Media Tidak Wajar Sisihkan 5 Negeri PR

April 8, 2008

Media tidak wajar sisihkan 5 negeri Pakatan Rakyat – Dr Abu Hassan

Oleh Intan Abdullah
HARAKAH, DETIK DAILY; (08 April 2008)
Kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno-BN tidak sewajarnya menafikan hak rakyat mendapat akses media arus perdana kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Pendapat tersebut diluahkan Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hasan Hasbullah ketika dihubungi Harakah.

“Situasi yang ada sekarang ini menunjukkan kerajaan pusat tidak matang dan profesional dalam menangani hak yang seharusnya diberikan kepada setiap negeri tidak kira ia berada di bawah kepimpinan parti politik mana sekalipun,” ujarnya.

Tegasnya, kerajaan negeri yang telah diberikan mandat sah oleh rakyat menerusi pilihan raya umum lalu seharusnya diberikan ruang untuk menggunakan media milik kerajaan.

“Ini kerana mereka juga adalah kerajaan yang memerintah, yang berhak untuk mendapat liputan dan publisiti berhubung maklumat yang hendak disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Apa yang penting ujarnya, kerajaan pusat seharusnya mengamalkan prinsip keterbukaan terhadap kerajaan negeri yang diperintah dengan memberi laluan yang adil dan saksama untuk menyampaikan hasrat dan perancanga mereka.

“Kerajaan pusat sebagai pemerintah hendaklah mendokong kerajaan negeri yang memerintah negeri itu dengan menunjukkan sikap profesional dengan layanan sama rata,” katanya lagi.

Semua media ujarnya, perlu menjalankan fungsi dan tanggungjawab yang diberikan untuk kebaikan rakyat dengan mengamalkan sikap terbuka, intelektual serta menjalankan etika pemberitaan yang saksama.

Dr Abu Hasan turut menjelaskan bahawa media milik kerajaan perlu memahami bahawa mereka harus melihat kepada dasar keterbukaan dan mesti berfungsi sebagai alat untuk menyampaikan dasar dan hasrat kerajaan termasuklah kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

“Selain itu, terdapat juga media bersifat individu seperti blog dan laman web milik individu tertentu serta media milik organisasi seperti TV3, Harakah, Utusan dan Berita Harian.

“Kalau macam TV3, kita tahu 70 peratus sahamnya dimiliki Umno, maka tidak hairanlah jika ia menyampaikan maklumat yang bersifat memihak kepada parti tersebut,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa media yang sebenarnya mesti berfungsi dengan neutral dan seimbang dengan menyingkirkan sebarang sentimen berdasarkan prinsip pemberitaan yang sepatutnya.

Menjelaskan mengenai elemen yang perlu ada pada media yang sempurna, Dr Abu Hassan menyatakan bahawa media perlu jujur, adil, memiliki niat dan cara kerja yang berperadaban, matang serta profesional.

“Selain itu, ia juga perlu memiliki kekuatan masa depan yang berupaya membawa kita kepada masa depan di samping mengelakkan daripada sebarang unsur fitnah dan propaganda yang menjatuhkan kredibiliti sesebuah media,” katanya lagi,

Pada masa sama, beliau turut menyokong dan menyeru media agar bersikap terbuka kepada seluruh anggota masyarakat.

“Media masa kini perlu mengubah paradigma terutamanya media kerajaan kerana kerajaan bukan sahaja terletak pada kerajaan persekutuan semata-mata.

“Kerajaan negeri pun adalah kerajaan juga, jadi semua pihak yang terlibat perlu matang,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa kerajaan negeri perlu diberikan hak dan ruang yang sama yang tidak boleh dinafikan kerana mereka adalah kerajaan yang sah.

“Tidak wujud kerajaan pembangkang, dan media harus mengerti bahawa mereka telah bekerja dengan kerajaan yang dipilih rakyat sekali gus memerlukan mereka mengamalkan sikap yang positif serta demokratik,” tegasnya.

Tegasnya lagi, media yang ada sekarang ini tidak lagi boleh berfikir secara primitif sebaliknya perlu bertindak dengan bijak dan saksama secara serentak.

Mengulas mengenai isu sama, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menekankan bahawa tanggung jawab media kerajaan adalah untuk menyiarkan berita semua pihak bukan hanya Umno-BN sahaja.

“Seharusnya mereka membuka peluang itu kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat bukannya memberikan ruang kepada berita-berita yang dimanipulasikan sehingga menimbulkan polemik yang tidak sepatutnya,” katanya.

Ujar ahli Parlimen Pokok Sena itu, kerajaan Umno-BN hendaklah menyahut cabaran rakyat untuk mengubah apa yang telah berlaku sepanjang pemerintahan mereka sebelum ini dengan tidak menyalahkan pihak lain melainkan diri mereka sendiri.

“Sepatutnya pemimpin Umno yang berhasrat merawat parti itu perlu menerima cabaran rakyat dalam keputusan pilihan raya umum lalu yang menyaksikan penolakan terhadap parti itu dengan suatu perubahan,” ringkasnya.

Tambahnya, inilah masa yang tepat untuk memulihkan kredibiliti kerajaan kepada rakyat dengan memberikan ruang akses kepada kerajaan Pakatan Rakyat agar rakyat dapat menilai sendiri apa yang sebenarnya berlaku sekarang ini.
Tuesday, April 8, 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: