KLIFF Tidak Ada Matlamat Jelas

September 6, 2008

Kliff tidak ada matlamat jelas

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Itu antara sebahagian pendapat yang dilontarkan penggiat filem ketika mengulas pandangan bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Zain Hamzah menerusi kolum Interaksi dalam Harian Metro kelmarin yang mempersoalkan kewajaran Kliff dijadikan acara tahunan.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata jika mahu dijadikan acara tahunan, Kliff perlu serius dan dilaksanakan secara terancang di peringkat nasional membabitkan semua penggiat industri perfileman tanah air.

“Saya berfikir adakah Kliff mempunyai falsafah dan visi yang jelas serta apakah bentuk kandungannya. Walaupun dinamakan festival antarabangsa, apa yang diangkat sebenarnya ialah peradaban dan industri filem negara penganjur seperti yang berlaku di Festival Filem Cannes, Perancis.

“Apa yang ditonjolkan bukan pemenang luar negara yang bertanding di sana, tetapi keluarbiasaan dan pengalaman filem mereka. Justeru Kliff perlu mempunyai falsafah jelas apa yang hendak diangkat sebenarnya dan memberi paradigma baru.

“Harus difahami Kliff bukan sekadar pesta semata-mata, tetapi perlu diperkasakan dengan mengutamakan nasionalisme. Kalau boleh kita tonjolkan Kuala Lumpur sebagai kota Islam yang memenangkan filem berunsur Islam sebagai tema utama seperti Anugerah Oskar yang mengangkat filem yang memenangkan Amerika sebagai hero.

“Tidak kiralah siapa pengarahnya, yang penting ada unsur Islam di dalamnya, setidak-tidaknya merayakan Melayu sebagai temanya. Dari segi pengisiannya, Kliff perlu mengagungkan tamadun nasional, memperkasakan tamadun Melayu dan mengantarabangsakan Malaysia pada pandangan masyarakat luar,” katanya.

Pengkritik filem, Mansor Puteh pula berkata, sepanjang mengikuti pelbagai festival filem antarabangsa, dia melihat penganjurnya mempunyai falsafah dan hala tuju jelas apa yang ingin dicapai. Tetapi apa yang berlaku dalam Kliff, matlamatnya kabur.

“Penilaian dalam sesebuah festival filem antarabangsa berbeza mengikut juri yang dilantik. Sebagai contoh kalau jurinya mahu yang Islamik, maka cerita yang memaparkan wanita berbikini dari awal lagi akan ditolak. Tetapi dalam Kliff, kita tidak tahu apa yang penganjur hendak sebenarnya.

“Janganlah jadikan Kliff sebagai acara sosial semata-mata. Kita perlu maksimumkan festival bertaraf antarabangsa dengan mempelbagaikan pengisiannya.

“Sewaktu saya mengikuti Festival Filem Iran pada 1994, mereka mengadakan festival filem tempatan dan antarabangsa serentak pada waktu sama. Ia membolehkan penggiat filem tempatan bercampur dengan orang luar dan mereka pula boleh melihat hasil produk tempatan. Secara tidak langsung ia memberi ruang untuk percambahan idea dan berkerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Satu lagi perkara yang dibangkitkannya, adakah penganjur yang dipilih itu berpengalaman dan pernah menyertai festival filem antarabangsa serta adakah orang luar kenal siapa penganjur dan jurinya.

Sementara itu Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London menyokong penuh kenyataan Datuk Zain Hamzah. Kalau hendak buat setiap tahun, Kliff perlu sepakat dan membabitkan semua penggiat seni termasuk persatuan perfileman.

“Apa yang berlaku sekarang, FDAM tidak tidak tahu langsung adanya Kliff tahun ini dan hanya mengetahuinya menerusi media. Kalau persatuan seni pun tidak tahu, apatah lagi orang industri dan masyarakat.

“Kalau sepakat, kita bersedia membantu menjadikannya agenda nasional sekali gus meletakkan Kuala Lumpur dalam peta perfileman antarabangsa. Tetapi apabila penganjurannya kucar-kacir dan tidak jelas, semua penggiat seni akan terpalit sama kesan negatifnya.

“Apa yang menjadi masalahnya lagi, Kliff tidak jelas hala tujunya tidak seperti Festival Filem Sedunia Kuala Lumpur (KLWFF) pada 2003 dulu yang mengutamakan tema keamanan dan keharmonian. Malah penganjurannya cukup profesional membabitkan kerjasama antara Finas dan persatuan seni apabila saya sendiri turut menjadi juri,” katanya.

Selain pengisian biasa seperti majlis anugerah, seminar dan dialog, Mat London berkata, Kliff perlu diisi dengan program membabitkan interaksi dua hala penggiat filem tempatan dan luar negara dari segenap peringkat kerja.

Sebagai contoh adakan pertemuan dengan persatuan seni, kunjungan ke Finas, stesen televisyen, syarikat produksi dan lokasi menarik yang membolehkan pertukaran teknologi dan percambahan idea berlaku di peringkat akar umbi dan bukannya tersimpan beku dalam kertas cadangan seminar.

Tags: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s