Weblog dan Anekdot-anekdot

May 13, 2008

Petikan dari Antologi Blog, muring-wien, DONGENG SEHELAI NON-KERTAS, Vienna, 2003

 

Salam

Memandangkan sampai ke hari ini, percakapan berkenaan blog alias weblog alias jurnal masih non-henti maka di sini, bagi menarik sehelai selimut dari katil sejarah, saya kebas-kebah apa yang pernah saya tulis berkenaan BLOG, WEBLOG, JURNAL ini dulu-dulu. Waktu itu masih berada di tanah orang, Vienna Austria.

Sepanjang tahun 2003: manusia dan dunia; dunia dan manusia; manusia dan manusia; dunia dan dunia, telah menempoh beberapa peristiwa besar yang terlalu banyak untuk disebutkan, dan sudah tentu yang paling mendapat perhatian oleh para penulis jurnal atau weblog sedunia ialah PEMBUNUHAN UMAT PALESTINA secara berterusan oleh tentera ’saruman’ Israel. Pasti sudah yang paling mendapat perhatian ialah peristiwa baru berlangsung iaitu PERANG IRAK yang dikobarkan oleh negara bangsat Amerika yang dipimpin oleh seorang Presiden Negara paling kejam dalam sejarah dunia iaitu George Bush (jika Hitler saat ini masih hidup, barangkali George Bush akan membunuh diri kerana takut…), dan disokong oleh dua rakan diktator yang juga paling berbahaya kepada dunia yakni Blair (Perdana Menteri Negara Kolonial yang kalah, Britain) dan Sharon (pembunuh pertama yang menjadi Perdana Menteri, apatah lagi bagi sebuah negara haram yang diwujudkan oleh Kolonial Britain yang kalah, dan sekarang dipelihara sebagai anak angkat oleh Amerika. Sharon terlibat dalam pembunuhan secara besar-besaran umat Palestina yang terkepung dan tidak bersenjata, di khemah Pelarian Sabra dan Shatila pada 1982, dan kejadian ‘The Rape of Palestine‘ ini berpuluh kali ganda dasyat dari ‘The Rape of Nanking‘.  Peristiwa kejahatan Bush-Sharon-Blair yang mengirimkan bala tentera ‘Sauron’ ke bumi Salehuddin Al Ayubi dan memulakan adegan ‘The Rape of Irak‘, pembinasaan danpenaklukannya telah mencetuskan perkembangan besar dalamngenre penulisan weblog apabila massa siber dikejutkan dengan kemunculan situs SALAM PAX yang membuat konon lapor-lapor secara langsung dari Baghdad. Weblog ini telah menghebahkan berita semasa tentang kedudukan dan keadaan peperangan tersebut meski Baghdad telah terputus (diputuskan oleh tentera Sauron) akan bekalan elektrik dan  dimusnahkan segala kemajuan sebelumnya termasuklah kemudahan siberismus. Dengan kata lain dalam suasana peperangan yang hancur binasa ini tidak ada satupun kemungkinan ada penduduk Baghdad yang masih menggunakan komputer lantaran semua talian telekomunikasi dikatakan telah dimusnahkan oleh askar Amerika dan sekuru celakanya bagi mengelakkan pasukan tentera Irak melancarkan gerakan susulan. Namun, semua ini tidak dikisahkan oleh para pengarang blog termasuk Salam Pax. Salam Pax akhirnya mengambil peluang ketagihan informasi pelbagai sudut dan ruang, mayatilik dan objektif apabila muncul sebagai blok yang menghidangkan entri sensasi tentang situasi kronologi perang ini dan menjadikan weblognya di antara weblog paling tersohor sejak sejarah weblog bermula. Di samping muncul juga ratusan weblog yang masing-masing mengheret mirip agenda, meski ada yang sedikit menyentuh sama ada pasal kemasyarakatan melalui entri yang bercakap tentang hak-hak kemanusiaan, kekejaman peperangan, kematian dan kemusnahan akibat tindakan zalim Bush-Sharon-Blair ini. Irak dan para gejuisnya merampas sebagian besar pemerhati jurnal sedunia dan massa siber. Kebanyakan pembaca weblog bertumpu kepada weblog yang mengangkat kebicaraan tentang kedudukan semasa perang di Irak sepenuhny. Dunia siber semacam berpusing 180 digri satah horizontal ke Baghdad. Weblog berisukan perang oleh tentera Amerika ke atas Irak menguasai 2 pertiga daripada jumlah akses www sehari dan menjadi fenomena baru di dalam kehidupan masyarakat, khususnya mereka yang masih priadara. Pendek kata tahun 2003 memperlihatkan telah tumbuhnya suatu bentuk budaya, mungkin masih di tahap belum budaya popular iaitu budaya weblog malah ada sebagian weblog telah berada di persada kecemerlangan dengan jumlah pembaca melebihi jumlah pembaca akbar-akhbar berbahasa Inggeris di kebanyakan negara barat. Malah perkembangan suarjagat ini membawa impak yang sama kepada pembangunan gengre weblog di Malaysia di mana dianggarkan sehingga hari terakhir tahun 2003, Malaysia adalah diantara negara pengguna weblog yang cukup meriah. 

Weblog akhirnya menobatkan diri sebagai salah satu lagi genre media yang paling berpengaruh dalam keadaan media tradisi iaitu akhbar sudah tidak boleh diharapkan lagi akibat masalah-masalah fizikal dan ideologi yang dibawa oleh mereka. Media tradisi, khususnya tertanda kepada media cetak seperti akhbar dan majalah; termasuk juga media elektronik seperti televisi dikatakan sudah terhapus sikap bertanggung jawab bagi mendidik dan menjaga keutuhan manusia khususnya nilai pikiran dan perasaan secara intelektual dan jauharibudi kesan campur tangan politik. Media tradisi sudah tidak bermaruh apabila kebanyakkannya adalah mengheret propaganda pihka-pihak dan melenyapkan kepentingan umat terbanyak. Media tradisi sudah menjadi media ‘bangang lagi menghinakan’ apabila objektif intelektual dan kebebasan bersuara telah lupus sebaliknya keluar menjadi otak kepada politik yang kebanyakkan bukan sekadar ’sewek’ tetapi ‘jahat’. Media tradisi; dan yang paling ‘musnah identiti’ ialah akhbar, di mana kebanyakan media ini telah mengabaikan kefungsian ke atas nilai humanismus dan kewarasan pemikiran pula sudah terbuang jauh sebaliknya elemen-elemen sensasi dan propaganda menjadi ‘precious’. Ketagihan untuk mendapatkan informasi yang lebih celik, lebih rasional, lebih kritis, dan ketat humanismus mendorong kemunculan genre weblog. Genre weblog yang dahulunya terasa di atas sifat sebuah diari peribadi yang terbuka bertukar menjadi media independen. Media yang dipercayai lebih jujur, lebih terbuka dan bebas, lebih faham tentang kesedaran berkenaan akal fikir dan akal rasa, lebih menjelma ‘ghoyat’ sosialisasi kerana terjauh dari pengaruh politik dan terjarak dari kekayaan rasuah politik. Buktinya isu Perang Irak atau ‘The Rape of Irak’ di mana pertumbuhan kepercayaan ke atas penulisan weblog begitu berkembang sehingga sebagian pancaindera manusia, khususnya khalayak media moden berpusing ke genre ini untuk mencapai kepuasan menerima informasi. Didorong oleh pikiran dan perasaan membela kemanusiaan maka akhirnya kemuncak pengaruh weblog sebagai media independen tercapai dengan huraian tentang cerita penangkapan Saddam Hussein, musuh Bush yang konon sedang tidur di dalam lubang cacing. Dalam keadaan Amerika terdesak untuk mengesahkan situasi, weblog pula melancarkan kempen dari segala sudut kewarasan masing-masing yang bukan sedikit, ada weblog telah memberi luka parah kepada bontot otak Bush, Sharon dan Blair.

Weblog atau jurnal siber bukan sekadar berkembang sebagai genre yang digunakan oleh para penulis yang memenuhkan harapan dari kemajuan siberismus dan sizilium sedunia bagi mengambil alih peranan diari kertas dengan kisah-kisah peribadi dari hal ehwal tidur, makan, jatuh cinta, putus cinta, dan berjalan keliling kampung tetapi telah berjaya dari satu sudut dan satu bagiannya apabila weblog telah mendefinisikan gerakan sebagai genre ke arah cara memimpin dunia, apabila entri-entri mula bergerak ke satu dimensi yang lebih besar, lebih intelektual dan lebih akademik.  Isu Perang Irak menjadi ujian kepada garis pemikiran para blogger atau gejuis dan ia tidak lama, akhirnya mula mengheret webloggers/gejuis untuk membincangkan dan meluahkan akal fikir dan akal rasa yang nyata tinggi, akademik dan genius dan mula meninggalkan isu-isu peribadi kembali ke dalam peti bahan terbuang yang disimpan, dan pemikiran mula diperucapkan dengan lantang, tenang dan penuh ‘berjiwa semangat’. Entri jurnal mula beraktif sebagai suara penentangan terhadap peperangan yang dilancarkan oleh Amerika dengan akhirnya berjaya menggerakkan kebangkitan massa menentang peperangan. Entri jurnal oleh para gejuis sedunia, khususnya dari kalangan penulis siber yang bercakap atas nama Irak mula menyuarakan tentangan, dalam parafrasa dan figura, bahasa abjad angka dan visual, dan mengguna segala kebolehan gelombang emosi, psikosis dan neurosis, fizik dan nomos bagi merangsang kebangkitan suara anti perang di Irak melalui argumentasi ke atas kesan-kesan perang: kehancuran dan kemusnahan manusia; bukan saja soal kematian tetapi kepada soal kezaliman, kejahatan dan sebagainya. Bush dan Saddam menjadi karakter yang mendapat tempat di seluruh entri para penulis weblog dan weblog akhirnya mencapai kedudukan setaraf dengan media yang lain, dan hampir mengambil alih kepentingan media tradisi yang lain. Malah hari ini tidak dinafikan ada (… masih hipotesis) khalayak siber hanya membawa weblog dan membuang jauh saluran akhbar internet kerana sikap menyukai kebebasan kritis yang terdapat dalam weblog itu.

Nah! Weblog dari tangan-tangan, dari akal rasa dan akal fikir para penulis ini akhirnya menemukan suatu jalan perucapan dalam menyampaikan suara benar mereka secara akademik dan intelektual, jelas dan serius. Meski ada kadangkala diperucapkan melalui teknik jenaka, satira, dan berada di paras kesastraan. Namun ia adalah bukti pencapaian genre weblog ini. Namun masih tidak cacat dan tidak membusuk untuk para gejuis bermain dan bergerak di atas halusinasi, imaginasi dan ‘dream’ peribadi namun hakikat keletakan asa ilmiah adalah paling penting kerana dari jurnal, ramai massa yang menjadi pembaca, maka kita tidaklah mahu mengheret mereka kepada suatu rupa dunia tolol yang terpenuh dengan sifat-sifat nenek kebayan dan pari-pari rimba sahaja, kerana dengan itu kita akan berdosa menjadikan mereka kembali sebagai manusia purba sebagai mana sikap media tradisi seperti akhbar dan teleivisi selama ini. Weblog dan jurnal sesungguhnya tidak menolak deskriptif naratif, rekacipta cerita, dan sama sekali tidak menentang kewujudan elemen propaganda dan spekulasi, apatah lagi teks-teks yang dihubungkan dengan kesasteraan dan kebudayaan seperti sajak, cerpen, novel, drama, nyanyian dan seumpamanya kerana jurnal siber adalah suatu genre sizilium yang sifatnya memadatkan segala benda menjadi suatu nilai utama, malah weblog begitu mengharapkan dengan kemasukan genre-genre seni sains di luar kerangka siber akan mengukuhkan lagi kedudukan genre weblog sebagai jentera siberismus yang berkesan di dalam misi kependidikan dan penyebaran maklumat iaitu asas kepada falsafah siberismus. Namun jika weblog itu terpadat dengan bahan-bahan ini yang bersifat bahan buangan, yang tidak lebih sebagai hasil perkumuhan maka ia adalah suatu yang cukup membusukkan. Suatu hal yang tidak membawa manfaat kecuali mengundang masalah, penyakit dan tragedi. Seperti di awal tadi jurnal siber adalah jurnal maka sebagai jurnal ia adalah menyatakan kedudukan jurnal sebagai bahan pengetahuan yang mempunyai helaian-helaian seminar ilmu yang jelas. Tidak dinafikan ada kala massa cuba lari dari kongkongan hal ehwal pikiran yang berat dengan mengalih kepada sifat-sifat perasaan tetapi perasaan itu tidak semestinya menjadikan gejuis mencatat sesuatu yang bukan dari asa, yang hanya bersembang atas nama mencari nama meski kepencarian nama itu banyak mengheret kesia-siaan dari segi masa maupun ruang, dan hidup sebagai manusia. Jurnal sepatutnya berfungsi sebagai motor yang mempunyai kuasa untuk menggerakkan kita ke suatu destinasi yang lebih baik dan sempurna. Dan tidak ada destinasi yang lebih baik dan lebih sempurna selain daripada membawa diri dan manusia kepada kedamaian dunia dan ketaatan kepada Tuhan Maha Esa.


MONTAGE
25 haribulan 12, 6 hari sebelum kedatangan 2004, dalam keadaan entri penderitaan dan kesengsaraan umat di Irak, bahkan di Palestina dan di kebanyakan negara lain belum pun habis menjadi tema yang terpenting dibahaskan, diucapkan, diluahkan, dan dipekikkan di dalam weblog, maka hari ini suatu peristiwa dahsyat telah berlaku di Kota Purba penuh sejarah Bam, di Iran apabila terjadinya GEMPA BUMI yang cukup kuat dan berita kehancuran kota ini mendapat tempat teratas di kalangan para penulis sizilium. Gempa bumi yang dikatakan telah meragut hampir 30 ribu jiwa ini merampas kedudukan perang Irak sebagai tema utama entri weblog alias jurnal sedunia. Satu demi satu weblog muncul melaporkan secara dekat, lebih pantas daripada siaran penuh putar belit CNN dan rangkaian media milik Murdoch yang lainnya. Jurnal alias weblog telah membawa orang ramai ke Bam secara langsung dengan berita yang lebih lengkap dan tepat seperti yang diusahakan oleh jurnal TECH GURU ini. Hasil dari pembuahan pikiran dan perasaan para gejuis di Iran tentang penderitaan yang harus dikongsi, tentang kemanusiaan yang harus dipenuhi, dan nilai serta identiti yang harus dibangunkan maka mereka berkumpul dan menjadi suatu pasukan penggerak yang cukup berkesan di dalam menyelesaikan dan memberi bantuan dalam sebagian masalah masyarakat. Mereka tidak lemas dalam dunia jurnal dengan aktiviti-aktiviti sia-sia. Mereka tidak mundur ke belakang sebagai kaum yang hidup melihat tanpa berbuat, yang menjerit sebagai manusia insomnia yang tidak dapat tidur atau meratap sebagai orang yang hilang waras. Mereka menjadi pemacu dan menyokong tamadun.

Jurnal sudahnya benar-benar telah menjadi salah satu media yang berfungsi sebagai dokumentasi intelektual dan akademik yang cukup padat dan ketat. Penulisannya bukan saja bersifat buku rujukan atau bahan ilmiah yang keras tetapi dengan adanya unsur-unsur emosi atau pathos melalui perucapan-perucapan akal rasa para penulis menjadikan weblog sebagai satu-satunya genre media yang mempunyai nilai hayat. Penulisnya membawa berita dan maklumat ke dalam perucapan fiksional yang cukup menyatakan fizikal dan spiritual. 

ANEKDOT.
Namun sayang, perkembangan jurnal siber atau weblog yang berlaku di dunia ini tidak banyak mengubah situasi weblog di Malaysia. Arus weblog menjadi bahan dokumentasi ilmiah tidak tersentuh kepada weblog di Malaysia. Weblog di Malaysia, seperti yang terpunya oleh kebanyakan para penulis yang ada di dalam Geng Jurnal (GEJU) masih berada di paras diari-diari peribadi yang ditulis semasa hendak tidur dan untuk disembunyikan di bawah bantal sebelum air basi meleleh dari tepi bibir dan membentuk peta busuk yang disebut sebagai peta dunia penulisnya yang lena amat itu. Weblog di Malaysia, melalui entrinya masih bersenggama di dalam cerita-cerita pra dongeng, pra hikayat, dan pra ilmu di mana kisah-kisah cinta kera, sakit demam, dilarikan hantu, diusik nenek kebayan, dan buk bek buk bek seputar alam yang dibikin sendiri, yang tidak bersentuh dengan realiti, yang tidak berlihat kejadian dunia keliling, menjadikan sebagian dari weblog di Malaysia hanyalah sekadar sehelai kain yang nipis yang menampakkan ketelanjangan diri sendiri. Isu-isu masyarakat langsung tidak diangkat sebagai tema dan kebanyakan cuba menjarakkan diri dan melarikan diri dari teks-teks bersifat ilmiah dan akademik, yang boleh membangunkan identiti dan nilai masyarakat. Mungkin ada benar takut untuk dituduh terlalu bijak, tetapi yang terlihat ialah perhatian kepada hal ehwal hiburan, suka suka, hu ha hu ha, menguasai segala-gala. Bukanlah salah untuk menulis tentang ketawa dan hidup yang hepi, kerana weblog adalah diari peribadi secara lahiriahnya, namun bahasa ketawa dan cerita hu ha hu ha itu akan menjadi lebih bermakna sekira kita gerakkan di atas kesedaran membela dan membina bangsa yang sendiri diketahui masih jauh untuk mencapai tahap cemerlang. Dalam dunia yang berkembang di atas pengaruh globalisasi dan glokalisasi ini sudah tentu menuntut masyarakat seperti yang terwakil kepada penulis jurnal atau weblog untuk memberi sumbangan fikiran secara kritis agar darinya tumbuh suatu ideologi, suatu gagasan, suatu rancangan yang memungkinkan cita-cita mencapai aspirasi sebagai sebuah bangsa dan negara yang murni akan tercapai. Dunia bukan sahaja kepunyaan para pejoget tetapi dunia dalam sejarahnya dibina dan dijaga oleh para pendita.

Masyarakat bukannya berkembang di atas hiburan, tetapi dengan ilmu dan pengetahuan. Bukanlah salah kita menari dan menyanyi tetapi untuk menjadikan seluruh negara sebagai Akademi Fantasia adalah suatu yang malang. Tidak dikatakan gila sekira seluruh rakyat menjadi artis, penari, pelakon, dan penyanyi kerana hakikat kepentingan hiburan dalam elemen seni adalah nyata tetapi jika itulah perhatian yang diberikan dan itulah cita-cita yang mahu dimajukan maka sudah tentu masyarakat itu tidak ubah masyarakat yang tidak menemui jalan untuk bersedia dengan cabaran menjelang kematian. Cabaran untuk menempoh dunia yang lebih abstrak. Dunia yang lebih pragmat. Dunia yang mengakukan kedudukan kemajuan di atas keupayaan menakluk saitek. Dunia yang mengiktiraf kecerdikan lebih utama berbanding tarian dan joget rambung di kelab malam. Maka kemajuan masyarakat adalah dijenterakan oleh kebijakan dan kebolehan mengendalikan dan menghasilkan teknologi, kerana dunia ini meletakkan pengaruh itu secara keras di samping kekuatan nilai dan identiti. Untuk mencapai ini maka ia harus digerakkan dan dimotorkan dengan ilmu dan ilmu itu terwujud di dalam kependidikan. Jika kita lihat bagaimana para penulis weblog di beberapa negara yang lebih miskin konon dan konon dari Malaysia seperti Irak dan Iran maka kita akan berasa betapa malunya kita kerana masih bercakap tentang hantu dan pelesit, dangdut dan joget, sedangkan mereka sudahpun masuk ke dalam isu masyarakat dan kehidupan yang sebenarnya. Barangkali kita sudah cukup untuk membaca dari ‘Salina’, mendengar dari ‘Rokiah Ronggeng / Ronggeng Rokiah (Judul Sebenar)’, dan menonton ‘Sembilu’ dan ‘Mami Jarum’ kerana semua itu telah sekian lama dan begitu banyak membuatkan paru-paru kita menjadi ‘edan kesmaran’, jika kurangpun menjadikan kita ‘biang miang’ dan saat ini kita memerlukan pula teks tentang seorang ulamak atau guru besar, atau pemimpin kampung, atau seorang pria muda yang kacak membawa masyarakatnya ke kakilangit di mana tamadun berada. Tidak mungkin, joget itu tamadun kita…

Sudah tiba kita melihat tindakan masa depan dalam struktur yang lebih terancang. Bak kata orang, tidak salah kita bermain bowling kerana ia juga menyihatkan, tetapi malang jika kita asik bermain bowling dan ketawa, dan hilai hai hai hai, sedangkan pada masa yang sama beribu manusia lain sedang terapung mati lemas akibat banjir kilat dan sebagainya sedangkan kita tahu, tetapi kita bekukannya menjadi batu. Jika kita menulis dan menyatakan hak tentang ini sebelumnya, setidaknya ada yang akan tersampai kepada angin mahupun kaki langit dan singgah di mana-mana kantor birokrat dan menghentak kepada Perdana Menteri agar lihat ke Kampung Baru, Kampung Sawah Sempadan, Kampung Binjai, Kampung Nangka, malah bandar Kuantan pun masih banyak masyarakat kita menjadi Palestina di negara mereka sendiri. Sampai bila kita mahu menjadi kera dalam keadaan kita mempunyai nilai untuk memenuhkan sifat manusia yang sebenarnya.

Lord of the Ring (LOTRI) adalah suatu entri yang boleh dipelajari. Bagaimana watak membina ‘management‘ dalam menjayakan misi masing-masing, dari satu babak ke satu babak, dari satu situasi ke satu situasi, dari satu perang ke satu perang, dari satu teritorial ke satu teritorial dan akhirnya kita mengesani bagaimana kesudahan ditentukan oleh fikiran yang rasional dan sikap yang waras, dan identiti yang keras. Kita tidak mahu satu hari nanti kita menjadi Gollum – kerana selama inipun masyarakat kita telah sekian kali hancur kerana watak-watak semirip Gollum ini. Untuk mengelakkan kita menjadi Gollum maka tidak ada jalan yang lain iaitu kita kembali kepada identiti. Kita kembali kepada nilai. Kita kembali kepada ilmu dan pengetahuan secara hakiki.



Sudah tiba para penulis weblog Malaysia menjadikan weblog sebagai genre penulisan siber yang menggerakkan nilai-nilai akademik dan intelektual, bukan sebagai sebuah buku teks, tetapi sebagai suatu hasil akal rasa dan akal fikir, yang mengutip pengalaman diri dan pengalaman manusia, dan pengalaman dunia untuk menggerakkan asa kepada pengjanaan masyarakat yang lebih dinamik. Cukuplah kita bergerak di antara lorong-lorong balingan bowlings, bersembang tentang hantu di hutan dan jin di kandang kerbau, atau tentang kisah-kisah sia-sia kerana kejadah apa yang terhasil darinya, tidak ada, selain dari menyuarakan kegolluman diri sendiri. 

2004 harus menjadi titik kemunculan generasi intelektual yang mempunyai cita-cita kerana di depan pasti ada tanggung jawab kita untuk menyelamatkan Minas Tirith dari segala macam Sauron yang akan muncul… Nah! Jika tidak kepada kita, apakah kepada batu dan kelawar-kelawar hendak diserahkan tugas ini?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: