. Acara ini turut bermula jam 2 petang menemukan Profesor Madya Datin Dr Hasmah Zainuddin (UM) selaku moderator bersama panel iaitu Profesor Madya Fuziah Kartini Hassan Basri (UKM) dan pengarah Shuhaimi Baba.

Mengenai usaha acara ini dalam membawa kebaikan pada penggiat filem termasuk persada perfileman tempatan, penganjur yakin acara ini mampu menarik ramai penonton untuk hadir.

Pensyarah kanan FSSS merangkap penasihat program, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata penganjur menjangkakan seramai 300 penonton menjayakan acara tiga hari ini. Katanya, UM sebagai tuan rumah turut mengalukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar universiti dan pensyarah dalam bidang lain seperti sains antropologi dan geografi untuk memberikan pandangan.

“Acara ini sepatutnya menjadi platform untuk penggiat filem tempatan dan antarabangsa bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman. Malah acara ini adalah usaha kita merayakan filem tempatan dari sudut pandangan masyarakat luar negara.

“Bukan hasrat penganjur mahu menaikkan filem asing tetapi penonton berpeluang untuk kenal filem dari luar negara. Menerusi acara sebegini, kita dapat mempromosikan filem tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Sebelum ini sukar untuk menonton filem dari luar negara yang ditayangkan di UM kecuali mempunyai nilai luar biasa. Saya yakin acara ini bersama Kliff mampu menjadi dinamik dan lebih praktikal berdasarkan aspek intelektual yang digabungkan,” katanya.

Bagi Ahmad Ibrahim atau Mat London pula, acara ini mempunyai signifikan pada kerjasama antara penganjur yang pernah berhasrat untuk menganjurkan acara yang sama sebelum ini. Katanya, acara seperti ini dirancang pada tahun depan sebaliknya dipercepatkan menerusi kliff.

“Acara ini memberi peluang pada penggiat filem bersua muka dan kita sendiri dapat mendengar pandangan penggiat seni dari luar negara. Selain itu, dari acara ini, penggiat seni dapat membuat analisa dan perbincangan lebih mendalam mengenai sesebuah filem.

“Seperti KMBM, kita boleh melihat apakah naratif mengangkat visual hitam dan putih. Menerusi filem Captain Abu Raed pula, kita dapat mengetahui falsafah filem Jordan yang jarang dipertontonkan di negara ini. Begitu juga dengan Goodbye Life yang diarahkan Ensieh Shah-Hosseini dikenali iron lady apabila senario di negaranya, kehadiran pengarah wanita mencipta polemik di kalangan media.

“Ketiga filem ini akan dibincangkan antara penggiat filem tempatan dan luar negara. Untuk KMBM, kita berpeluang mendengar pandangan penggiat filem luar negara manakala penggiat filem tempatan pula turut memberikan pandangan terhadap filem mereka,” katanya.

Blogged with the Flock Browser

Tags:

Peluang cari pasaran pada KLIFF 2008

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Penganjur sedia ruang, tempat lebih selesa untuk aktiviti ‘business matching’ antara penggiat filem tempatan, luar negara

PADA tahun lalu, ketika Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) pertama diadakan, antara pengisian acara ialah penganjuran Ekspo Multimedia Kreatif dan Kandungan MSC 2007 (CMC Expo ‘07) bertempat di Kompleks Cathay, Cineleisure, Mutiara Damansara.

Begitupun, ekspo berkenaan dikatakan kurang memberikan kesan kepada pihak yang mengambil bahagian berikutan kompleks itu sendiri lebih berupa lokasi komersial.

Menurut Pengerusi Bersama KLIFF 2008 yang juga Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim, ekspo yang membabitkan 55 pemamer itu bukannya gagal menarik perhatian namun ia bagai tidak menepati golongan sasaran ekspo berkenaan.

“Walaupun jumlah pengunjungnya ramai, tetapi impak pada pihak pemamer agak kurang. Justeru, kami meniadakan acara itu pada edisi kedua ini, sebaliknya menggantikannya dengan aktiviti business matching,” katanya pada sidang akhbar kedua KLIFF di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Pengerusi KLIFF Sdn Bhd yang juga Pengerusi Bersama KLIFF 2008, Datuk Ab Rauf Yusoh; Pengarah KLIFF, Wafa Abd Kadir; Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim; Anggota Jawatankuasa Festival, Zahrin Aris; dan pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah.

KLIFF 2008 akan berlangsung selama empat hari di ibu kota bermula 26 November ini. Antara agenda yang disusun sepanjang festival ialah acara pembukaan, simposium dan business matching, majlis apresiasi filem, majlis tayangan perdana, acara tayangan filem untuk orang awam dan malam kemuncak festival.

Menurut beliau, menerusi aktiviti baru yang membabitkan antara lain peluang pemasaran serta pengeluaran produk iklan, televisyen dan filem itu, produser serta penyedia kandungan diharap dapat membina rangkaian hubungan, di samping mencari peluang memasarkan produk tempatan ke luar negara, serta mengadakan kerjasama dari segi penerbitan.

“Biarpun sesetengahnya tidak dapat menandatangani sebarang perjanjian persefahaman pada acara berkenaan, setidak-tidaknya mereka diharap dapat mempelajari sesuatu yang baru hasil pertemuan itu, seterusnya mendapatkan kenalan industri dari luar negara,” katanya.

Business matching akan berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 November di Seri Pacific Kuala Lumpur, mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

Berikutan jumlah peserta bagi acara berkenaan agak terhad, beliau meminta pihak yang berminat untuk menyertainya berhubung dengan jawatankuasa festival atau menghubungi Finas.

Mengenai pembabitan penggiat industri filem itu sendiri yang dikatakan kurang memberangsangkan setiap kali festival sebegini diadakan, Mohd Mahyidin berkata, secara umumnya keadaan itu sentiasa berlaku tanpa mengira festival.

“Selalunya, perancangan dan harapan kita memang tinggi apabila menganjurkan sesuatu festival atau acara perfileman. Kita mahukan acara terbabit memberikan manfaat kepada penggiat dan industri filem itu sendiri. Namun, pada masa yang sama, kita juga tidak boleh memaksa mereka mengambil bahagian.

“Jika kita mendapatkan sehingga 60 peratus daripada penggiat profesional industri untuk turut serta, ia sudah dianggap cukup berjaya. Pada kali ini, memang kami menjemput semua persatuan terbabit mengambil bahagian. Mereka diminta untuk menghantar peserta bagi menjayakan agenda seperti seminar yang diadakan. Kini, menjadi tanggungjawab persatuan untuk memastikan anggotanya datang memberikan sokongan,” katanya.

Pada edisi kedua ini, KLIFF turut mendapat sokongan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang bertanggungjawab menganjurkan FDAM Film Appreciation pada 26 hingga 28 November, bertempat di UM, jam 8 hingga 10.30 malam. Pada majlis apresiasi ini, sebanyak tiga filem dipilih untuk diperbahaskan iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (Malaysia), Captain Abu Raed (Jordan) dan Goodbye Life (Iran).

Blogged with the Flock Browser

Tags:

KLIFF 2008 sasar penggiat tempatan

TAHUN lalu, Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) berlangsung dengan jayanya biarpun ia tidak ramai dihadiri oleh kalangan penggiat dalam industri perfileman tempatan.

Pada festival filem anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan KLIFF Sdn. Bhd. itu, lebih separuh daripada jemputannya dikatakan datang dari luar negara.

Menyedari kekurangan itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berharap, tahun ini KLIFF mensasarkan 60 peratus khalayak daripada para penggiat perfileman tanah air.

KLIFF 2008 yang akan berlangsung mulai 26 hingga 29 November ini katanya, dijangka akan lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai pengamal perfileman pada festival tersebut.

“Harapan kita tinggi untuk melihat orang industri filem kita datang pada festival ini. Kalau boleh 60 peratus daripada audiens yang datang nanti kalangan penggiat filem tempatan.

“Itu adalah sasaran kami. Kali ini kami sudahpun menjemput secara terus persatuan-persatuan yang terletak di bawah Gafim (Gabungan Persatuan Filem Malaysia) untuk hadir.

“Kami telah pun minta senarai nama-nama jemputan ahli-ahli yang akan hadir pada festival ini daripada setiap persatuan terbabit,” katanya pada sidang media KLIFF 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi KLIFF Sdn. Bhd., Datuk Ab. Rauf Yusoh, Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Ahmad Ibrahim dan pensyarah Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Selain menarik pembabitan lebih ramai penggiat perfileman tanah air, KLIFF 2008 juga jelasnya, akan memperbaiki kekurangan pada tahun pertama penganjurannya tahun lalu.

Antaranya kata Mohd. Mahyidin, festival bertemakan Kepelbagaian Budaya itu tidak akan mengadakan lagi pameran tentang teknologi perfileman yang dibuka untuk orang ramai pada tahun lalu di Cineleisure, Damansara, Selangor.

“Sebaliknya, aktiviti itu akan digantikan dengan aktiviti padanan perniagaan atau business matching yang membabitkan para penerbit dan pengarah dengan para delegasi luar negara.

“Pendekatan itu diharap mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan termasuklah hak jualan dan edaran produk-produk kita di peringkat antarabangsa.

“Pameran tentang industri perfileman itu tidak akan diadakan lagi kerana ia kurang memberi kesan kepada pihak pemamer,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, KLIFF yang kali kedua dianjurkan pada tahun ini memperlihatkan semakin banyak pencalonan daripada negara-negara yang mengambil bahagian.

Menurut Pengarah KLIFF 2008, Wafa Abdul Kadir, tahun ini festival yang disertai negara-negara dari benua Asia, Afrika, Amerika Utara, Eropah dan Amerika Selatan itu berjaya menarik seramai 191 penyertaan.

“Penyertaan itu termasuklah bagi kategori Filem Cereka, Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari daripada 48 buah negara. Tahun lalu KLIFF 2007 menerima hanya 122 pencalonan dari 54 negara.

“Pada masa sama kami juga cuba memperkenalkan seni persembahan wayang kulit pada aktiviti seperti forum dan simposium yang akan dianjurkan sepanjang festival ini berlangsung,” ujarnya.

Katanya, senarai pendek lima calon bagi kategori Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari sudah pun dikeluarkan, manakala senarai finalis kategori Filem Cereka akan diumumkan pada 18 November ini.

Tambah Wafa, sepanjang KLIFF 2008 berlangsung, pelbagai acara seperti simposium, forum dan tayangan filem-filem yang akan mengambil bahagian pada festival itu.

Simposium misalnya, akan membincangkan banyak tajuk berkaitan industri perfileman di mana ia akan dijayakan oleh ramai penggiat terkenal seperti Nick Deocampo, Hassan Abd. Muthalib, Gotot Prakosa, Philip Cheah dan ramai lagi.

Pada malam pembukaan KLIFF 2008 yang akan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 26 November ini di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, para pemenang anugerah kategori Filem Pendek, Animasi dan Dokumentari akan diumumkan.

Sementara para pemenang bagi kategori-kategori Filem Cereka akan disampaikan pada 29 November di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam dan ia dijangka akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Antara kategori Filem Cereka yang dipertandingkan ialah Filem Amerika Utara Terbaik, Filem Asia Terbaik, Filem Afrika Terbaik, Filem Amerika Selatan Terbaik, Filem Eropah Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Filem Dokumentari Terbaik.

Untuk maklumat lanjut berhubung KLIFF 2008, forum, simposium dan tayangan percuma filem-filem yang bertanding sila layari laman sesawang http://www.klfilmfest.com.

Blogged with the Flock Browser

Tags:

UTUSAN MALAYSIA, 16.11.2008

November 18, 2008

Di sebalik kebanjiran program luar

Niezam, UTUSAN MALAYSIA, 16 November 2008

Dalam keghairahan berdebat mengenai isu stesen radio swasta yang meminggirkan lagu tempatan, selama ini kita terlepas pandang bahawa stesen televisyen juga turut sama mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap kepentingan nasional.

Tanpa disedari boleh dikatakan saban hari stesen-stesen televisyen terutamanya swasta menyiarkan drama luar terutamanya dari Indonesia tanpa batasan.

Fenomena ini merupakan satu permasalahan baru terhadap dunia hiburan tanah air. Jika tidak ada langkah dilakukan bagi mengawalnya ini sudah tentu turut menyebabkan produksi tempatan gulung tikar.

Lambakan program asing ini mencerminkan kita sebenarnya terlalu mengagungkan karya luar. Mana silapnya? Adakah produk tempatan tidak mempunyai nilai membuatkan stesen televisyen terpaksa membeli drama-drama luar untuk tayangan umum?

Stesen televisyen berbayar Astro antara stesen yang paling banyak membeli program luar terutamanya dari Indonesia. Saluran Aruna, Oasis dan Kirana antara contoh saluran yang banyak menyiarkan drama-drama atau program dari negara jiran itu.

Begitu juga dengan TV3 yang turut menyiarkan semula drama bersiri Bawang Merah Bawang Putih atas alasan ia mendapat sambutan penonton. Itu tidak termasuk beberapa drama di stesen lain milik Media Prima.

Tindakan ini secara tidak langsung menafikan kemajuan budaya Malaysia yang sepatutnya diangkat tinggi. Lambakan program luar sebenarnya membunuh karya-karya tempatan.

Bayangkan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, apa akan jadi dengan budaya kita apabila semua saluran penyiaran dipenuhi dengan karya luar?

BUDAYA

Ia akan meruntuhkan budaya nasional yang sekarang ini sedikit demi sedikit terhakis dengan kemasukan anasir luar termasuklah melalui drama yang boleh diibaratkan perosak bangsa secara senyap.

Antara alasan menyiarkan program-program luar kerana ia dapat dibeli dengan harga murah. Tidak dinafikan untuk sesebuah drama luar, ia boleh dibeli dengan harga serendah RM3,000 satu episod berbanding program tempatan antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi durasi setengah jam.

Perbezaannya itu amat ketara tetapi soal keuntungan hendaklah diimbangkan supaya penjajahan budaya cara baru tidak berlaku.

Apa yang terjadi sekarang, kata Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Mohd. Rosli ialah apabila stesen televisyen cuba menidakkan karya tempatan.

Jurey berpendapat, stesen televisyen hanya mahu memikirkan keuntungan dengan membeli program luar dan kemudiannya dapat diulang siar beberapa kali.

Maka muncullah program-program tahyul yang merosakkan akidah dan seterusnya menyemai pemikiran karut kalangan masyarakat. Karya-karya tempatan pada dasarnya adalah lebih bagus tetapi ia tidak diiktiraf oleh stesen-stesen televisyen ini.

Pengkarya luar mendapat peluang yang jauh istimewa daripada karyawan tempatan yang terpaksa merempat sebelum hasil kerja masing-masing diterima.

Menolak tanggapan telenovela tempatan tidak bermutu, kata Jurey, hari ini penulis skrip mahu pun pengarah drama kebanyakannya terdiri daripada mereka yang hebat.

Malangnya ruang untuk drama tempatan amat terhad akibat slot yang ada diberikan kepada drama-drama luar selain sikap mereka dalam menilai hasil kerja karyawan tempatan sendiri.

“Kalau drama kita tak bagus, tak ada kualiti, mana mungkin drama kita dibeli dengan harga tinggi? Selain itu bukan mudah nak jual drama kepada stesen televisyen tempatan kerana kami terpaksa melalui beberapa peringkat termasuk semakan skrip sebelum ia boleh dijual,” katanya.

Ujar beliau lagi, jika keadaan seperti itu terus berlarutan, karya tempatan tidak mampu berkembang kerana karyawan tempatan tidak dapat bersaing dengan sihat akibat diskriminasi tersebut.

Perkara itu, kata Jurey, sudah dibangkitkan dan pihaknya sudah diberi tanggungjawab oleh Finas bagi membuat kajian sebelum ia dapat dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Gejala yang berlaku ini turut memperlihatkan cara stesen televisyen menguruskan dunia hiburan amat daif. Ini kerana mereka hanya memikirkan keuntungan tetapi dalam masa yang sama melakukan keruntuhan tidak hanya kepada industri hiburan sebaliknya kepada budaya tempatan itu sendiri.

Mereka sebenarnya telah menentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang merupakan asas kepada kehidupan kita pada hari ini. Kalau dilihat dari segi kualiti, drama-drama asing jauh lebih buruk dan busuk sifatnya dari aspek naratif dan cara pembikinan.

Tetapi stesen televisyen tempatan tidak mahu menerima kenyataan itu sebaliknya terus membiarkan pencerobohan budaya dan pemikiran itu menjadi lebih kolot.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, apa yang berlaku ini adalah disebabkan stesen-stesen televisyen itu tidak memiliki ciri-ciri intelektualisme yang sewajarnya.

Sebab itu, kata beliau, mereka dengan sewenang-wenangnya mempercayai karya luar sedangkan dalam masa yang sama telah meminggirkan karya tempatan yang lebih baik.

TAMADUN

Kesannya drama yang disiarkan itu tidak bersesuaian dengan tamadun setempat yang menjadi amalan turun temurun.

“Mereka ini hanya tahu ada drama yang hendak disiarkan tetapi tidak mahu berfikir adakah drama-drama itu bersesuaian atau tidak dengan tamadun kita? Itu yang menjadi persoalannya sekarang,” tegasnya.

Akibatnya sesetengah stesen televisyen juga akan menyimpan karya sampah yang langsung tidak ada kualiti ilmu, tatasusila dan juga tamadun.

Sinetron Indonesia kata Dr. Abu Hassan adalah satu karya yang cukup keji apabila mereka melihat manusia itu dengan penuh penghinaan dan kemudiannya disebarkan kepada pemikiran masyarakat di negara ini.

Mengambil contoh karya Aziz M. Osman menerusi drama bersiri Puteri siaran TV3 adalah jauh lebih baik dari aspek kualiti berbanding drama-drama seram dan percintaan dari Indonesia.

Bahayanya menyiarkan produk luar ini kerana hasil kerja yang dihasilkan itu tidak mengambil kira budaya dan sensitiviti masyarakat Malaysia.

Katanya, sejauh mana baiknya sesebuah karya itu, tidak kiralah ia dari Indonesia, Mexico atau Filipina tetapi tidak memahami budaya Malaysia, sudah pasti ia tidak boleh dijadikan panduan untuk dicontohi.

Ini kerana mereka menghasilkan karya itu untuk negara mereka tetapi tidak mengimport drama-drama dari negara kita. Jika bercakap soal kualiti, drama tempatan memiliki kekuatan dan sepadan dengan nilai dan identiti budaya masyarakat Malaysia yang diwarisi sejak sekian lama.

Kata Dr. Abu Hassan lagi, kesan jangka panjang pula apabila pelancong menonton drama-drama luar, ia akan memberi implikasi kejatuhan moral seolah-olah negara tidak mempunyai karya yang terbaik.

“Apa perasaan anda jika kita buka saluran televisyen tetapi drama yang disiarkan adalah dari negara lain? Ia menggambarkan kita seperti tidak berada di negara sendiri,” katanya.

Tindakan sesetengah stesen televisyen itu ujarnya haruslah ditentang supaya ia tidak menjadi penyebab terhadap ancaman kehancuran budaya pada masa akan datang.

Beliau menyeru semua penonton dan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak menonton karya asing sebagai tanda protes agar suatu hari nanti kita tidak hilang segala-galanya akibat kesilapan pengamal stesen televisyen ini.

Bagaimana hendak menjadi negara maju menjelang abad ke-21 sedangkan industri penyiaran yang amat berpengaruh itu gagal memainkan peranan dalam membina bangsa sebaliknya menjadi penyebab kepada keruntuhan tamadun kerana mengagungkan karya lain.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , , ,

ANUGERAH SKRIN 2008

November 10, 2008

8-Nov-2008 | Oleh: Ellyna Ali

Kala Malam Bulan Mengambang Diiktiraf Lagi Media Galeri

jQuery(document).ready(function() { jQuery(‘#mycarousel’).jcarousel(); });


Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR,  8 NOV 2008:  Filem hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang Terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. membolot 3 hadiah utama dalam Anugerah Skrin 2008 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Mamat Khalid) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) yang dimenangi Rosyam Nor.

Keputusan itu mengulangi kejayaan Mamat dan Kala Malam Bulan Mengambang pada Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) di Putrajaya  lalu.

Filem Sepi arahan Kabir Bhatia pula membolot kategori Pelakon Wanita Terbaik (Filem) yang dimenangi Baizura Kahar, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem – Nasha Aziz) dan Lakon Layar Terbaik (Mira Mustaffa & ARA). Manakala anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) diraih Zaefrul Nordin melalui watak Allahyarham Datuk Onn dalam filem 1957: Hati Malaya.

Bagi kategori Drama Terbaik pula ia menyaksikan kejayaan Drama Suara Saleha terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd dicanang sebagai pemenang. Drama itu arahan Murali Abdullah itu dibintangi Fauziah Nawi, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Raja Azura.
 
Ketika menerima trofi produser Suara Saleha, Ziela Jalil, berkata dia amat bersyukur kerana ini adalah kali keempat drama terbitannya memenangi kategori terbaik sejak Anugerah Skrin dianjurkan oleh TV3.

Majlis yang ke udara secara langsung itu dihoskan oleh Adlin Aman Ramlie dan Nurul Syuhada Mohd Zin. Ia diserikan oleh penyampai seperti Maya Karin, Sofia Jane, Datuk Jalaluddin Hassan, Remy Ishak, Erra Fazira, Saiful Apek, Kanchana Devi, Que Haidar dan Afdlin Shauki.

Artis yang membuat persembahan pula termasuklah Nikki, Noryn Aziz, Datuk Siti Nurhaliza, Adibah Noor, Lah VE, Faradhiya dan Jaclyn Victor. Selain itu pelakon Eryputra dan Adiputra juga menunjukkan bakat nyanyian mereka.

Hadiah-hadiah utama disampaikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abd Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.    

Sekalipun Dewan Merdeka penuh sesak malam tadi, namun agak mengecewakan kerana beberapa pelakon terkenal tidak hadir menerima trofi kemenangan masing-masing seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud, Baizura Kahar, Rosyam dan Nasha.
 
Barisan juri bagi kategori filem adalah pengarah Aziz M Osman, Othman Hafsham, pengkitik filem A Wahab Hamzah, Ketua Editor murai.com.my Roslen Fadzil dan pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah selaku ketua juri.
  
Manakala bagi ketegori drama antara barisan jurinya adalah Fatimah Abu Bakar, Shuhaimi Baba dan Profesor Dr Naim Ahmad.

Berikut adalah keputusan rasmi Anugerah Skrin 2008:

Rancangan Bual Bicara Terbaik
Macam-Macam Aznil

Rancangan Realiti Terbaik
So You Think You Can Dance?

Rancangan Hiburan Terbaik
Project Superstar
 
Rancangan Dokumentari/ Majalah Terbaik
Majalah 3

Laporan Khas Berita Terbaik
Orang Asli Terancam

Rancangan Muzik Terbaik
Anugerah Juara Lagu 2008

Lakon Layar Terbaik
Mira Mustaffa dan ARA – Sepi

Lakon TV Terbaik
Anuar Idris – Wasiat

Drama Komedi Terbaik
Mr. Mama

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama)
Norma Damanhuri (Tuhan Pun Tahu)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama)
Que Haidar (Tuhan Pun Tahu)

Pelakon Lelaki Terbaik (Drama)
Zamarul Hisham (Ihsan)

Pelakon Wanita Terbaik (Drama)
Fauziah Datuk Ahmad Daud (Suara Saleha)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem)
Zaefrul Nordin (Hati Malaya)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem)
Nasha Aziz (Sepi)

Pelakon Wanita Terbaik (Filem)
Baizura Kahar  (Sepi)

Pelakon Lelaki Terbaik (Filem)
Rosyam Nor (Kala Malam Bulan Mengambang)

Anugerah Khas Juri
Yasmin Ahmad (Pencapaian Luar Negara)

Pengarah Terbaik (Filem)
Mamat Khalid (Kala Malam Bulan Mengambang)

Pengarah Terbaik (Drama)
Murali Abdullah (Suara Saleha)

Filem Terbaik
Kala Malam Bulan Mengambang

Drama Terbaik
Suara Saleha

Blogged with the Flock Browser

Tags: , ,