Ulasan Berita Harian

October 12, 2008

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
BERITA MINGGU, 24 OGOS 2008

TEATER berjudul 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun anjuran Akademi Sinema Amatur Malaysia bakal dipentaskan bermula 25 Ogos (esok) hingga 29 Ogos ini, jam 8.15 malam di Auditorium Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. ia adalah naskhah besar yang dikutip dalam Sejarah Melayu karya Faisal Tehrani dan arahan Dr Abu Hassan Hasbullah.

Pementasan itu dijangka mampu menarik minat ramai bukan saja kerana judulnya yang unik dan pelik tetapi kerana pengisiannya mengenai cerita sejarah zaman silam serta kekaguman pada tamadun bangsa oleh anak Melayu. Ia dibintangi oleh Zack Idris, Robani Hassan, Emad Zainal, Rudy Bluehikari, Meer Akungantaro.

Pementasan teater itu sudah tentu mampu dihayati, dihargai dan mengajar penonton untuk mengagumi seni budaya dan pada masa sama mengambil pengajaran daripada maksud teater itu. Keadaan ekonomi, kekuatan politik dan keharmonian sosial yang dikecapi hari ini sangat mudah untuk musnah seperti ditunjukkan dalam pengalaman lalu menerusi sejarah negara ini.

Dr Abu Hassan berkata, teater 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun mungkin mampu menjadi risalah penting buat bangsa kita meneladani sejarah dan mendepani masa depan supaya memupuk masyarakat mencintai budaya, menghormati adat resam, tata susila, maruah, memelihara jati diri dan saling mengukuhkan hubungan serta mempertahankan kedaulatan negara serta agama.

Zack sebagai pelakon utama sebelum ini pernah muncul sebagai hero menerusi filem Johnny Bikin Filem. Dari situ, dia mula diangkat sebagai aktor dan kemudian kerap beraksi dalam drama TV.

“Dalam 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun, Zack akan menjadi kelompok elit yang menentukan nasib. Perhitungan dalam pertarungan yang dirancang untuk menjadi sejarah. Menyaksikan aksi beliau adalah menyaksikan sebuah tamadun. Robani Hassan melakonkan watak Sultan Alauddin Ria’ayat Shah. Beliau melakonkan watak seorang pemerintah yang bijaksana, beriman dan mencintai tanah airnya.

“Kemuliaannya membawa kepada konspirasi pembunuhannya. Menyaksikan Robani Hassan adalah mengembalikan sejarah yang sudah sekian lama disembunyikan pengarang asalnya. Emad Zainal pula sekilas menatapnya mengingatkan susuk tubuh aktor Rudlop Valentino. Yang membezakan keduanya, selain zaman adalah fizikal. Namun sebagai Melayu, wajah kemelayuan yang dimiliki menjadikannya seorang aktor,” kata Dr Abu Hassan.

Sementarasa itu, Faisal Tehrani berkata, proses melatih dan mementaskan teater memang memenatkan, khususnya bahagian untuk merungkai teks karya berkenaan.

“Dialog dalam pementasan 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun pastinya akan membuatkan pengamal teater letih kerana harus mengupas lagi dan lagi. Antaranya, ayat berbunyi seperti ‘Bukan Sultan Alauddin nampak warak dan alim ke? Kawan dia semua tok guru belaka. Tok guru dalam Melaka, luar Melaka.’

“Kata Boal, teater harus membela orang yang tertindas. Prinsip utama Boal itu selepas diamati, tidak bertentangan dengan Nabi Muhammad SAW yang mengajak kita membantu masyarakat oppressed. Saya bawa satu contoh lain yang sudah berbelas tahun jauh dari kita (mungkin ada yang belum lahir waktu itu), tetapi untuk sesetengah orang yang Rasulullah itu sentral, ia selalu ingat. Yang tertindas misalnya ialah Nabi Muhammad kerana untuk kuasa Barat, tidak apa mencemuh agama sekalipun dengan alasan kebebasan berfikir,” katanya.

Tiket pementasan 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun boleh ditempah melalui talian 017-9747331 atau email muringwien@mac.com atau hubungi produser: Hamzah Amir (017-2052409) atau emel: hamzah_oc@yahoo.com atau Saiful Diwan (017-5331002).

Blogged with the Flock Browser

Tags: ,

Leave a comment