Ulasan BI POP Berita Minggu

October 12, 2008

Teater ‘2 Jam’ Undang Interpretasi Mendalam
oleh Siti Ruqaiyah Hashim
Petikan Bi-Pop halaman 16, Berita Minggu 31 Ogos 2008

Ini kali pertama saya menonton apa yang dinamakan sebagai theatre of the oppressed atau ‘teater orang yang tertindas’ yang dipelopori Augusto Boal dari Brazil (sebenarnya Argentina: nota FT) dalam tahun 1970an dan berikutnya. Seperti banyak teater eksperimental lain sama ada teater miskin yang dipelopori Jerzy Grotowski dari Poland atau teater persekitaran oleh Richard Schnekner dari Amerika, Augusto Boal lebih mementingkan mesej daripada skrip dan teater yang dipentaskan, bukannya aspek lain.

Jadi isu diperkatakan dalam skrip menjadi maha penting dan bukan lakonan, set, lampu, kostum dan apa juga aspek yang menjadi ukuran pementasan teater konvensional. Pun begitu, peminat, pengamat dan pengkaji teater yang terlatih dalam bidang teater dan drama mungkin memmpunyai pendapat mereka tersendiri mengenai apa juga konsep teater eksperimental.

Pementasan teater 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun arahan Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya menerusi skrip karya Faisal Tehrani adalah sesuatu yang menarik, mengundang analisis dan juga persoalan. Dalam kebanjiran pementasan teater muzikal demi muzikal sejak kebelakangan ini dan kebanyakannya tidak lebih dari menghiburkan, adalah sesuatu yang menarik skrip Faisal diangkat untuk dipentaskan seorang ahli akademik yang sering kelihatan di mana-mana juga kebelakangan ini. Malah tajuk skrip teater ini yang begitu panjang juga bukanlah sesuatu yang konvensional dan mudah hadam.

Skrip teater ini bergerak dalam dua ruang. Isu masa kini dalam bentuk teater konvensional dan lakonan teater purbawara daripada episod yang diambil menerusi buku Sejarah Melayu. Seperti sebuah drama dalam drama, dialognya dijalin bersama antara dua ruang ini dan segalanya kelihatan seperti tidak lebih daripada sketsa persediaan pelakon dan kru pentas sebelum pementasan sesuatu teater.

Skrip ini bermula dengan kisah pelakon utama Maya Longoria (Tun Senaja) yang sering menjadi bahan gosip majalah hiburan yang tiba di set lakonan dan menunggu pelakon serta kru pentas yang lain. Kemudian satu persatu karektor muncul. Dari ‘pengarah hadhari’ yang memakai songkok, Saiful kru-pencacai pentas yang juga mempunyai kesukaan mengendap setiap pelakon dan mendengar kisah mereka, muncul pula Azam pelakon utama (Sultan Alauddin). Kemudian timbul pula penata busana Rosma yang memastikan semua orang memanggilnya dengan nama Ros, dengan dialog keras berbau skandal seks dan terhegeh-hegeh cuba menggoda Azam.

Dalam dialog antara semua watak ini, selain cerita Azam (sedikit baran orangnya) berkelahi dengan teman wanitanya dan kemudian baik semula, kemudian bergaduh semula (dan sentiasa pening dengan teman wanitanya), timbul pula suatu wacana menganalisis peristiwa Sultan Aladuddin Riayat Syah yang mati diracun pada tahun 1488. Setiap watak membuat andaian mengenai siapakah yang meracun baginda. Adakah Tun Senaja isteri keempat baginda dari keturunan Tamil Muslim atau saudaranya Temenggung Seri Maharaja atau pun pembesar lain.

Konflik dalaman istana Melaka antara golongan Tamil Muslim yang mewakili kumpulan pragmatik-liberal dengan Tun Senaja sebagai epitomnya bertentangan dengan sifat dan kewarakan Sultan Alauddin yang mewakili golongan Melayu yang ingin menegakkan pemerintahan berlandaskan Islam berakhir dengan perebutan kuasa menyaksikan baginda diracun akhirnya.

Sultan Alauddin seorang Sultan yang action-oriented, keluar menangkap pencuri pada waktu malam. Dia adalah seorang sultan yang jujur dan alim dan memikirkan semua orang di sekelilingnya sejujur baginda. Tetapi terlalu ramai yang telunjuk lurus kelingking berkait dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan keturunan, kuasa dan politik dan memastikan Islam tidak menguasai istana Melaka. Seperti kata Tun Senaja, sewaktu melihat baginda sultan yang keracunan dan meminta penawar daripadanya: ‘Yang utama dan berkepentingan, tiada Islam mengekang kita dari berbuat apa yang kita suka.’

Tun Senaja juga berkata: ‘Bukan tiada isteri pembesar membunuh orang kerana kuasa.’

Walaupun aspek lakonan tidak begitu dipentingkan, tetapi Robani Hassan sebagai Azam/Sultan Alauddin mempamerkan beliau memiliki bakat lakonan yang tidak sedikit. Atlet lari berpagar 110 meter dari Universiti Putra Malaysia ini cukup berbakat dan perlu digilap. Zack Idris sebagai Maya Longoria/Tun Senaja juga cukup versatil dan natural. Pelakon lelaki memainkan watak wanita dalam teater ini juga mungkin mencadangkan dualisme gender dalam watak yang dipamerkan. Watak feminin mempunyai kekuatan dalaman yang maskulin? Atau, dalam watak feminin dipamerkan ada watak maskulin lain di sebalik diri mereka? Seperti watak Tun Senaja yang kuat dipengaruhi bapa saudaranya. Rosma si penata busana juga mungkin dipengaruhi atau dibayangi watak lelaki dalam dirinya.

Ada sesiapa mahu bercakap mengenai konspirasi istana Melaka tahun 1488 dan konspirasi lain? Kata mereka sejarah itu berulang dan sesiapa yang tidak belajar dari sejarah akan terhukum olehnya.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: