USAHA MEMARTABATKAN SENI SASTERA HARUS BERTERUSAN

June 30, 2008

Usaha memartabatkan seni sastera harus berterusan

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

30 Jun 2008

DUNIA hari ini sedang melangkah dalam kurun ke-21. Ia juga merupakan milenium ketiga yang diramalkan akan membawa perubahan besar terhadap struktur ekonomi, kekuasaan dan kebudayaan dunia termasuk aspek nilai kemanusiaan.

Fenomena paling menonjol yang sedang terjadi pada kurun ini adalah proses globalisasi yang disebut oleh pemikir Alvin Toffler sebagai gelombang ketiga (third wave), setelah berlangsung gelombang pertama (pertanian) dan gelombang kedua (industri). Perubahan yang demikian menyebabkan terjadinya pergeseran kekuasaan daripada pusat kekuasaan yang bersumber pada tanah, kemudian kepada kapital atau modal, selanjutnya (dalam gelombang ketiga) kepada penguasaan terhadap informasi (ilmu pengetahuan dan teknologi).

Proses globalisasi ini lebih banyak ditakuti. Oleh kerana rasa takut dan cemas yang berlebihan itu, perkiraan yang dilakukan cenderung bersifat defensif dengan meletakkan diri sebagai subjek dalam proses perubahan tersebut.

Bagaimana dengan bahasa dan sastera? Apakah yang terjadi dalam konteks Malaysia ketika berhadapan dengan globalisasi? Apakah yang harus dilakukan dan kebijasanaan yang bagaimana perlu diambil dalam hubungan sastera, pembinaan korpus keilmuan dan dunia tanpa sempadan tersebut?

Mitos yang hidup selama ini tentang globalisasi adalah bahawa proses itu akan membuat dunia seragam. Ia akan menghapuskan identiti. Kebudayaan tempatan dan etnik akan ditelan oleh kekuatan budaya besar atau kekuatan budaya global.

Globalisasi dikatakan telah ditandai dengan kemajuan teknologi komunikasi dalam membina sempadan-sempadan dan jarak menjadi hilang serta tidak berguna. Ia juga telah membuat kurangnya peranan kekuasaan ideologi dan kekuasaan negara.

John Naisbitt dalam bukunya Global

Paradox memperlihatkan hal yang bersifat paradoks dari fenomena globalisasi. Di dalam bidang ekonomi, misalnya, beliau mengatakan “semakin besar dan semakin terbuka ekonomi dunia, perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana akan mendominasi”.

Walau apapun pandangan, sastera merupakan suatu medium pengkaryaan yang antaranya meliputi genre puisi, cerpen dan novel telah banyak membantu memperkasakan pemikiran serta jati diri masyarakat dan nilai keislaman di negara ini.

Sejak era Kesultanan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun lalu lagi atau jauh sebelum itu dalam tradisi sastera Islam di Aceh, kesusasteraan Melayu sudah mula berakar umbi demi melaksanakan matlamat tersebut.

Justeru, peranan sastera dalam penyerapan aspek pemikiran dan pembentukan jati diri buat para penggemarnya dilihat sebagai suatu modul serta proses yang tiada penghujungnya supaya hasrat murni itu dapat dicapai pada masa depan.

Menurut Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Salleh dari Universiti Sains Malaysia, perkembangan seni sastera juga haruslah dibiarkan berjalan seiring dengan keperluan zamannya dan patut diletakkan di tempat yang terhormat supaya ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Bagaimanapun, bagi mencapai matlamat itu, pelbagai perancangan haruslah dilakukan, misalnya dengan menggalakkan lebih ramai penulis menghasilkan genre-genre kesusasteraan.

“Pertamanya kita (penulis) haruslah menulis sebanyak mungkin karya sastera. Daripada situ, mana tahu akan muncul karya-karya hebat seperti Hikayat Hang Tuah atau Sulalatus Salatin. Bangsa yang tidak menulis dalam jumlah yang banyak tidak akan wujud di pentas dunia.

“Cara itu akan menyumbang kepada sudut pandangan dan fikiran kepada perkembangan semasa,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya pada Seminar Sasterawan Dalam Pembinaan Peradaban Malaysia di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, proses pengkaryaan hasil-hasil seni sastera yang berterusan antara lain akan dapat membantu memperkembang- kan bakat dan penciptaan karya-karya yang lebih bermutu.

Sikap berdaya saing serta memerah idea dengan gaya yang tersendiri juga haruslah ada pada kalangan para penulis sastera tempatan jika mereka mahu memperluaskan lagi pengutaraan idealisme mereka ke peringkat yang lebih jauh lagi pada masa depan.

“Kita mahu melahirkan karya-karya seperti yang dihasilkan oleh Thomas Mann, Po Chu-I, Murasaki Shikibu atau Dostoevsky kerana pencapaian seni dan pemikiran mereka yang tinggi. Pemikiran ini mampu membuat kita merenung jauh ke dalam diri dan takdir dalam masyarakat manusia,” ujarnya.

Para karyawan seni terutamanya golongan muda juga katanya haruslah berani berkarya selain bersedia menerima kritikan bagi mempertingkatkan lagi mutu sastera, misalnya daripada pengkritik yang tajam sifat kritikannya.

Prof. Dr. Muhammad contohnya, berasa bersyukur dan bangga kerana adanya karyawan seperti Baha Zain yang sedikit sebanyak membantu dalam proses perkembangan sastera menerusi genre esei dan puisi seperti yang bertajuk Tentang Penulisan dan Persekitarannya.

Oleh kerana kritikan mungkin kurang, maka penulis muda haruslah memikirkan sesuatu supaya kritikan sastera yang dilontarkan tidak akan menyisihkan mereka daripada bidang tersebut.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan beberapa tindakan, antaranya mereka (penulis) muda haruslah lebihkan membaca karya-karya sastera agung, pembacaan puisi secara berkumpulan dan jemput pengarang berpengalaman bagi memberi pendapat mereka tentang sesuatu karya sastera.

“Sebab itu, saya yakin martabat seni sastera akan tercapai sekiranya karya-karya kita tinggi mutunya dalam pemikiran dan besar maknanya buat para penggemarnya. Semua itu harus datang dengan kerja keras beserta pengalaman,” katanya lagi.

Aktivis sastera, Prof. Rahman Shaari yang mengetengahkan topik bertajuk Akar Diri dan Kemajuan pada seminar itu lebih memfokuskan pada genre puisi dalam menjana kemartabatan dalam bidang kesusasteraan tanah air.

Jelasnya, maksud peradaban yang menjadi kunci dalam tema seminar itu membawa maksud yang amat besar di mana ia antara lain berdasarkan aksiomatik iaitu kita mengetahui tanpa perlu ditunjuk-tunjukkan buktinya.

“Bukti itu terlalu nyata. Dalam hal ini, saya mahu menekankan sudut pendidikan dan saya khususkan pada hubungan anak dan ibu bapa. Jika anak-anak tidak dididik dengan betul, maka apabila besar nanti mereka tidak akan mengamalkan nilai-nilai kesopanan,” katanya.

Bagi menguatkan lagi hujahnya itu, Prof. Rahman memberi contoh terhadap puisi terkenal karya Raja Ali Haji yang menyebutkan hal ini dengan jelas biarpun kata-kata yang dipilihnya bersifat amaran.

Antara bait-bait puisi Raja Ali Haji itu seperti berikut:

Jika anak tidak dilatih

Apabila besar bapanya letih

Antara lain, Rahman berkata, pengutaraan puisi seperti itu cukup penting dengan gaya bahasanya yang bukan bersahaja tetapi mempunyai maksud yang jelas dalam konteks pembinaan pemikiran dan sikap dalam sesebuah masyarakat.

Tidak kurang menariknya, apabila Dr. Abu Hassan Hasbullah dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya melontarkan pendapatnya tentang struktur organisasi kesusasteraan tempatan yang belum dibangunkan secara menyeluruh.

Dalam hal ini, beliau memberi perbandingan perkembangan serta aktiviti keseusasteraan seperti majlis deklamasi puisi atau pementasan teater tidak banyak diadakan di luar Kuala Lumpur.

Bandar-bandar kecil di kawasan pedalaman katanya, seolah-olah terpinggir daripada arus perkembangan dunia kesusasteraan yang meliputi

para penggemarnya di merata-rata tempat.

“Gapena (Gabungan Penulis Nasional Malaysia) misalnya lebih berpusat di Kuala Lumpur sahaja. Sebab itu, bagi mengangkat martabat sastera ke peringkat yang lebih luas usaha juga harus dijalankan di semua peringkat termasuklah kawasan luar bandar.

“Selain itu, saya dapati tidak banyak pihak yang sanggup mengangkat karya-karya sastera seperti novel untuk diadaptasi ke layar perak. Ini juga suatu proses yang penting bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Seminar anjuran Aswara dan Gapena itu diadakan sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008 yang disambut pada 29 Mei lalu.

Blogged with the Flock Browser

Tags: ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: