Ulasan SM Zakir: 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun Sebuah ulasan teater termuat di Mingguan Wasilah, 21-27 September 08, tulisan orang kuat PENA.

“I believe that all the truly revolutionary theatrical groups should transfer to the people the means of production in the theater so that the people themselves may utilize them. The theater is a weapon, and it is the people who should wield it.”
-Augusto Boal, The Theater of the Oppressed

Augusto Boal yang memperkenalkan “Theater of the Oppressed” menggunakan teater sebagai senjata bagi mengkritik politik dan membangkitkan kesedaran rakyat. Boal seorang tokoh teater dunia yang lahir di Brazil dan merupakan lulusan dalam bidang sains. Tetapi Boal menceburi dunia teater yang ditanganinya dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran untuk berjuang mengkritik pemerintahan diktaktor tentera di Brazil. Boal menjadikan pentas teaternya sebagai forum orang-orang tertindas. Di samping memecahkan tradisi konvensional teater dengan ‘breaking the fourth wall’nya, Boal juga menterjemahkan fikiran dan emosi rakyat Brazil yang tertindas oleh ketidakadilan dan kezaliman pemerintah.

Sebuah teater yang dipentaskan pada 25-29 Ogos 2008 yang lalu mungkin bukanlah kelibat teater Boal secara per se, namun kemunculannya dengan strategi naratif yang kuat didokong oleh lakonan serta pemainan yang mengalunkan sebuah dramaturgy yang meyakinkan telah melahirkan ‘teater orang tertindas’ tersebut. Ternyata gabungan tenaga Faisal Tehrani dan Dr. Abu Hassan Hasbullah menghasilkan pementasan teater “2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun” (2jSSASD) dilihat cukup mantap dan terserlah. Lupakan sejenak “Theater of the Oppresion” Boal, dan lihat ‘teater orang tertindas’ dalam makna yang lain – sebetulnya dalam konteks Malaysia – sebuah konspirasi yang dipenuhi dengan intrique untuk meracun seorang Sultan yang sedang mula melaksanakan pemerintahan berlandaskan hukum dan syariat Islam. Seorang Sultan yang cuba memecahkan lingkaran politik yang dipenuhi oleh rasuah dan konspirasi.

Skrip yang kuat di tangan Faisal Tehrani dibawa dengan cukup teliti ke pentas oleh Dr. Abu Hassan. Permainan Maya Longoria (Zack Idris) yang menunggu untuk membawa watak Tun Senaja yang meracun suaminya Sultan Alauddin Riayat Syah di pentas membina dua lapisan lakon di sini. Satu lapisan lakon sebagai seorang Maya Longoria, artis yang penuh demanding, mengada-ngada dan menaruh hati kepada aktor lelakinya iaitu Azam yang bakal memainkan watak Sultan Alauddin. Sementara lapisan lakon yang kedua sebagai Tun Senaja, petualang konspirasi untuk membunuh Sultan Alauddin. Dua lapisan lakon ini juga berlaku kepada Azam (Robani Hassan); iaitu sebagai Azam aktor kacak yang egoistik dan sebagai Sultan Alauddin yang warak dan penuh ketokohan.

Dengan menggunakan tiga watak pembantu iaitu Zeful (Rudy), Rosma (Emad Zainal) dan Pengarah Hadhari (Meer Taro) pementasan “2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun” (2jSSASD) cukup untuk memberikan fokus yang jelas kepada persoalan yang dibawa. Faisal menyediakan sebuah skrip yang kuat berdasarkan dua edisi Sejarah Melayu iaitu edisi 1536 dan edisi 1612. Berdasarkan dua edisi karya agung Melayu ini, Faisal membina tafsirannya yang dalam terhadap sebab-akibat kematian Sultan Alauddin Riayat Syah. Kekuatan Faisal dalam memberikan raison d’etre menjadikan kisah ini sangat menarik. Namun skrip yang kompleks ini mungkin sukar untuk dibentuk di pentas jika tafsiran pengarahnya tidak menepati raison d’etre penulisnya.

Di sinilah, keupayaan Dr Abu Hassan yang mungkin membawa bentuk tafsiran pentasnya yang tersendiri berjaya mewujudkan suasana pentas yang cukup hidup. Penggunaan agit-prop seperti papan-papan slogan yang berkaitan situasi politik dan sosial semasa, menjelaskan rupa ‘teater orang tertindas’ dalam konteks Malaysia ini. Agit-prop adalah props pentas yang mencetuskan suasana pra-provokatif wujud secara humor tetapi penuh ironis. Slogan-slogan “Surah al-baqarah”, “bajet cipan”, “Muhabalah” “92 undi”, “…Pauh”, dan “Putrajaya” memperlihatkan peranan agit-prop dalam tubuh ironisnya. Bahkan ‘penggayaan’ Rosma yang terkedek-kedek seperti penguin itu juga boleh dikatakan sebahagian agit-prop hidup. Kemunculan Dr. Abu sendiri di atas pentas yang mengarah-arah Pengarah Hadhari memarahi para pelakonnya mewujudkan usaha yang disebut ‘breaking the fourth wall’. Gerak lakon ini memecahkan tembok halimunan antara pelakon dan dunia realiti di hadapan atau di belakang pentas dengan kewujudan persona realiti yang sepatutnya tidak masuk dalam dunia lakon atau dunia pentas tersebut.

Kemuncak atau kartasis dalam 2jSSASD muncul dalam babak akhir dialog antara Tun Senaja dan Sultan Alauddin. Dialog yang bertenaga daripada kedua-dua watak utama ini melontarkan persona yang jelas. Tun Senaja meracun suaminya sendiri, Sultan Alauddin kerana desakan politik untuk mempertahankan dinasti atau pengaruh golongan mamak dalam istana (kerajaan) Melaka. Dalam pada itu, kemuncak kepada keputusan Sultan Alauddin yang hendak menjadikan Melaka sebagai negara Islam yang berpaksi kepada syariat Islam secara menyeluruh dilihat akan memusnahkan amalan dan pengaruh pembesar yang dipenuhi dengan rasuah dan amal mungkar itu. Maka itu Tun Senaja yang disokong oleh pembesar-pembesar golongan mamak yang sedarah dengannya tiada pilihan lain selain daripada menghapuskan Sultan Alauddin dengan meracunnya secara sulit.

Babak akhir yang meremangkan roma ini bukan sahaja menutup permainan ironis sebelum ini tetapi ‘meletupkan’ suasana dengan peristiwa besar dalam sejarah kepimpinan kerajaan Melayu yang dipenuhi dengan rasuah dan konspirasi politik. Peristiwa besar ini pada hakikatnya berlaku pada zaman kerajaan Melayu Melaka beberapa ratus tahun yang lepas. Namun persoalannya adalah persoalan sejagat yang hadir pada sepanjang zaman. Bagaimana perlakuan rasuah dan konspirasi itu sentiasa mungkin untuk ‘membunuh’ pemimpin yang berjuang untuk keadilan.

Faisal Tehrani dan Dr. Abu Hassan Hasbullah ternyata sama sekali bukanlah tokoh besar dalam sosok dunia teater hiburan yang bermuzikal dan bertelanjangan dada pada hari ini, tetapi dua nama ini adalah sosok besar dalam dunia teater pemikiran yang lebih mementingkan makna daripada bentuk. Kehadiran dua tokoh muda ini amat berpotensi untuk membina aliran teater yang kuat setelah mundurnya teater Melayu generasi muda dalam bilik kosong yang dipenuhi hampas dan sarap sexual revolution. Dunia teater yang menantikan tokoh seperti Nordin Hassan, Syed Alwi, Rahim Razali, Dinsman, Johan Jaffar dan sebagainya yang sentiasa membawa khalayak berfikir mungkin boleh mengharapkan kemunculan Faisal dan Dr Abu Hassan sebagai pengubatnya.

Seusai persembahan 2jSSASD, terlintas di hati betapa jika teater ini diangkat menjadi sebuah filem. Tentunya ia akan menjadi sehebat The Curse of Golden Flower di tangan Zhan Yimou jika tidak pun The Emporer and The Assassin di tangan Chen Kaige. Selamanya kita mengharap sebuah visual pentas atau skrin yang hebat ditangani dengan penuh intelektualisme yang berpaksikan keperibadian yang paling asli dan perkasa. Sultan Alauddin Riayat Syah adalah tipa kepada protaganis Melayu yang tulen, dan Faisal dan Dr. Abu menemukannya dengan khalayak dalam ‘teater orang tertindas’ mereka. Ia bukan sahaja satu penemuan yang menakjubkan bagi sebuah kesedaran rakyat tetapi ironis yang cukup ‘menyakitkan’ bagi pemimpin-pemimpin politik Melayu.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , , ,

Advertisements
Kliff tidak ada matlamat jelas

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Itu antara sebahagian pendapat yang dilontarkan penggiat filem ketika mengulas pandangan bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Zain Hamzah menerusi kolum Interaksi dalam Harian Metro kelmarin yang mempersoalkan kewajaran Kliff dijadikan acara tahunan.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata jika mahu dijadikan acara tahunan, Kliff perlu serius dan dilaksanakan secara terancang di peringkat nasional membabitkan semua penggiat industri perfileman tanah air.

“Saya berfikir adakah Kliff mempunyai falsafah dan visi yang jelas serta apakah bentuk kandungannya. Walaupun dinamakan festival antarabangsa, apa yang diangkat sebenarnya ialah peradaban dan industri filem negara penganjur seperti yang berlaku di Festival Filem Cannes, Perancis.

“Apa yang ditonjolkan bukan pemenang luar negara yang bertanding di sana, tetapi keluarbiasaan dan pengalaman filem mereka. Justeru Kliff perlu mempunyai falsafah jelas apa yang hendak diangkat sebenarnya dan memberi paradigma baru.

“Harus difahami Kliff bukan sekadar pesta semata-mata, tetapi perlu diperkasakan dengan mengutamakan nasionalisme. Kalau boleh kita tonjolkan Kuala Lumpur sebagai kota Islam yang memenangkan filem berunsur Islam sebagai tema utama seperti Anugerah Oskar yang mengangkat filem yang memenangkan Amerika sebagai hero.

“Tidak kiralah siapa pengarahnya, yang penting ada unsur Islam di dalamnya, setidak-tidaknya merayakan Melayu sebagai temanya. Dari segi pengisiannya, Kliff perlu mengagungkan tamadun nasional, memperkasakan tamadun Melayu dan mengantarabangsakan Malaysia pada pandangan masyarakat luar,” katanya.

Pengkritik filem, Mansor Puteh pula berkata, sepanjang mengikuti pelbagai festival filem antarabangsa, dia melihat penganjurnya mempunyai falsafah dan hala tuju jelas apa yang ingin dicapai. Tetapi apa yang berlaku dalam Kliff, matlamatnya kabur.

“Penilaian dalam sesebuah festival filem antarabangsa berbeza mengikut juri yang dilantik. Sebagai contoh kalau jurinya mahu yang Islamik, maka cerita yang memaparkan wanita berbikini dari awal lagi akan ditolak. Tetapi dalam Kliff, kita tidak tahu apa yang penganjur hendak sebenarnya.

“Janganlah jadikan Kliff sebagai acara sosial semata-mata. Kita perlu maksimumkan festival bertaraf antarabangsa dengan mempelbagaikan pengisiannya.

“Sewaktu saya mengikuti Festival Filem Iran pada 1994, mereka mengadakan festival filem tempatan dan antarabangsa serentak pada waktu sama. Ia membolehkan penggiat filem tempatan bercampur dengan orang luar dan mereka pula boleh melihat hasil produk tempatan. Secara tidak langsung ia memberi ruang untuk percambahan idea dan berkerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Satu lagi perkara yang dibangkitkannya, adakah penganjur yang dipilih itu berpengalaman dan pernah menyertai festival filem antarabangsa serta adakah orang luar kenal siapa penganjur dan jurinya.

Sementara itu Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London menyokong penuh kenyataan Datuk Zain Hamzah. Kalau hendak buat setiap tahun, Kliff perlu sepakat dan membabitkan semua penggiat seni termasuk persatuan perfileman.

“Apa yang berlaku sekarang, FDAM tidak tidak tahu langsung adanya Kliff tahun ini dan hanya mengetahuinya menerusi media. Kalau persatuan seni pun tidak tahu, apatah lagi orang industri dan masyarakat.

“Kalau sepakat, kita bersedia membantu menjadikannya agenda nasional sekali gus meletakkan Kuala Lumpur dalam peta perfileman antarabangsa. Tetapi apabila penganjurannya kucar-kacir dan tidak jelas, semua penggiat seni akan terpalit sama kesan negatifnya.

“Apa yang menjadi masalahnya lagi, Kliff tidak jelas hala tujunya tidak seperti Festival Filem Sedunia Kuala Lumpur (KLWFF) pada 2003 dulu yang mengutamakan tema keamanan dan keharmonian. Malah penganjurannya cukup profesional membabitkan kerjasama antara Finas dan persatuan seni apabila saya sendiri turut menjadi juri,” katanya.

Selain pengisian biasa seperti majlis anugerah, seminar dan dialog, Mat London berkata, Kliff perlu diisi dengan program membabitkan interaksi dua hala penggiat filem tempatan dan luar negara dari segenap peringkat kerja.

Sebagai contoh adakan pertemuan dengan persatuan seni, kunjungan ke Finas, stesen televisyen, syarikat produksi dan lokasi menarik yang membolehkan pertukaran teknologi dan percambahan idea berlaku di peringkat akar umbi dan bukannya tersimpan beku dalam kertas cadangan seminar.

Tags: , ,