BN LEWAT TEROKAI MEDIA BARU

April 1, 2008

BERITA BERNAMA
01 April, 2008 19:23 PM

BN Lewat Terokai “Media Baru”

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu mengakui bahawa ia terlewat dalam menerokai ‘media baru’ yang mempengaruhi corak pengundian pada pilihan raya 8 Mac lepas, kata pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya Dr Abu Hassan Hasbullah.

Beliau berkata bahawa kajiannya yang bertajuk “Pilihan raya Umum Malaysia ke-12: Satu kajian terhadap teori, bentuk dan konsep strategi politik dari penilaian ke atas liputan media”, mendapati 100 peratus keputusan berdasarkan kajian itu adalah tepat.

Katanya antara keputusan yang diperoleh dalam kajian itu ialah beberapa negeri akan jatuh ke tangan pembangkang berdasarkan pengaruh media baru yang banyak mempengaruhi pengundi muda.

“Saya mendapati 70 peratus daripada keputusan pilihan raya pada tahun ini adalah dipengaruhi daripada media baru ini terutamanya daripada blog,” katanya kepada pemberita selepas Forum Masyarakat dan Media Dalam Pilihan raya 2008 di UM di sini hari ini.

Beliau berkata data dan keputusan yang diperolehnya bagaimanapun tidak digunakan oleh BN untuk menangkis serangan media baru tetapi terdapat pihak pembangkang yang datang meminta data kajian itu yang melibatkan 1,500 responden di setiap negeri dengan 300 sukarelawan membantunya.

“Kita mesti lebih terbuka kerana pihak pembangkang sudah menggunakan saluran media baru ini sejak 1998 dengan seramai 45 blogger, meningkat 50 peratus pada 1999 dan meningkat lebih kurang 7,500 blogger pada pertengahan 2004,” katanya.

Beliau berkata berbeza dengan BN yang mana sejak 2004 lagi hanya mempunyai dua laman web serta satu sahaja blog untuk menangkis beribu laman web yang berpihak kepada pembangkang.

Abu Hassan berkata pembangkang secara tidak langsung telah melatih blogger untuk menjadi ahli politik dan akhirnya memenangi beberapa kerusi parlimen pada pilihan raya ini.

“Satu pertiga daripada 10,000 blogger yang ada kini telah menjadi calon dalam pilihan raya ke-12. Generasi tua dalam parti pembangkang seperti Lim Kit Siang juga telah menggunakan blog sebagai saluran penyampaian,” katanya.

Abu Hassan yang juga terlibat dalam penulisan blog sejak 1998 berkata membuat blog bukanlah sesuatu yang mudah terutama untuk mendapatkan kepercayaan pembaca.

“Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang baru-baru ini juga membuat blog ada mengakui ‘sakit hati’ apabila membuat blog sendiri…Bukan mudah untuk membuat blog kerana ia perlukan lebih kurang 10 tahun sebelum sesebuah blog itu mendapat kepercayaan,” kata Abu Hassan.

Katanya jika BN tidak membuat pembaharuan dalam menerokai media baru ini, maka ada kemungkinan kerajaan akan tewas sepenuhnya pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata Malaysia kini mempunyai blogger teramai selepas Eropah dan Indonesia kerana generasi muda kini lebih mementingkan siapa yang lebih cepat membentuk informasi daripada terus mendapatkan maklumat daripada media tradisi.

Katanya dalam kajiannya terdapat satu kes di mana seorang calon parti pembangkang tidak dikenali penduduk setempat dan hanya sehari selepas meletakkan profil beliau di blog, sebanyak 70 peratus daripada penduduk di kawasan yang ditandinginya itu mengenali calon tersebut.

“Memanglah generasi muda yang lebih terdedah kepada media baru ini tetapi pengaruh generasi ini kepada ibu bapa dan keluarga turut menyebarkan kandungan blog dengan pantas,” katanya.

Kolumnis akhbar tempatan Datuk Johan Jaffar yang merupakan seorang lagi panel dalam forum hari ini berkata pengaruh blog dan sistem pesanan ringkas (SMS) pada pilihan raya kali ini tidak dapat dinafikan.

“Di Malaysia, orang lebih percaya Internet daripada sumber yang rasmi…Kempen pada pilihan raya kali ini juga tidak dijalankan secara konvensional dan dijalankan secara ‘senyap’,” katanya.

Johan berkata kebangkitan media baru ini tidak pernah dibayangkan memberi impak sebesar ini dan diharap akan menjadi peringatan kepada kerajaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: