Untitled

June 29, 2008

Industri hiburan tetap dibela

Niezam Abdullah,
(niezam@utusan.com.my)
MINGGUAN MALAYSIA, 29062008, hlm 30

Wajarkah tokoh filem Senator Tan Sri Jins Shamsuddin dipersalahkan apabila industri hiburan negara ini tidak terurus, walaupun ada peningkatan tetapi nasib karyawan muzik masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya? Ini kerana karya-karya yang ada bagaikan terpinggir apabila produk-produk muzik dari luar mendominasi pasaran tempatan.

Jins dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan masyarakat dalam industri hiburan menaruh harapan tokoh ini memperjuangkan nasib mereka dalam industri ini. Maka apabila lagu-lagu dari Indonesia semakin menguasai pasaran muzik negara ini dan artis-artis mereka bebas untuk mempromosikan produk masing-masing tanpa had dan kawalan, ada pihak melihat masalah ini tidak sampai kepada pengetahuan kerajaan.

Bagaimanapun masalah dalam industri hiburan bertapak jauh lebih lama sebelum Jins dilantik menjadi Ahli Dewan Negara.

Cuma sekarang masalah menjadi semakin rumit apabila stesen-stesen radio swasta dilihat mengabaikan tanggungjawab mengiktiraf karya tempatan sendiri. Begitu juga dalam dunia perfileman apabila terlalu banyak pantang larang yang membantutkan usaha meningkatkan industri itu.

Jins yang diamanahkan memikul tanggungjawab membawa masalah masyarakat seniman kepada kerajaan didakwa tidak memainkan peranan sewajarnya dalam membela nasib mereka.

Kononnya dalam tempoh dua penggal Jins menjadi ahli Dewan Negara, tidak banyak isu yang berlaku dalam dunia hiburan dibawa untuk mencari penyelesaiannya.

Ini menyebabkan industri itu tersingkir jauh malah terus mundur jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Akibatnya penggiat-penggiat seni alaf baru cuba menyalahkan orang itu dan ini termasuklah wakil mereka yang diberi peranan membawa suara anak seni itu yang dikatakan berada pada zaman yang salah.

Jins mempunyai alasan dan menepis tohmahan kononnya beliau tidak memainkan peranan membawa permasalahan dalam industri hiburan kepada pengetahuan kerajaan.

Tetapi bukan mudah sesuatu usul yang dibentangkan itu diluluskan sekalipun banyak isu yang telah beliau kemukakan untuk perhatian kerajaan mendapat reaksi yang positif.

Menurut Jins, salah satu usahanya yang berjaya ialah menaikkan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) setaraf universiti yang sekarang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Banyak isu melibatkan masalah penggiat seni yang saya bawa kepada kerajaan supaya memberi perhatian serius. Ini termasuklah soal lagu-lagu Indonesia yang semakin banyak menguasai pasaran tempatan selain masalah cetak rompak yang tidak mencapai penyelesaiannya,” tegas Jins ketika dihubungi Jumaat lalu.

Masalah lain yang turut disuarakan Jins ialah meminta kerajaan menyemak semula lesen stesen televisyen serta mengehadkan program-program yang dibeli dari luar negara.

Soal kebajikan para artis juga turut diberi perhatian apabila meminta kerajaan mengkaji kaedah untuk membuat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui syarikat produksi mereka.

Bagaimanapun dalam menyuarakan masalah-masalah di peringkat yang lebih tinggi, beliau tidak mendapat banyak pandangan daripada penggiat industri hiburan.

Setakat ini kata Jins, hanya beberapa persatuan seni yang menemuinya untuk membawa masalah mereka sebaliknya yang lain tidak berbuat demikian.

“Pihak dalam industri hendaklah menemui saya dengan mengemukakan fakta-fakta tertentu bagi membolehkan perkara yang berbangkit itu sampai kepada pengetahuan kerajaan,” ujarnya yang turut memperjuangkan Hari Seniman pada 29 Mei lalu.

Menyaksikan senario yang berlaku, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, ketika ini industri hiburan memerlukan individu yang berani mengenengahkan sesuatu isu.

Suasana hari ini menuntut satu cara bekerja, mengurus dan memajukan sesebuah industri itu dengan pendekatan baru sealiran dengan kemajuan industri hiburan.

“Zaman ini kita memerlukan seseorang yang boleh menggerakkan pemikiran yang kondusif dan intelektual sesuai dengan keadaan semasa dan bukan memilih mereka berdasarkan latar belakang sejarah atau ketokohannya,” kata beliau.

profesionalisme

Tambahnya lagi, masyarakat seniman hari ini memerlukan tenaga baru dengan intelektualisme dan profesionalisme yang dapat memahami serta menguasai bagaimana menguruskan industri yang mencabar.

Kesan globalisasi dan kebangkitan media baru bagaikan mendesak masyarakat dalam industri filem untuk mengenengahkan golongan muda yang lebih tegas, positif dan pragmatik menjadi tokoh bagi menguruskan industri.

Ini ujar Dr. Abu Hassan, masalah yang berlaku pada hari ini seolah-olah gagal diambil perhatian serius sehingga membuatkan dunia hiburan menjadi kalut dan kelam kabut.

Maka individu yang benar-benar mempunyai kepakaran dan pengalaman wajar diterima mentadbir serta membawa suara- suara orang bawahan kepada pihak yang sepatutnya.

“Kita tidak mahu melihat kelemahan menguruskan industri membuatkan ia terkapai-kapai tanpa arah dan hala tuju sehingga membuatkan segala kerja anak-anak seni yang berhempas pulas tidak memberi hasil yang sewajarnya,’’ ujar beliau.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: