Resensi 2JSSASD Utusan Malaysia 6 Oktober 2008

October 12, 2008

Sindiran semasa di sebalik tragedi Sultan

LAKONAN Rudy Bluehikari (kiri) dan Robani Hassan cukup berkesan dalam mencetuskan kritikan terhadap isu-isu semasa yang berlaku menerusi watak-watak lakonan mereka.



TEATER arahan pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah ini bukanlah secara mutlak mahu menceritakan tentang kisah tragedi pembunuhan Sultan Melaka, Sultan Alauddin yang mangkat kerana diracun orang ratusan tahun lalu.

Sebaliknya, teater berjudul 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun ini secara terus terang mahu mengetengahkan pelbagai sindiran dan kritikan terhadap isu-isu semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat ketika ini.

Kisah kemangkatan Sultan Alauddin yang dipaparkan pada penghujung teater ini hanyalah sekelumit cerita yang berperanan bagi menyokong insiden dua jam sebelum detik kemangkatan baginda itu ekoran hasad dengki orang di sekelilingnya.

Justeru, dua jam sebelum watak Sultan Alauddin lakonan Robani Hassan itu mangkat, pengisian teater ini lebih banyak dimuatkan dengan kisah keperibadian pelakon popular iaitu Maya Longoria yang digambarkan melakonkan pengisahan insiden di sebalik kemangkatan tersebut.

Faisal Tehrani selaku penulis naskhah ini antaranya, menggunakan watak seperti Maya Longoria yang merupakan seorang pelakon terkenal bagi melampiaskan pelbagai sindiran serta kritikan sosial yang dirasainya.

Maya Longoria digambarkan menghadapi pelbagai dilema serta krisis identiti dan sikap dalamannya yang buruk dan sering menjadi kudis di kalangan selebriti dalam usaha untuk mengabui mata masyarakat yang menyokong mereka selama ini.

Meskipun watak Maya Longoria merupakan seorang aktres tetapi Zack Idris tidak menghadapi masalah untuk melakonkan liuk lenggok lemah lembut yang melambangkan nilai kesopanan dan kewanitaan seorang wanita.

Dalam teater ini, Faisal mungkin mahu menjelaskan bahawa permasalahan dalaman termasuklah sikap hipokrasi yang banyak berlaku dalam dunia artis merupakan suatu kebiasaan demi menyesuaikan diri dengan dunia glamor yang mereka lalui.

Bukan setakat memaparkan sikap buruk golongan artis, sebaliknya banyak dialog yang dilontarkan oleh watak seperti Maya Longoria jelas menceritakan fenomena dan isu-isu semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Contohnya, fenomena semakin ramai golongan lelaki lembut yang terbabit dalam kancah hubungan homoseksual dan juga percintaan songsang antara golongan ‘pengkid’ dengan kaum sejenis mereka yang menagih pengertian para penonton pada pementasan tersebut.

Tidak hairanlah, apabila butiran dialog yang meminta agar sesiapa yang dituduh melakukan liwat atau diliwat agar melakukan upacara bersumpah di dalam masjid bagi membersihkan nama mereka daripada menjadi mangsa fitnah, telah menagih penghayatan para penonton.

Malah, Auditorium Akademi Pengajian Islam, UM, tempat berlangsungnya pementasan teater tersebut diiringi hilai ketawa para penonton yang mungkin cuba mengaitkan dailog sinis seperti itu dengan beberapa peristiwa semasa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Selepas puas melontarkan pelbagai kritikan dan sindirannya menerusi 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun, barulah naskhah ini memaparkan klimaks ‘yang bersandarkan kepada judul hakiki’ teater tersebut.

Pengakhiran cerita teater yang dipersembahkan oleh Akademi Sinema Amatur Malaysia ini memaparkan saat-saat kemangkatan Sultan Alauddin di samping permaisuri baginda di mana kedua-dua watak itu dilakonkan oleh pelakon terkenal, termasuklah lakonan Maya Longoria sendiri.

Pengisahan klimaks itu tidak lama dan ia mengambil masa sekitar 10 minit sahaja berbanding dua jam pertama perjalanan teater ini yang mengisahkan sikap pelakon seperti Maya Longoria di mana ia sedikit sebanyak mewakili dunia hiburan yang penuh dengan hipokrasi!

Selain Zack Idris dan Robani Hassan, teater dengan durasi hampir dua jam ini turut dilakonkan oleh Meero Akungantaro, Emad Zainal, Rudy Bluehikari serta Dr. Abu Hassan Hasbullah sendiri.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , , , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: