Selepas P Ramlee

November 11, 2007

Selepas P Ramlee
Oleh Abie Abdullah
Harian Metro, 18.11.2007
 
BENARKAH dunia perfileman kita ketandusan aktor yang layak dipanggil hero dalam erti kata sebenar? Apakah definisi hero dan bagaimana cara menilai sama ada seseorang itu layak dipanggil hero atau sekadar pembawa watak?
 
BENARKAH dunia perfileman kita ketandusan aktor yang layak dipanggil hero dalam erti kata sebenar? Apakah definisi hero dan bagaimana cara menilai sama ada seseorang itu layak dipanggil hero atau sekadar pembawa watak?

Ini yang cuba dikaji oleh Jurusan Filem dan Penyiaran, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Sejak 12 tahun lalu, Pensyarah Kanan jabatan itu, Dr Abu Hassan Hasbullah, menjalani kajian Hero Filem Melayu yang memfokus kepada Rosyam Nor.

Penyelidikan ini bertujuan mencari bentuk hero filem Melayu, sekali gus menggambarkan hero Melayu kerana menurut Abu Hassan, belum ada lagi kajian secara komprehensif yang memberi definisi memperjelaskan konsep, bentuk dan penilaian kaedah mengklasifikasikan sebagai hero.

“Selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Nordin Ahmad dari dua studio — Jalan Ampas dan Studio Merdeka — kita tiada hero sebenar. Kosong! Kita tidak tahu siapa lagi selepas mereka.

“Cuma muncul beberapa nama seperti Azmil Mustapha, Eman Manan, Dharma Harun Al-Rashid dan Faizal Hussein, tetapi mereka cepat hilang daripada layar perak.

“Muncul pula cabaran sedikit daripada Ahmad Yatim dan Mustafa Nor yang kami percaya akan membawa gelaran itu, tetapi sayangnya sekejap saja.

“1975 tahun terakhir kita mempunyai hero, Jins Shamsuddin yang hebat di dalam Menanti Hari Esok. Selepas itu kita kembali kosong selama 20 tahun hinggalah penerbitan filem Jimi Asmara arahan Erma Fatima pada 1995.

“Walaupun Rosyam bukan pelakon utama tetapi sebagai Fakar, dia menampakkan ketokohan ke arah itu. Ramai yang belum melihatnya ketika itu kerana dibayangi Hani Mohsin selaku teraju utama,” katanya.

Abu Hassan yang turut menggunakan kira-kira 500 responden bagi setiap negeri untuk penyelidikan ini berkata, selain Jimi Asmara yang membawa kepada kisah Studio Jalan Ampas, pemilihan Rosyam dilakukan kerana aktor itu mencapai indeks Kajian Perwatakan, Emosi dan Nilai (EPL) sebagai pelakon yang tertinggi ditemui bermula melalui Jimi Asmara.

 
Kajian bermula 2 Ogos 1995 itu bertambah rancak apabila Suhan Movies memberi kepercayaan kepada Rosyam menjadi pelakon utama filem Suami, Isteri dan… setahun kemudian. Sejak filem itu, nama lelaki berasal dari Kerinchi, Kuala Lumpur ini terus menjadi antara tarikan utama penonton tempatan sehingga kini.
 
EPL atau Ethos, Phatos dan Logos berasal daripada perkataan Latin yang merujuk kepada perwatakan, emosi dan nilai serta norma yang dibawa oleh seseorang pembawa watak.

Ethos menurut Abu Hassan, cara seseorang pelakon mengangkat perwatakan yang dilihat daripada paras wajah, badan, pancaindera, tekstur hero seperti mitos, legenda, superhuman atau seksualiti.

“Dalam Jimi Asmara, Rosyam ada di dalam dunia Fakar (watak) yang menjadikannya Fakar lebih natural berbanding Hani Mohsin yang disusun pergerakannya.

“Superhuman yang dimaksudkan di sini ialah wujudnya rangsangan untuk menonton filem itu sehingga tamat. Superhuman ini ada pada P Ramlee, Nordin Ahmad, M Amin dan Hussain Hanif. Tengok bagaimana M Amin menjadi Sultan Mahmud sehingga penonton berfikir itulah Sultan Mahmud.

“Daripada seksualiti, bukan bermakna Rosyam seksi tetapi karisma yang ada padanya menjadi tarikan,” katanya.

Phatos pula merujuk kepada emosi, termasuk ego, super ego, psiko dan tingkah laku. Kata Abu Hassan, Rosyam ketika membawa watak sedih berjaya meyakinkan penonton yang dia dalam kesedihan walaupun itu hanya lakonan.

“Kita rasa tingkah lakunya ada di dalam keadaan emosi sebenar,” kata Abu Hassan.

Begitu juga perspektif Logos, di mana Rosyam mempunyai nilai norma kuat sebagai lelaki Melayu yang memahami budaya, bahasa dan adat setempat.

“Dia memahami matlamat lakonannya. Contohnya, kalau berlakon di dalam rumah Melayu, dia tahu membawa diri dengan persekitaran. Begitu juga dunia korporat, dia menyesuaikan diri dengan baik,” katanya.

Berdasarkan EPL itu, selain P Ramlee, Abu Hassan melihat pencapaian bintang luar termasuk Marlon Brando, Dustin Hoffman, Anthony Hopkins dan Robert De Niro sebagai perbandingan dengan Rosyam, di mana mereka semua mencapai indeks sempurna EPL iaitu satu markah penuh.

EPL mengiktiraf tiga peringkat tahap seseorang pelakon – 0.6 mata untuk pencapaian sebagai hero, 0.8 mata bagi legenda dan 1 mata untuk pencapaian tertinggi yang boleh dianggap sebagai Seniman Agung seperti dilakukan P Ramlee melalui filem Semerah Padi dan Seniman Bujang Lapok.

Selama tempoh 12 tahun mengkaji dengan 27 filem, Rosyam belum memenuhi indeks sempurna EPL dan paling tinggi, dia mencapai 0.88 mata melalui filem Castello diikuti KL Menjerit (0.77), Gangster (0.76) dan Berlari Ke Langit (0.68).

Bagaimanapun, angka ini menunjukkan Rosyam melepasi tahap hero dan legenda. Kajian akan ditamatkan dengan dua lagi filem – Anak Halal dan Kala Bulan Mengambang — yang akan menentukan kedudukan EPL Rosyam.

“Biasanya tempoh matang seseorang pelakon itu bergantung di antara filem ke-5 hingga ke-15. 

“Bagaimanapun, filem ini akan menentukan kajian saya dalam pencarian hero sebenar kerana indeks EPL Rosyam tercalar oleh beberapa filem yang saya kira tidak patut diambil olehnya seperti Kanta Serigala, Laila Isabella, Bara, MX3, Bisikan Remaja dan Pontianak Harum Sundal Malam.

“Rosyam sepatutnya tahu genre yang tepat untuknya seperti Castello, Gangster dan KL Menjerit. Namun genre lain pun boleh, asalkan karektornya bertepatan seperti dilakukan Brando atau Rudolf Valentino dalam Prince, Thieves of Baghdad. Biar karektor itu tampak perkasa di layar.

“Sebagai pelakon terkenal, Rosyam patut ada pasukan pemikir untuk membuat pertimbangan dalam tawaran. Dia layak menolak atau ‘demand’. Seharusnya dia memiliki prinsip sebagai pelakon hebat supaya tidak menjadi pelakon murahan atau jalanan,” katanya.

Brando pernah berkata: ‘Sesebuah filem itu hidup kerana heronya’. Abu Hassan menggunakan frasa ini untuk menjelaskan yang Rosyam seharusnya ada penasihat dalam meneliti skrip dan tawaran.

Ini pernah berlaku kepada Dustin Hoffman apabila menerima naskhah Rain Man. Jalan ceritanya dikatakan tidak sehebat mana, tetapi Dustin menghidupkan filem itu. Begitu juga Tom Hanks yang menghidupkan filem Cast Away.

Malah, Abu Hassan menyarankan perlunya skrip dibuat khas untuk Rosyam seperti dilakukan pengarah The Godfather 2, Francis Ford Coppola terhadap Al Pacino. Melalui penulisan cerita, penulis skrip boleh bayangkan bagaimana karektor pelakon itu.

Rosyam bernasib baik apabila pengarah Kala Bulan Mengambang, Mamat Khalid mencipta watak Salleh untuknya.

“Rosyam ada pada kedudukan tersendiri sebagai seniman,” kata Abu Hassan.

Kajian EPL ini dilihat sebagai usaha terbesar Jurusan Filem dan Penyiaran Universiti Malaya untuk mendidik pelakon menemui konsep dan kaedah berlakon dengan sempurna.

“Indeks ini turut membantu media dalam menilai filem. Selama ini media memberi jumlah bintang tertentu kepada sesebuah filem, tetapi berdasarkan apa?

“Bagaimanapun, kajian ini bercakap mengenai hero yang belum pernah dilakukan di Malaysia,” katanya yang akan membukukan kajian itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: