Kualiti Berfikir Artis Tempatan

October 12, 2008

Kualiti berfikir artis tempatan

Nieza, MINGGUAN MALAYSIA, 11 Oktober 2008

Sekarang ini kalau ditelitikan, tidak ramai artis kita yang boleh berhujah dengan yakin di depan khalayak. Malah tidak ramai yang boleh memberikan pandangan bernas apabila diminta mengupas sesuatu isu.

Soalan-soalan mudah yang berkaitan dengan bidang mereka pun sukar dijawab apatah lagi jika diminta membentangkan buah fikiran mengenai hal-hal yang di luar lingkungan kerjaya atau isu semasa dalam mahu pun luar negara.

Artis menganggap jika kerjaya mereka sebagai penyanyi, mereka hanya perlu mempunyai vokal yang baik. Itu saja. Begitu juga jika seorang pelakon, memadailah kebolehan dalam bidang lakonan.

Tetapi mereka silap. Bakat di dalam bidang lakonan dan juga nyanyian itu adalah satu produk yang perlu dikembang dan diperkemaskan. Ini kerana jika seseorang itu mempunyai pakej iaitu bakat dan juga ilmu, mereka akan berkemampuan untuk mencapai kejayaan yang luar biasa di dalam bidang seni.

Walaupun ada yang menganggap faktor pendidikan formal itu adalah pendorong utama untuk membolehkan seseorang itu menjadi intelek tetapi ia hanyalah satu kelebihan sahaja. Sebaliknya jika seseorang itu dilahirkan tanpa latarbelakang akademik tetapi mempunyai inisiatif untuk meningkatkan kerjaya masing-masing sudah tentu ia akan menambahkan lagi pengetahuan.

Malangnya pada hari ini tidak ramai dalam masyarakat artis kelihatan bijak dan mampu menguruskan kerjaya dengan baik. Bukan bermaksud mahu memuji artis-artis Indonesia tetapi percaya atau tidak mereka sebenarnya mempunyai tahap pemikiran yang tinggi dan boleh memperkatakan apa juga isu dengan baik.

Mereka mampu berfikir dan mempunyai inisiatif untuk maju sehingga dapat meletakkan diri mereka itu sebagai satu produk yang berkualiti.

Masalah yang berlaku dalam kehidupan artis Malaysia pada hari ini ialah tiada usaha untuk meningkatkan kemajuan diri.

Mereka lebih memikirkan soal wang. Mencari duit siang malam tapi tidak menyedari wang tidak akan datang jika mereka sendiri tidak menjadi seorang yang bijak dari segi pemikiran dan juga cara kerja.

berkualiti

Artis yang berkualiti itu sebenarnya mampu menguruskan masa dengan baik, berfikir secara rasional, tahu matlamat hidup dan tidak tenggelam dengan arus populariti.

Jika elemen itu diambil berat, maka akan lahir bintang yang boleh berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai mana hebatnya Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Dalam masa yang sama dengan adanya banyak rancangan realiti, lebih ramai artis “mi segera” dilahirkan yang membuatkan kualiti dunia hiburan makin tercemar.

Kebanyakan artis kita hanya mampu mengupas persoalan kisah putus cinta, fesyen yang hendak ditampilkan dan juga mencari gosip murahan. Apabila diajukan isu yang agak serius, sukar untuk memberi pandangan yang menyakinkan.

Hal itu akan membuatkan peminat membuat tafsiran yang negatif terhadap pemikiran artis apabila idea yang diberikan itu tidak sebernas yang diharapkan.

Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki melihat fenomena ini sebagai suatu yang agak membimbangkan apabila kelompok ini tidak mahu berusaha meningkatkan kemahiran diri. Kelemahan yang ketara, kata beliau, adalah daripada aspek komunikasi.

Ini kerana jika seseorang itu mempunyai keupayaan berkomunikasi dengan baik, dia mampu untuk menambahkan lagi peluang dalam usaha meraih pencapaian cemerlang terhadap bidang yang dipilih.

Sebagai contoh kata Afdlin, artis yang ada kemahiran itu boleh “dicampak” ke mana saja dan tentulah akan disenangi oleh orang ramai.

“Artis yang macam ini kalau suruh buat persembahan di syarikat korporat dia boleh dan diletakkan di persembahan fun fair pun dia boleh. Golongan yang macam inilah yang kita perlukan. Mereka juga perlu melakukan sesuatu supaya boleh diletakkan di mana sahaja,” katanya.

Tambah beliau, apa yang harus dilakukan ialah bersedia menjadi artis versatil dengan meningkatkan pengetahuan.

Walaupun pendidikan formal itu penting tetapi tidak semestinya seseorang yang kurang ilmu pelajarannya itu tidak boleh berjaya melainkan mereka ada usaha untuk menambahkan nilai dan kehebatannya.

Selain perlu ada inisiatif untuk memajukan diri, Afdlin turut menyalahkan syarikat rakaman atau pengurusan artis yang tidak berusaha untuk membantu seseorang artis itu meningkatkan kemahiran.

Katanya, syarikat tersebut perlu melatih artis masing-masing supaya dapat meningkatkan lagi pengetahuan apabila memilih menjadi seorang artis. Ini kerana produk artis itu akan lebih tinggi nilainya jika kemahiran itu dimiliki oleh mereka.

“Jika pihak pengurusan itu merasakan mereka mahu “menjual” seseorang artis itu, mereka hendaklah memastikan artis yang bernaung di bawah syarikat mereka itu benar-benar berkualiti kerana artis yang baik akan mempunyai jangka hayat yang lama untuk hidup dalam industri hiburan,” katanya.

Sementara itu Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah mentakrifkan lima perkara kenapa artis-artis Malaysia seringkali gagal dalam bidang yang dipilih serta tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Lima perkara yang tidak dimiliki oleh golongan itu ialah kualiti ilmu, kualiti berfikir, kualiti susila, kualiti kerja dan kualiti memimpin.

Jelas beliau, kebanyakan artis tempatan tidak mempunyai pendidikan dan pengetahuan yang tinggi sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menjawab soalan apabila diwawancara.

Genius

Beliau mengambil contoh bagaimana artis Indonesia seperti Acha Septriasa, Irwansyah, Rossa, Agnes Monica menjadi artis yang amat genius kerana mempunyai kualiti ilmu seperti yang diperkatakan.

Bagaimanapun kata beliau, artis kita tidak mahu menambahkan lagi pengetahuan, malas membaca sehinggakan tidak sampai 10 peratus yang faham bidang tugas masing-masing.

“Saya boleh katakan tak ramai artis kita yang tahu genre muzik mereka bawa, tak tahu baca nota lagu dan tak mahir buat persembahan dengan baik kerana mereka agak malas,” katanya.

Ia menyebabkan kualiti berfikiran rendah sehingga membuat kandungan laporan hiburan itu ditakuk lama. Apabila disoal olah wartawan, mereka tidak mempunyai idea yang bernas.

Dalam masa yang sama ia berkait terus dengan kualiti susila kerana akibat ketiadaan elemen tersebut, mereka tidak boleh membawa diri dan gagal menampilkan kehebatan berketerampilan.

“Susila orang sering kaitkan dengan akhlak tetapi ia menyeluruh termasuk cara membawa diri. Malah ada sesetengah artis tak tahu bahawa muzik itu adalah etika yang perlu dihormati,” tambahnya

Jelas Dr. Abu Hassan lagi, ketiadaan kualiti kerja pula menyebabkan seseorang artis itu lebih suka melakukan kerja remeh-temah dan tidak mempunyai fokus di dalam bidang yang dipilih.

Berdasarkan kepada pengalaman, beliau pernah melihat bagaimana seseorang artis itu tidak bersedia dengan soalan yang dikemukakan sehingga tidak menghafal tajuk di dalam album barunya sebaliknya terpaksa bertanya kepada pembantu peribadi yang berada di sebelah.

“Dalam masa yang sama saya membandingkan bagaimana artis dari Indonesia, Rossa menjawab soalan dengan mudah dan menghafal semua lagu yang ada di dalam albumnya kerana dia mempunyai fokus terhadap bidangnya itu,” tambah beliau.

Kualiti kepimpinan pula katanya, apabila artis-artis pada hari ini tidak mampu memimpin diri sendiri disebabkan mereka tidak bersedia untuk menjadi artis yang luar biasa kerana tidak mahu mengasuh bakat.

Menyamakan artis seperti itu ibarat “belon perasmian” iaitu akan hilang selepas reben dipotong, golongan tersebut hendaklah mengambil contoh bagaimana bintang di Indonesia boleh maju sehingga berjaya mencipta populariti di negara ini.

Kerana mempunyai lima elemen tersebut, artis-artis seberang itu juga menghormati disiplin, beretika dan faham bagaimana hendak berniaga dengan muzik. Dalam masa yang sama seseorang artis itu juga perlu mempunyai pengurus peribadi yang bijak seperti seorang menteri mempunyai setiausaha politik yang boleh membantu kerjaya politik mereka.

Ini kerana pengurus peribadi turut memainkan peranannya dalam membentuk tahap berfikir seseorang artis itu bagi mendepani apa juga keadaan bagi meningkatkan kerjaya masing-masing.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: