Blog Paling Berkesan

May 7, 2008

Blog paling berkesan

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.Com.My

KIRA-KIRA dua tahun lalu, perkembangan media alternatif, terutama laman blog dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak hingga ada yang menggelarkan penulis blog atau blogger sebagai ‘goblok’ (bahasa Jawa yang bermaksud bodoh). 

Waktu itu kebanyakan artikel disiarkan di blog tertentu didakwa berbaur fitnah, memiliki unsur hasutan dan perkauman, malah memiliki kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, kebanjiran blog, terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 baru-baru ini, ternyata meninggalkan kesan, sekali gus mengejutkan pihak yang memperkecilkannya. 

Kehangatan pengaruh blog terbukti memberi kesan besar apabila ia digunakan secara berkesan dalam kempen pilihan raya, terutama daripada parti pembangkang atau individu yang kebanyakannya lebih cenderung kepada mereka.

Ini dibuktikan dalam kajian yang dilakukan pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah yang mendapati 70 peratus keputusan pilihan raya lalu dipengaruhi maklumat yang dipaparkan dalam blog.

Beliau dalam satu laporan akhbar berkata, Malaysia memiliki hampir 500,000 blog aktif membuktikan penggunaan blog sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat berkaitan politik.

“Blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat yang sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna internet bertambah setiap hari,” katanya. 

Pengaruh blog bukan setakat di Malaysia tetapi seluruh dunia apabila perbincangan berkaitan blog bertajuk ‘Penulis dan Blog : Trend Masa Kini’ di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac lalu, mendedahkan sehingga Februari lalu terdapat 108 juta laman blog dengan 120,000 blog setiap hari atau 1.4 blog sesaat!

Pengaruh blog terhadap senario politik tempatan dikatakan bermula pada 1998. Selepas itu media alternatif itu terus bergerak pantas dan menarik lebih ramai pembaca.

Trend berblog di kalangan ahli politik parti pembangkang bermula sejak 2005, antaranya Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan (DAP).

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (DAP), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali antara pemimpin parti pembangkang yang aktif sebagai blogger.

Terbaru, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mewujudkan laman blognya di http://www.chedet.com yang baru dilancarkan Khamis lalu (1 Mei), menerima 10,000 pengunjung pada hari pertama berada di laman siber.

Selepas pilihan raya umum, kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) mula cenderung mewujudkan laman blog masing-masing. 

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo adalah antara ahli politik Umno terawal yang mewujudkan laman blognya.

Blog berjudul ‘Cetusan Rasa Dr Mohamad Khir Toyo’ (www.drkhir.com) dimulakan pada 28 Mac lalu dan kini sudah mencatat lebih 500,000 pengunjung. 

Menerusi blog berkenaan, beliau berharap ia dapat menjadi wadah untuk berkomunikasi dengan pembaca dan rakyat khususnya dalam isu politik dan sosial.

Kehadiran Khir ke dalam dunia blogger seperti dinanti-nantikan apabila artikel pembukanya menerima hampir 600 komen atau respon daripada pembaca.

Selain memberi galakan dan menyokongnya, tidak kurang juga yang mengkritik dan menghentamnya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut tidak ketinggalan dengan mewujudkan laman blognya sendiri iaitu ‘Dari Kacamata Mohd Ali Rustam’ (www.mohdalirustam.blogspot.com) sejak bulan lalu.

Malah, Ketua Menteri Melaka itu juga meminta semua pemimpin BN, khususnya Umno mewujudkan laman blog masing-masing bagi menyaingi 240 laman serupa yang dihasilkan pihak tertentu, majoritinya cenderung menyokong pembangkang.

Beliau berkata, laman blog wajar diwujudkan segera bagi menerangkan aktiviti selain membolehkan masyarakat berinteraksi secara terus dengan pemimpin tanpa mengira waktu.

“Sudah tiba masanya bagi setiap pemimpin BN, tidak kira peringkat tertinggi hingga cawangan mewujudkan blog masing-masing. Ia adalah salah satu cara untuk menyalurkan maklumat tepat, pantas dan boleh mengelak tumpuan kepada blog antikerajaan,” katanya, baru-baru ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib (www.muhammadmuhdtaib.com) menerusi blognya pula berharap dapat bertindak seperti posmen untuk kementeriannya dan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno memberi peluang kepada orang ramai menyuarakan pandangan, masalah dan kritikan membina secara terus kepadanya. 

“Kita mahu mendengar apa yang hendak disuarakan rakyat mengenai sebarang keraguan, masalah, cadangan, pandangan dan nasihat kepada kerajaan. 

“Biarlah kita berterus terang antara satu sama lain kerana rakyat sudah menyuarakan keprihatinan dan ketidakpuasan hati pada pilihan raya lalu,” katanya. 

Selain Dr Mohamad Khir, Mohd Ali dan Muhammad pemimpin BN lain yang memiliki blog ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu, dunia blog turut dimeriahkan dengan blogger tempatan berpengaruh yang kebanyakannya terdiri daripada bekas pengarang akhbar, wartawan, aktivis masyarakat dan golongan profesional yang sebahagian besarnya mengetengahkan isu semasa, politik, kenegaraan dan sosial.

Sementara itu, usaha RTM memperkenalkan rancangan televisyen baru bertajuk ‘Blog’ memperlihatkan sikap kerajaan yang lebih terbuka terhadap blogger. 

Rancangan bual bicara selama 20 minit itu menjemput blogger terkenal, Datuk A Kadir Jasin dalam siaran pertamanya pada 20 April lalu.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata program itu adalah sebagai pengiktirafan kepada sumbangan idea dan pendapat blogger mengenai isu semasa yang dapat membantu pembangunan negara.

“Ia juga membuktikan sikap keterbukaan kerajaan yang sedia untuk mendengar sebarang cadangan dan pendapat penulis blog untuk dikongsi bersama rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Kehadiran blogger di kalangan pemimpin politik, terutama daripada BN sebenarnya cukup positif. Rakyat kini mampu memperoleh maklumat ‘first hand’ berhubung senario politik tempatan. 

Bagaimanapun, sebagai muka baru dalam dunia blog yang tanpa sempadan, mereka perlu mematuhi beberapa pantang larang supaya blog mereka terus dikunjungi dan menerima banyak respon.

Antara yang menjadi ‘dosa besar’ bagi blogger ialah jika mereka tidak menjawab komen pembaca atau tidak mengemaskinikan blog.

Blog memberi peluang pembaca berinteraksi secara terus dengan blogger. Bayangkan jika setiap komen tidak dijawab oleh pemiliknya? Tentunya ia sesuatu yang sia-sia.

Begitu juga dengan blog yang tidak dikemaskini. Jika mahu blog mencatat kunjungan tertinggi, kemas kinilah blog setiap hari dengan sekurang-kurang satu artikel sehari.

Pembaca akan bosan dengan blog yang tidak dikemas kini dan akhirnya tidak akan dikunjungi lagi. 

Tinjauan penulis pada beberapa blog ahli politik mendapati sesetengahnya tidak dikemas kini sejak dua tahun lalu. 

Setiap blogger seboleh-bolehnya jangan memaparkan isu yang terlalu sensitif seperti menyentuh sensitiviti kaum atau berbaur lucah.

Diharapkan keputusan mereka menghasilkan blog bukanlah hangat-hangat tahi ayam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: