Fitnah Siber Tak Terlepas Hukuman

April 5, 2008

Fitnah siber tak terlepas hukuman
Oleh Mohamad Sofee Razak
BERITA HARIAN, 05.08.2008

Hak kebebasan bersuara bukan tiket hentam, buat tuduhan melulu di internet

MEDIUM fitnah memfitnah kini bukan lagi sekadar melalui komunikasi harian atau televisyen, akhbar dan majalah, malah trend fitnah kini sudah dianjak ke alam siber yang membolehkan sesiapa saja melakukan perkara tidak sopan boleh dibaca serta ditonton di seluruh dunia secara percuma.

Ini akan memberikan impak negatif lebih-lebih lagi kepada generasi muda. Melalui kemudahan internet yang kini begitu meluas digunakan, wajah dan realiti fitnah menjadi lebih mudah, cepat dan mampu menarik pengunjung maya melayari laman web fitnah itu.

Disebabkan terlalu ikutkan kata hati dan perasaan serta akibat maklumat dan kenyataan yang salah, cuai serta tidak tepat, seorang pengamal blog terkenal dan sebuah akhbar alternatif milik parti politik baru-baru ini diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Star membayar ganti rugi bagi saman fitnah sebanyak RM7 juta kepada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Nordin Kardi dan kepada universiti berkenaan. Ini adalah siri terbaru dan contoh terkini saman mega yang dituntut plaintif kepada pembuat dan penyebar fitnah.

Dalam buku Mengenali Undang-Undang Media dan Siber (2002) tulisan Dr Mohd Safar Hasim, dinyatakan bahawa saman tuntutan ganti rugi mega bermula dengan kes saman fitnah Tan Sri Vincent Tan terhadap majalah Malaysian Industry dan beberapa wartawan pada 1994 yang nilai ganti rugi diberi Mahkamah Tinggi ketika itu ialah RM10 juta. Pampasan begitu tinggi ini mengejutkan sistem perundangan serta kehakiman negara dan selepas itu tuntutan saman mega menjadi lumrah di negara ini.

Jumlah ganti rugi dan remidi yang tinggi serta lumayan diharapkan dapat menyedarkan semua pihak supaya sentiasa memastikan sebarang kenyataan, dakwaan, pendapat serta idea yang ingin disebar dan dikongsi dengan orang ramai hendaklah betul, bersesuaian dan diperoleh daripada sumber sahih serta boleh dipercayai saja, bukannya diambil daripada cakap-dengar yang tidak diketahui hujung pangkalnya atau diceduk terus daripada sembang dan gosip di kedai kopi. Semua pihak perlu membuat penapisan kepada setiap maklumat diterima bagi mengelak ia mencipta dan menyebar fitnah kepada orang ramai.

Penghakiman dan perintah yang dibuat oleh mahkamah baru-baru ini adalah ekoran penerbitan sebuah artikel yang didapati sarat dengan unsur fitnah bertajuk Dr Nordin Kardi Ciplak Karya Saya? Mohon Penjelasan, pada sekitar 2006 dalam laman web defendan.

Satu lagi artikel bertajuk NC UUM Penciplak pula disiarkan dalam sebuah akhbar tabloid sebuah parti politik. Defendan dalam kes ini tidak hadir membela diri di mahkamah atau memasukkan sebarang pembelaan kepada semua kenyataan yang dibuat.

Oleh itu, mahkamah dalam kes berkenaan memutuskan supaya defendan pertama membayar ganti rugi RM2 juta kepada plaintif pertama dan RM2 juta lagi kepada plaintif kedua.

Di samping itu, Ketua Pengarang dan editor akhbar terbabit juga turut diarah membayar RM3 juta kepada plaintif pertama dan kedua. Benarlah pepatah Melayu lama yang menyatakan ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ sangat sesuai dan wajar dijadikan panduan dan teladan kepada semua.
Mahkamah dalam kes ini mengambil kira jumlah pengunjung yang ramai terhadap laman web kelolaan defendan dan juga bilangan pembaca terhadap akhbar berkenaan menyebabkan plaintif terdedah dan berada di dalam kancah skandal, sensasi dan kontroversi umum.

Ini jika tidak dikawal boleh membawa kepada persepsi negatif kepada kesucian, ketinggian dan standard dunia intelektual di negara kita. Kesan buruk fitnah yang dibuat juga boleh mendorong masyarakat memandang rendah dan sinis kepada institusi ini.

Keadaan ini sudah tentu memberi impak serius kepada imej dan integriti intelektual plaintif pertama adalah seorang sarjana ternama dan plaintif kedua sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi utama negara. Fitnah yang dilemparkan meletakkan plaintif berada di dalam ketakutan, kehinaan serta kebencian masyarakat yang akan menyebabkan reputasi mereka boleh terjejas teruk dan kesannya boleh merosakkan status dalam bidang profesional masing-masing.

Sebarang usaha memperkecil dan mempermainkan kredibiliti institusi pengajian tinggi, individu atau mana-mana organisasi di negara kita perlu disekat dan penulis serta pengamal blog dan pengendali laman web perlulah bertanggungjawab ke atas segala isu, pendapat, komen atau apa saja yang dilontarkan kepada umum.

Akhbar, media cetak dan elektronik lain juga perlu adil, telus dan seimbang dalam proses penyampaian maklumat kepada rakyat agar apa yang ingin disampaikan berkesan menemui sasaran.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai satu kebebasan asasi rakyat Malaysia, pengiktirafan itu tetap ada batasan menurut fasal (2), (3) dan (4) agar ia tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan. Bukanlah tujuan undang-undang fitnah melarang orang bersuara atau mengeluarkan buah fikirannya.

Kebebasan hakiki dalam memperkata dan mengekspresikan sesuatu sememangnya tidak pernah wujud biarpun di negara maju sekalipun demi memastikan keharmonian dan kerukunan rakyat. Kebebasan yang tidak terkawal hanya akan membuka pintu fitnah, hasutan, propaganda dan sebagainya berleluasa dan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi, sosial dan politik di dalam negara.

Oleh sebab itulah di bawah undang-undang fitnah pertimbangan yang wajar dibuat antara memelihara maruah dan reputasi individu atau organisasi dan pada satu pihak dengan memelihara kebebasan bersuara dan mengkritik pada satu pihak lagi.

Di samping itu, kita juga mempunyai akta khusus dalam menangani masalah ini iaitu Akta Fitnah 1957 di mana seseorang itu boleh dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan perbuatan yang boleh merendahkan diri seseorang pada mata masyarakat; tindakan yang boleh menyebabkan seseorang dicemuh, dihina, dibenci dan dikeji; perlakuan yang boleh merosakkan reputasi dalam jawatan, profesion dan perniagaan seseorang; dan bertujuan merosakkan kredibiliti seseorang.

Dalam kes Sim lawan Stretch (1936) 2 ALL ER 1237, yang diguna pakai dalam semua kes fitnah di Malaysia yang mana mahkamah di England memutuskan bahawa perbuatan fitnah adalah sebarang bentuk penerbitan kenyataan yang menunjukkan reputasi seseorang dan kecenderungan menurunkan seseorang dalam penilaian ahli masyarakat berfikiran waras amnya, atau membuat mereka menjauhi atau mengelaknya.

Ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa perbuatan fitnah bukanlah perkara main-main yang boleh dianggap enteng dan lepas tangan.

Mengikut peruntukan undang-undang negara kita, secara amnya ada dua jenis fitnah iaitu fitnah sivil dan fitnah jenayah. Fitnah sivil dibahagikan kepada dua iaitu libel atau fitnah dalam bentuk bahan bercetak serta kekal dan slander iaitu fitnah secara pertuturan atau lisan.

Bagi kesalahan fitnah jenayah pula, statut yang boleh dirujuk ialah Kanun Kesiksaan di bawah Seksyen 499 sehingga Seksyen 502. Jika seseorang disabitkan mengikut kanun jenayah berkenaan, ia membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di sini membuktikan bahawa elemen fitnah sama ada kenyataan, tuduhan dan maklumat palsu boleh dizahirkan dalam pelbagai medium sedia ada sama ada secara tradisional ataupun melalui perantaraan teknologi moden seperti internet terutama melalui blog, portal, hab, laman web, e-mel dan juga melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang semakin popular sekarang. Fitnah kini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana juga dan sesiapa saja dapat menerima, membaca dan menyebarkannya.

Dianggarkan negara kini memiliki hampir 500,000 blog dan pengendali laman blog tertinggi di dunia selepas Eropah dan Indonesia.

Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata ini menjadikan penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.

Blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.

Kajian juga mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi maklumat yang dipaparkan dalam blog.

Semua mengakui akan hakikat serta fungsi ICT, internet terutama laman web seperti blog dan SMS yang sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam mempengaruhi pemikiran dan sensitiviti rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Prasarana dan inovasi ini diaplikasikan secara maksimum serta mempunyai rangkaian yang begitu sistematik. Wahana internet dan SMS kini menjadi saluran paling berkesan serta pantas untuk menyampai dan menyebar segala-galanya kepada rakyat yang mungkin dipandang rendah oleh banyak pihak sebelum ini.

Internet, SMS dan lain-lain sewajarnya digunakan sebagai wahana menyebarkan ilmu, dakwah dan maklumat berfaedah, menjadi medan berinteraksi secara intelek dan berakhlak serta bertindak sebagai saluran komunikasi yang paling efektif.

Semua medium komprehensif ini semakin banyak mempengaruhi gaya dan budaya hidup masyarakat moden hari ini, di mana trend terbaru ini perlu diaplikasi menurut perspektif agama dan undang-undang yang ada, bukannya berpaksi hawa nafsu dan kepentingan peribadi semata-mata.

Apa yang penting di sini ialah semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan agar ia tidak menjadi fitnah ataupun berunsur fitnah yang boleh membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain.

Tanggungjawab ini perlu dipikul semua pihak agar kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas fitnah dan tidak sewenang-wenangnya memusnahkan masa hadapan, kebolehan dan kelebihan orang lain dengan wujudnya budaya memfitnah yang tidak bermoral ini.

FAKTA NOMBOR
Ganti rugi saman fitnah kepada Naib Canselor UUM, universiti

RM2j – Bayaran ganti rugi defendan pertama kepada plaintif pertama

RM2j – Bayaran ganti rugi defendan pertama kepada plaintif kedua

RM3j – Ganti rugi Ketua Pengarang, editor akhbar kepada plaintif pertama dan kedua

Penulis, lulusan Sarjana Komunikasi Massa dan Sarjana Muda Undang-Undang UiTM kini berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: