Mencari Kerjasama Intelektual dan Budaya

October 15, 2007

Sastera
Mencari kerjasama intelektual dan budaya — Kongres Budaya Serumpun
 
MASALAH terbesar dalam dunia intelektual dan kajian ilmu-ilmu sosial di Asia Tenggara khususnya Nusantara ialah ketiadaan kerjasama erat antara negara serantau.
 
Pada wilayah-wilayah Asia Tenggara sangat berpotensi untuk menjana tahap intelektualiti dan menyumbangkan kepada budaya keilmuan rumpun Melayu Polinesia.
 
Ketiadaan kerjasama secara akrab tersebut menyebabkan munculnya kecelaruan pengertian tentang kebudayaan. Ada yang meletakkan erti kebudayaan dengan peradaban.
 
Malah, kebudayaan juga sering ditafsir dengan skop yang cukup luas iaitu merangkumi apa sahaja kegiatan masyarakat Melayu Polinesia yang sepatutunya tidak boleh diletakkan sebagai wilayah kebudayaan.
 
Namun, ada sarjana-sarjana serantau yang menafsirkan pengertian budaya hanya terhad kepada aspek-aspek kesenian, kesusasteraan, senibina dan adat istiadat sahaja.
 
Kerancuan dan tidak ada persefahaman dalam mentakrif kebudayaan tersebut sesungguhnya memberi impak kepada pengembangan dan pengkayaan kegiatan kebudayaan yang berlangsung di negara-negara serantau.
 
Malah, lebih malang, ia menimbulkan ketidakselarasan dalam dalam bidang penelitian dan penyusunan strategi memperkukuhkan kebudayaan pada masa sekarang dan akan datang.
 
Banyaknya takrif atau pengertian yang diberikan terhadap kebudayaan dan tidak sedikit di antaranya saling bertentangan sehingga menimbulkan kebingungan kepada seseorang pelajar yang akan meneruskan pengajian di negara jiran.
 
Pendekatan terbaik untuk mewujudkan keseragaman pengertian, sekaligus mengukuhkan kerjasama intelektual tersebut ialah mengadakan pertemuan yang bersifat akademik yang menyeluruh.
 
Atas dasar untuk mencari ruang dan peluang kerjasama tersebut, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa) akan menganjurkan Kongres Sebudaya Serumpun pada 16 hingga 18 November ini.
 
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam aspek kebudayaan, kesenian dan nilai-nilai warisan, Kekkwa melihat bertapa pentingnya kerjasama di peringkat serantau dalam akademik dan budaya.
 
Ini kerana hanya melalui kerjasama dan kesefahaman yang padu sahaja martabat kesusasteraan, kebudayaan serta kesenian Nusantara diperkukuhkan setanding dengan bangsa lain di dunia.
 
Ketiadaan kerjasama yang erat antara para sarjana serantau telah membuktikan kesusasteraan dan kebudayaan Melayu serta Nusantara hanya menjadi titik kecil dalam peta intelektual dunia.
 
Program itu juga diharapkan sebagai anjakan baru untuk mengubah, membaiki dan mencari kesepakatan antara negara-negara serantau tentang pengertian sebenar kebudayaan Melayu.
 
Ia akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut merupakan program kerjasama dengan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan DBP.
 
Kongres tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
 
Dalam pada itu, sejajar dengan makna serumpun, kongres tersebut akan mempertemukan cendekiawan, budayawan dan sarjana dari negara-negara serantau dalam rumpun Melayu Polinesia, melibatkan Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Singapura dan Brunei.
 
Pertemuan tersebut akan memberi fokus terhadap perbahasan dan perbincangan tentang kebudayaan Melayu Polinesia dalam hubungan geografi, sejarah, psikologi dan sosiopolitik.
 
Dengan tema Sebudaya Serumpun Jambatan Hubungan Serantau, kongres juga diharapkan dapat membuka peluang kepada pertemuan pelbagai idealisme dan pandangan budaya dalam membina hubungan yang lebih akrab pada masa kini dan akan datang.
 
Dengan kata lain, kongres tersebut bertujuan mempertemukan idea, mencari nilai sepunya dan membina hubungan akrab termasuk dalam bidang penyelidikan tentang budaya serumpun.
 
Sesungguhnya, ia bakal memberi pulangan yang besar terhadap kemajuan keilmuan dan kebudayaan serantau sekiranya para akademik mengambil peluang secara maksimum.
 
Ini kerana wilayah Melayu adalah sebuah daerah yang unik. Kedudukan geografinya yang strategis telah menjadikan dunia Melayu sebagai pusat dan pintu gerbang hubungan dagang Timur-Barat sejak berabad-abad.
 
Dalam sejarah, dunia Melayu telah menjadi kancah pertembungan dan perebutan hegemoni hasil daripada pengaruh Great Traditions Agama-agama dan tamadun besar dunia.
 
Berkat penyerapan ajaran Islam yang menyeluruh sejak abad ke-13, wilayah Melayu telah mengalami buat pertama kalinya apa yang disebut Prof. H. Kern sebagai Revolution from Within, revolusi pedalaman yang secara drastik telah mengubah rupa dan wajah umat Melayu.
 
Perubahan tersebut termasuklah memberi persamaan darjat bangsa yang sebelum ini dipisah-pisahkan dalam sistem kasta Hindu dan feudal Melayu.
 
Islam dan Melayu pada era itu membebaskan akal budi daripada belenggu dongeng, legenda dan mitos masa lalu serta membimbingnya ke dunia nyata, tradisi ilmu dan peradaban yang rasional.
 
Malah, kongres tersebut bakal mengembalikan tradisi keilmuan dalam dunia Melayu. Ibn Batuta mencatatkan dalam bukunya, Travel in Asia and Africa bagaimana pemerintah Islam ketika itu cukup gemar mengadakan perbincangan ilmiah dengan kalangan cendekiawan yang terdiri dari Ulama-ulama.
 
Antara lain Sultan Malikul Zahir dengan kelompok ulama seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin ar-Raniry, Syamsuddin al-Sumatrani dan lain-lainnya.
 
Oleh itu, kongres sebudaya itu mempunyai makna yang sangat penting. Bukan sahaja menemukan para intelektual serumpun tetapi juga meneruskan tradisi keilmuan Melayu yang lahir daripada perdebatan dan perbincangan.
 
Sesi pertama kongres akan memperkatakan tema Komoditi Budaya dan Hasil Cipta Seni: Pengalaman Mancanegara. Ia dipengerusikan oleh Zalilah Sharif (DBP) dan akan menampilkan Dr. Abu Hassan Hasbullah (Malaysia), Drs. Fazlin Jaafar (Indonesia), Isa Kamari (Singapura) dan Nik Rakib Nik Hassan (Thailand).
 
Bagi sesi kedua iaitu Menghadapi Ancaman Globalisasi: Pengalaman Negara Serumpun ia akan menghadirkan Datuk Dr. Firdaus Abdullah (Malaysia), Dr. Worawit Baru (Thailand) dan Raman Daud (Singapura).
 
Sastera Sebagai Teras Pengucapan Budaya yang merupakan tema sesi ketiga pula akan mengetengahkan Mohamad Saleeh Rahmad (Malaysia), Maman S. Mahayana (Indonesia), Abdul Razak Pandangmalam (Thailand) dan Dr. Morshidi Mohamad (Brunei).
 
Dalam pada itu sesi keempat yang bertema Pengalaman Sejarah Budaya Serumpun akan diperkatakan oleh Dr. Arbaiyah Mohd. Nor (Malaysia), Tengku Arifin Tengku Chik (Thailand) Muhd. Takari Jilin Syarial (Indonesia) dan Zefri Ariff (Brunei).
 
Sesi kelima bertema Pembinaan Budaya Dalam Pendidikan akan diperkatakan oleh Mohamad Daud Mohamad (Malaysia), Shamsudin Othman (Malaysia), Dayang Sariani Ishak (Brunei) dan Azhar Ibrahim Alwee (Singapura).
 
Dua forum bertema Hubungan Budaya Serumpun dan Budaya Sebagai Teras Jati akan diadakan sempena kongres tersebut. Antara ahli panel ialah Datuk Johan Jaaffar (Malaysia), Datuk Baharuddin Zainal (Malaysia), Suratman Markasan (Singapura) dan Djamal Bakir (Indonesia).
 
Penyertaan kongres tersebut terbuka kepada umum. Maklumat lanjut, hubungi Pena di 03-21425824 (Dr. Ahmad Razali), S.M Zakir (017-3427991) dan Shamsudin Othman (013-3423166).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: