Isu-isu Panas TV9

May 22, 2008

Sumber rencana: SELAYANG PANDANG DARI HAKIM KHATIB

Setiap hari saya akan pulang bekerja pada waktu malam sama ada selepas waktu maghrib ataupun selepas pukul 10 malam, ianya bergantung kepada keadaan. Secara tidak langsungnya, pulang ke rumah dari kerja dalam keadaan yang letih menyebabkan saya jarang-jarang sekali berpeluang untuk membaca surat khabar, mel, majalah dan lain-lain setiap hari apatah lagi untuk menulis dalam blog saya sendiri. TV pun hanya sesekali dapat ditonton, itu pun jika rajin saya duduk menghadap TV.

Pada minggu lepas, saya secara tidak sengaja telah membuka TV siaran sembilan(TV 9) pada jam 9.30 malam. Rancangan yang disiarkan pada ketika itu ialah berbentuk perbincangan pendapat dan penghuraian mengenai isu-isu semasa iaitu rancangan yang dinamakan sebagai HUJAH. Rancangan ini merupakan rancangan mingguan setiap hari selasa yang mana dipengerusikan oleh seorang moderator yang tidak asing lagi, iaitu Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusof. Beliau merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan sering dijemput untuk mengendalikan program diskusi yang lebih menjurus kepada isu politik dan isu-isu semasa.

Isu yang dibincangkan pada minggu lepas ialah tentang ‘Ketuanan Melayu’ bersama tetamu jemputan dari Universiti Malaya(UM) , mereka ialah Dato’ Malek Munip yang merupakan bekas pensyarah UM dan Prof Dr Azmi seorang pensyarah Undang-undang juga dari UM. Isu ini dibincangkan pada ketika itu dengan begitu menarik sekali kerana panel yang dijemput memiliki pendapat yang sama sekali berbeza antara satu sama lain dan turut mewakili dua kelompok masyarakat yang wujud di Malaysia kini. Dato’ Malek mewakili golongan tua Melayu yang memiliki gaya pemikiran masyarakat Melayu lama, manakala Dr Azmi pula bertindak sebagai suara golongan muda Melayu dan masyarakat Malaysia zaman kini.

Setiap panel mempunyai buah fikiran yang bernas dan mengemukakan hujah dan penjelasan yang cukup mantap hinggakan pada klimak rancangan ini kedua-dua orang tetamu ini saling berbalas hujah untuk membenarkan pendapat masing-masing. Pada ketika itu, moderator rancangan seolah-seolah kehilangan kata-kata untuk menghangatkan suasana dengan membangkitkan persoalan tambahan kepada jawapan yang diberikan para panel jemputan seperti kebiasaan yang dilakukan beliau. Keadaan ini terbawa-bawa hingga ke sesi kesimpulan apabila tuan moderator memberi kesimpulan yang ringkas, tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan isi perbincangan yang telah dihuraikan. Walaupun begitu, saya ingin memuji panel Dr Azmi kerana berjaya mengemukakan bukti yang kukuh disertai oleh penerangan yang jelas tentang isu ketuanan Melayu kerana pada hemat saya beliau secara halusnya telah menewaskan pendapat dan hujah-hujah oleh panel yang seorang lagi. Kata-kata di dalam hujah beliau melambangkan ciri-ciri masyarakat yang sentiasa inginkan kemajuan, yang mengutamakan keadilan serta menolak kezaliman dan mengamalkan, dan mementingkan ilmu dan toleransi dalam masyarakat.

Jika keadaan tersebut berlaku pada minggu lepas, berbeza pula pada minggu ini di mana kedua-dua panel yang dijemput agak senada dalam membincangkan isu ‘Kebebasan Media: satu retorik?’. Panel yang dijemput pada minggu ini adalah Puan Nuraina, bekas editor politik NST dan Dr Abu Hassan Hasbullah, pensyarah di Jabatan Media Universiti Malaya (UM). Agak menarik diskusi pada minggu ini kerana walaupun mereka saling membantu antara satu sama lain dalam menyokong dan menghuraikan isu kebebasan media tetapi mereka tetap berwaspada dalam mengeluarkan buah fikiran masing-masing. Moderator Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusof pun tidak teragak-agak untuk melakukan ‘provokasi’ melalui soalan-soalan yang sentiasa berkaitan dengan peristiwa yang sedang berlaku dalam negara kita masa kini. Pada kali ini, tuan moderator berjaya mengawal keadaan dengan cemerlang kerana beliau dapat menjana idea-idea bernas daripada para panel melalui soalan ‘cepu emas’ dengan lancer dan terancang.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam diskusi berkenaan ialah kebebasan media di negara kita tersekat terutamanya media arus perdana disebabkan oleh campur tangan ‘pihak berkuasa tertentu’. Bila dibangkitkan persoalan tentang kebebasan media alternatif (pembangkang) seperti harakah dan suara keAdilan oleh tuan moderator, para panel mengatakan bahawa media tersebut secara terang dan terbuka telah menyatakan pendirian mereka menjadi media bagi pihak mereka. Yang menjadi masalah pada pandangan para panel ialah apabila media arus perdana yang sepatutnya bersifat nasional, neutral dan terbuka dalam menyampaikan maklumat berita semasa dijadikan alat oleh pihak tertentu dalam menjayakan kepentingan mereka sendiri.

Selain itu, akibat daripada sekatan terhadap kebebasan media menyebabkan masyarakat mula hilang kepercayaan terhadap ketelusan penyampaian maklumat dan berita oleh akhbar dan media arus perdana. Disebabkan gejala tersebut, masyarakat kini lebih gemar untuk mencari media alternatif. Tambahan pula, peredaran zaman yang membawa manusia ke alam siber berteknologi dan maklumat tanpa wayar menjadikan medium ‘web blog’ atau ‘blog’ semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa sekarang. Maka tidak hairanlah sekiranya kehadiran ‘blog’ dan ‘blogger’ terutama sekali sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) hingga menjelang saat-saat akhir ketibaannya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun kewujudan lambakan media-media kecil ini di ruang maya siber dikhuatiri menjadi tempat penyebaran maklumat berita yang salah dan fitnah berbentuk hasutan, para panel yang hadir sepakat berhujah bahawa masyarakat sudah pandai untuk membezakan betul salah dan baik buruk sesuatu maklumat. Jadi, tidak timbul soal tersekatnya soal kesahihan maklmat kerana hanya media yang telus dalam penyampaian berita sahaja akan menjadi perhatian masyarakat. Malahan, kebebasan media dapat direalisasikan kerana semua pihak dapat menyuarakan pendapat mereka secara terbuka dan adil tanpa tekanan mana-mana pihak.

Akibat seterusnya daripada kebebasan media tersekat ialah wartawan media dan akhbar akan hilang kebebasan untuk berkarya dan nilai kreativiti akan berkurangan dalam hasil karya mereka. Kesan daripada itu, nilai-nilai kewartawanan yang menjadi pegangan mereka terpaksa dikorbankan kerana mendapat tekanan daripada ‘pihak tertentu’. Timbul juga saranan dari pada panel untuk kerajaan menghapuskan terus mana-mana undang-undang yang bersifat tidak adil kepada kebebasan media seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Anti Hasutan. Moderator turut membangkitkan kemungkinan rasional kewujudan undang-undang tertentu berkaitan dengan kebebasan media di negara kita adalah untuk membendung masalah integrasi kaum yang boleh timbul. Tetapi para panel menidakkan alasan tersebut kerana bagi mereka masalah integrasi bukan berpunca daripada media malah tidak ada kait mengait langsung. Yang menjadi punca sebenar ialah dasar pendidikan yang dijalankan oleh pihak pemerintah sejak dari dahulu lagi kerana tiadanya integrasi dalam sistenm pendidikan di negara ini.

Kesimpulan daripada diskusi HUJAH pada minggu ini ialah media mestilah dibenarkan untuk menyampaikan berita secara tepat, lengkap dan pantas serta rakyat Malaysia terutamanya pihak media tidak seharusnya disekat untuk berhujah dan bersuara dalam memberi pendapat tentang sesuatu perkara.

Saya menantikan ketibaan rancangan ini pada minggu depan walaupun dalam sesetengah perkara yang dibincangkan wujud ketidaktelusan dan keadilan.

Blogged with the Flock Browser

Tags: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: