Konvensional Yang Baru, METRO AHAD 26.10.2008

October 30, 2008

Konvensional yang baru

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my
METRO AHAD, Rap, 26.10.2008

Bagaimanapun, Tiara akui bukan mudah untuk merealisasikan impian dan matlamat itu. Sukar kerana Malaysia belum ada dalam atlas dunia perfileman antarabangsa. Kita bukan Hong Kong atau Bollywood yang semakin dilihat oleh pemerhati Barat.

Menurut Tiara, selain kos tinggi diperlukan untuk melobi dan menembusi pasaran di sana, pembabitan pihak kerajaan sangat diperlukan, terutama untuk mencipta jaringan hubungan karyawan, pemasar dan pemamer festival filem antarabangsa.

“Cuma saya beruntung kerana mempunyai rakan sepasukan yang bersemangat untuk menjayakan misi itu. Bila kita dikenali seperti Hong Kong atau Bollywood, mungkin produk kita lebih mudah untuk memasukinya.

“Namun sebelum meminta bantuan kerajaan, karyawan terlebih dulu perlu membangunkan filem dan bakat yang bagus, sesuai dengan piawaian antarabangsa.

“Yang penting, ia harus konsisten bagi mengukuhkan kepercayaan kepada kerajaan kita mahupun penganjur luar,” kata Tiara.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam majalah Sinema Malaysia terbitan Finas (keluaran Januari/ Mac 2008) turut menyentuh soal pemasaran global produk seni tempatan.

“Tiba masanya kita memberi penekanan dalam aspek pengkomersialan dan pemasaran yang lebih strategik supaya hasil seni dan budaya tempatan dapat bukan saja wujud dalam pameran atau persembahan, tetapi boleh dijadikan punca pendapatan,” Shafie dipetik sebagai berkata.

Mengikut perkiraan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), nilai pasaran produk budaya global antara 1980 hingga 1998 saja berjumlah RM362.6 juta hingga RM1.4 bilion, sekali gus menunjukkan kemampuan bidang ini dalam menjana pendapatan negara dan penduduknya.

Peluang begini harus diambil oleh karyawan kita, serentak dengan penghasilan karya sebagai komoditi lebih bermutu dan memenuhi kehendak pasaran.

Tidak semestinya menggunakan teknologi canggih yang menelan belanja besar, tetapi ‘menjual’ budaya menerusi filem mempunyai potensi yang bukan sedikit.

Bagaimanapun, seperti kata Tiara, pasukan pemasaran juga penting untuk ‘penggempur’ pasaran luar. Pengalaman Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50 itu harus menjadi pemangkin dan panduan untuk pihak berwajib menyusun atur gerakan seterusnya.

Secara umumnya, penggiat kita masih dengan kaedah konvensional, termasuk melalui pemameran, festival atau menyertai acara pertukaran filem di negara yang bertindak selaku penganjur.

Kuala Lumpur misalnya menjadi tuan rumah kali kedua untuk penganjuran Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (Kliff) yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 November tahun ini, yang juga dilihat sebagai cabang usaha yang baik dalam memasarkan karya tempatan kepada delegasi luar.

Dalam hal ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) melipat gandakan usaha ke arah meneroka pasaran luar, termasuk baru-baru ini mereka cuba memasuki pasaran filem Amerika selepas mencuba pasaran perfileman antarabangsa di Perancis dan Hong Kong.

Pada 5 November hingga 12 November depan, Finas membawa produk terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Hez Communication, Les’Copaque Production, LineClear Production dan Take One Production untuk menyertai American Film Market (AFM) di Santa Monica, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, dalam usaha pemasaran global ini Pensyarah Kanan, Jabatan Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah mempunyai pandangan tersendiri.

Bukan menidakkan usaha yang dijalankan agensi kerajaan atau orang perseorangan tetapi melalui pengamatannya, dia mendapati sukar untuk terus bergantung dengan kaedah konvensional.

“Secara positif dan rasional di sini, boleh saya katakan yang kita tidak akan berkemampuan untuk memasuki pasaran global secara konvensional seperti pemameran atau sekadar menyertai festival filem.

“Kita perlu tengok dengan lebih positif sebab filem kita tiada kemampuan untuk memasuki keperluan kandungan yang boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa. Ini kelemahan filem atau naskhah kita.

“Kita terlalu ‘membesarkan’ diri untuk menjadi antarabangsa sehingga memperkecilkan pula kekuatan yang boleh dipasarkan seperti budaya, nilai dan peradaban serta bahasa,” kata Abu Hassan.

Beliau mengambil karya dari Iran sebagai contoh terbaik dalam perbandingan ini. Secara logiknya, kata beliau, Iran tidak mampu bersaing dengan kecanggihan Hollywood atau Eropah, tetapi mereka masih boleh diterima masyarakat antarabangsa kerana faktor tadi.

“Mereka memasarkan nilai budaya dan peradaban bangsa mereka,” katanya.

Sikap ‘mengHollywood’ atau ‘memBollywoodkan’ karya sendiri bukan jaminan atau kepastian untuk diterima oleh penonton luar. Menurutnya, tidak semestinya dengan memasukkan elemen teknologi seperti imejan janaan komputer (CGI) boleh terus diterima oleh masyarakat antarabangsa.

“Kita selalu berkhayalan yang karya kita boleh diterima, tetapi itu bukan jaminan. Filem kecil seperti dari Cuba, Iran, Azerbaijan dan Vietnam misalnya mampu menarik perhatian luar dan mereka diterima di peringkat antarabangsa.

“Lebih bagus apabila mereka sentiasa mendapat perhatian daripada pemerhati di sana. Setiap kali menyertai festival, karya mereka dinanti-nanti,” katanya.

Pun begitu, menurut Abu Hassan, tiada salahnya untuk memasang angan dan cita-cita bagi memasarkan produk kita ke peringkat antarabangsa.

Namun, salahnya kalau karyawan kita lebih gemar membentuk kepercayaan atau sikap ‘mengHollywoodkan’ filem kita, dengan harapan supaya ia diterima. Itu sikap yang jelas salah, kata Abu Hassan.

Seperkara lagi saranannya, karyawan dan usahawan seni negara perlu mengubah cara berfikir untuk menguruskan industri sinema. Tidak terikat di dalam landasan sama dengan menayangkan filem di panggung besar saja.

“Kita sepatutnya tidak terus bergantung kepada konsep tayangan konvensional semata-mata. Perkembangan teknologi yang membolehkan munculnya media baru membuka ruang satu lagi untuk mereka ‘menjual’ filem atau mempromosi setiap karya.

“Media baru yang bersifat antarabangsa seperti Youtube, i-Tunes dan Google adalah contoh terbaik,” katanya.

Menurut Abu Hassan, Malaysia hanya mempunyai 77 panggung, sedangkan jumlah penerbitan filem semakin bertambah. Itupun belum dicampur dengan kemasukan filem luar dari Hollywood, Hong Kong, Bollywood, Korea dan sebagainya.

Beliau menyarankan penggiat atau pemasar filem tempatan mengejar media baru, terutama dalam usaha menarik perhatian penonton yang bukan dalam arus perdana.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: