KITA PERLU SENATOR KEDUA?

June 29, 2008

Kita perlu senator ke-2?

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Menurut akhbar terbitan The New Straits Times Press itu lagi, ada macam-macam masalah berlaku dalam industri seni kita, tetapi tiada pihak hendak membawanya ke pengetahuan pihak tertentu atau kerajaan dengan bersungguh-sungguh.

Kalau dulu kita dikatakan tiada wakil di Parlimen, tetapi sekarang kepentingan orang seni, baik filem atau muzik, sudah diwakili oleh Jins apabila beliau dipilih sebagai senator.

Dua hari lalu, Metro Ahad menemui Pensyarah Kanan, Jabatan Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah untuk melihat pandangannya terhadap isu yang hangat diperkatakan ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyentuh 100 peratus mengenai wakil senator di Parlimen, sebaliknya menyatakan pendapatnya tersendiri.

Menurutnya, industri seni kita ada potensi untuk maju, tetapi mesti diuruskan dengan betul oleh orang yang betul.

“Malang! Bukannya industri filem Malaysia tidak boleh maju, sebagaimana pernah dikecapinya pada zaman dua studio di Jalan Ampas dulu.

“Namun akibat kelemahan dalam cara menguruskan industri ini, khususnya di peringkat tanggungjawab kepolitikan, industri filem Malaysia masih terkapai-kapai tanpa arah dan hala tuju sehingga segala macam usaha positif yang dilakukan oleh produser, sutradara, pekerja dan pelakon yang berhempas pulas nampaknya tetap tidak memberi hasil sewajarnya.

“Sudah tentu persoalan akan dikemukakan, dengan apakah cara lagi, selain aktiviti perfileman itu digiatkan secara individu sebagaimana terjadi sekarang, maka tentu desakan itu dilontarkan ke muka mereka yang diberi amanah dan kuasa oleh kerajaan dan masyarakat.

“Golongan yang diberi kuasa itu sepatutnya menjadi institusi pemacu utama dengan membentuk dasar, rencana strategi dan rancangan yang sesuai dan ‘sekehendak’ dengan zaman ini.

“Iaitu, yang membolehkan satu struktur pembangunan terhadap industri benar-benar berlaku dalam bentuk dan misi visi yang hendak dicapai, yakni industri filem menjadi satu daripada industri ekonomi utama sebagaimana kedudukan industri filem di negara lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, menunggu untuk melihat kejayaan itu tentu menyakitkan. Apa tidaknya, meskipun kita satu-satunya dikatakan negara yang mempunyai institusi khusus yang menguruskan industri ini dan ada tokoh yang diangkat sebagai wakil dari masyarakat filem atau industri seni ke Parlimen, kesan kejayaan fungsi kedua-duanya, iaitu Finas dan Senator yang dilantik, masih jauh daripada hasrat dan harapan yang dituntut oleh semua ahli dalam industri filem selama ini.

Industri filem Melayu masih tersingkir jauh, malah mundur jika dibandingkan dengan sahabat serantau, baik di Indonesia, Thailand malah Vietnam.

“Lantas sebahagian penggiat baru, yang dapat dimazhabkan sebagai generasi baru dalam industri filem Malaysia, mula menyebut-nyebut secara kritis yang Finas sebagai institusi dan wakil dari industri ke Parlimen ada di ‘zaman yang salah’,” katanya.

Menurut pengkaji perfileman ini juga, maksud mereka sangat mudah iaitu industri ini diuruskan dalam kepercayaan lama, dengan pemikiran dan cara bekerja yang primitif, dan hanya kelihatan sangat hebat atas nostalgia Jalan Ampas yang sudah berlalu.

Tanpa menafikan keagungan industri filem Melayu dari 1930-an hingga 1970, iaitu Zaman Emas Dua Studio, maka tidak patut pula untuk menentang kepercayaan bahawa kita sudah lapan tahun dalam abad 21.

“Abad ini menuntut satu cara bekerja, mengurus dan memajukan industri filem dengan cara baru dan sepadan dengan pemajuan perusahaan filem sejagat, termasuk industri televisyen dan industri media baru.

“Tentu pemikiran dan pengurusan yang hanya melihat pada projek keraian atau ‘ritual potong riben’ dan temasya yang bersikap nostalgia, mahupun majlis anugerah sebagai bukti ‘gravitas’ rencana strategi memajukan industri filem sama sekali tidak boleh diterima lagi,” katanya.

Kata Dr Abu Hassan, zaman ini memerlukan sikap berani, sama ada untuk merancang penerokaan cara mengurus industri secara lebih konstruktif dan optimistik, termasuk kewibawaan untuk menggerakkan satu pemikiran kondusif dan intelektual.

Malah, katanya, ia perlu sesuai dengan zaman yang sikap industri filem itu yang berubah, sama ada sikap terhadap bentuk mahupun kandungan, kaedah dan sistem, dasar dan perundangan. Maka tentu sekadar nama atau tokoh dari sejarah tidak cukup.

Sebaliknya, diperlukan satu tenaga baru dengan intelektualisme dan profesionalisme yang juga baru, yang dapat memahami dan dapat menguasai cara menguruskan industri dalam abad ke-21 yang diketahui sangat mencabar dengan kesan globalisasi dan kebangkitan industri media baru.

“Akhirnya masyarakat industri filem mendesak untuk diambil tokoh muda yang lebih tegas, positif, pragmatis dan kreatif menjadi wakil mereka, sama ada sebagai senator atau wakil rakyat atau menteri mahupun untuk menguruskan mana-mana institusi yang berurusan dengan tanggungjawab membangunkan industri filem Malaysia.

“Tidak kira siapa mereka, asalkan ada kepakaran dan pengalaman dalam industri perfileman dan memiliki ketokohan daripada aspek intelektualisme dan profesionalisme yang sepadan dengan perubahan dan keperluan pada zaman ini, wajar mereka diterima sebagai tokoh paling layak mentadbir industri filem Malaysia sekarang,” katanya.

Dr Abu Hassan turut mencadangkan beberapa nama yang dikira sesuai sebagai wakil senator dalam kesenian yang dimaksudkan tadi. Maksudnya, generasi baru yang berpengalaman dalam industri ini.

“Nama seperti Aznil Nawawi, Rosyam Nor, Bade Azmi mahupun daripada kalangan akademik boleh dipertimbangkan, kerana sudah cukup lama kepercayaan diberi pada mereka yang selama ini masih sebagai pengurus atau wakil yang diberi tanggungjawab, tetapi nyata pada pandangan industri mereka gagal membawa industri kepada kemajuan yang diharapkan, malah potensi pada masa depan.

“Beri peluang pada generasi baru yang bukan sedikit pengorbanan mereka, malah kepercayaan terhadap intelektualisme dan profesionalisme mereka juga hendaklah dihargai.

“Apa salahnya senator kedua diberi pada seorang daripada mereka?” tanyanya.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: