CUPLIKAN DARI: Zainuri Misfar
BERITA HARIAN ONLINE – Khamis, 28 Jun 2007
 
Elak jumpa kerana berasa kekok mengenai panggilan sesuai untuk seniwati bertahi lalat
 
TETAMU yang datang mengikuti program Imbas Kembali… Latifah Omar yang diadakan di Galeri Perfileman, Jalan Pahang Kecil, Setapak di ibu negara, baru-baru ini, terpinga-pinga apabila moderatornya, Aimi Jarr memaklumkan seniman veteran, Tan Sri Jins Shamsudin pernah menjadi anak tiri kepada seniwati terkenal itu.
 
Kenyataan Aimi itu bukanlah satu babak lakonan dalam filem, malah Jins sendiri mengaku seniwati yang terkenal dengan tahi lalat di bawah bibirnya itu, adalah ibu tirinya. Ia terjadi ketika seniman veteran itu berkahwin dengan isteri pertamanya, Rahmah Rahmat (Allahyarham).
 
“Bapa mentua saya Rahmat Ali adalah seorang pemuzik bangsawan, bermain trumpet. Dengan izin Allah, beliau bernikah dengan Latifah Omar, jadi secara tidak langsung menjadi bapa mentua tiri.
 
“Susah juga saya nak panggil dia. Nak panggil ibu, dia lebih muda dari saya. Kerana kekok hendak panggil apa pada dia, saya jarang jumpa dengannya,” katanya.
 
Bagaimanapun, kata Jins, beliau tidak lupa dengan keluhuran Latifah Omar apabila membantu merawatnya selepas terjatuh dari kuda.
 
“Apabila dapat tahu saya jatuh dari kuda, Latifah segera datang membantu merawat saya. Itu yang saya tidak dapat lupa sampai bila-bila. Saya menganggapnya sebagai ibu, kakak, teman, sahabat dan saudara.
 
“Cuma saya tidak sempat berlakon bersamanya kerana saya bekerja dengan studio Shaw Brothers, dia pula di Cathay Keris. Saya harap kalau ada peluang dapat berlakon bersama, walaupun jadi datuk dan nenek,” katanya.
 
Seorang lagi seniman veteran, Datuk Aziz Sattar pula menganggap hubungannya dengan Latifah sangat akrab sehingga dirasakan seniwati itu seperti adik kandungnya sendiri.
 
Katanya, beliau mula mengenali Latifah pada tahun 1953 kerana sering bertemu di studio atau di rumah. “Saya anggap sebagai adik, dia tidak pernah bertengkar tetapi suka ketawa. Bila dia masuk hospital baru-baru ini, saya menggeletar, saya jadi menangis sebab saya terlalu sayangkan dia,” katanya.
 
Aziz berkata, disebabkan hubungan dengan Latifah yang sangat rapat itu menyebabkan timbul salah faham dari isterinya pada waktu itu, Dayang Sofia.
 
“Waktu itu susah nak jumpa dia. Saya di Singapura tetapi Latifah tinggal di Johor Bahru. Satu hari ketika memandu, saya terserempak dengan Latifah dan kami berhenti di tepi jalan. Latifah peluk dan cium saya.
 
“Bila balik rumah, saya gaduh dengan Sofia sebab cemburu. Berulang kali saya jelas yang Latifah hanyalah adik saja. Dua hingga tiga minggu saya tak cakap dengan Sofia kerana itu,” jelas Aziz.
 
Sementara itu, pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, berdasarkan kajian secara akademik oleh beliau dan pelajarnya, Latifah seorang pelakon yang meluahkan atau melepaskan wataknya dengan sepenuh hati tetapi secara bijaksana.
 
“Apabila dibandingkan dengan pelakon terkemudian, saya rasa tiada siapa yang mampu terambil tempatnya.
 
“Dalam filem Gul Bakawali (arahan B.N Rao, 1953), kami berdiri berasa dahsyat dengan cara lakonannya. Bersama seniman Nordin Ahmad dalam filem Hang Jebat (arahan Hussain Haniff, 1961), lakonan Latifah Omar cukup mengkagumkan membuatkan kami berasa beliau antara seniwati agung yang pernah lahir dalam dunia filem Melayu.
 
“Saya dan pelajar saya berasakan sesuai untuk memperkenalkan satu kaedah baru, kaedah Latifah Omar dan gaya lakonan dalam filem Melayu,” katanya.
 
Gelaran ‘macam kayu’ suntik semangat untuk baiki lakonan
 
“P RAMLEE dan S Ramanathan pernah kata saya ini macam kayu, bila diikat dengan tali barulah boleh bergerak,” kata Latifah Omar menceritakan pengalamannya ketika pertama kali menjalani uji bakat untuk filem Panggilan Pulau pada tahun 1954.
 
Bagaimanapun, katanya, beliau langsung tidak berkecil hati dengan pandangan sedemikian kerana menyedari dirinya memang bukan seorang yang berbakat dalam lakonan walaupun ibunya, Rahmah Kassim ialah pelakon tambahan dalam filem keluaran Cathay Keris.
 
“Bila tidak ada penggambaran, saya datang ke studio tengok bagaimana Normadiah berlakon, menyanyi, menari tengok hidung dia, mata dia. Dari situ saya fikir, tidak ada apa-apa perbezaan antara saya dengan Normadiah. Saya pun ada hidung, ada mata, kalau Normadiah boleh, kenapa saya tidak boleh (berlakon),” katanya.
 
Filem Panggilan Pulau arahan S Ramanathan bukanlah filem pertama kerana sebelum itu beliau sudah diperkenalkan ke layar perak pada usia 14 tahun menerusi filem Dahlia arahan BS Rajhans pada 1953.
 
“Pada 1948, saya ikut ibu berhijrah ke Singapura. Pada 1953, ibu saya turut berlakon dalam filem Dahlia, jadi pelakon tambahan. BS Rajhans tanya saya nak berlakon tak? Ketika itu, saya masih malu sebab belum pernah bercampur.
 
“Apa tidaknya, macam mana hendak bergerak kalau dikelilingi empat hingga lima lelaki. Akhirnya saya hanya diminta duduk, berdiri, bangun dan jalan saja dalam filem itu,” kata seniwati yang terkenal dengan jolokan ‘bintang bertahi lalat’ yang melekat di bahagian kiri bibirnya.
 
Seniwati ternama era 50-an dan 60-an, Latifah Omar berbicara demikian dalam program Imbas Kembali… anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Galeri Perfileman, Jalan Pahang Kecil, Setapak di ibu negara, baru-baru ini. Bersama-samanya ialah dua pelakon dari Studio Cathay Keris, Datuk Mustapha Maarof dan Wahid Satay manakala Aimi Jarr pula sebagai moderator.
 
Turut hadir Datuk Aziz Sattar, Zaiton, Hashimah Yon, Neng Yatimah, Hussien Abu Hassan, Mariani, Salmah Ahmad, Datuk A Rahman Hassan dan Mustapha Ton.
 
Mustapha berkata, beliau mengakui jatuh cinta pandang pertama apabila pertama kali melihat Latifah datang menemani ibunya berlakon dalam studio Cathay Keris.
 
“Masa itu saya kerja di konti dengan Kassim Masdor. Saya kenal dia masa datang ke studio untuk berlakon filem Dahlia dan masa itu umurnya dalam 14 tahun. Selepas berlakon filem itu, dia hilang begitu saja. Bila timbul, tahu-tahu dia ada di studio Shaw Brothers, dapat tawaran berlakon dalam filem Panggilan Pulau. Dia dapat watak utama. Dari situlah dia mula berjaya sebagai pelakon,” katanya.
 
Bagi Wahid Satay pula, beliau tidak dapat melupakan detik cemas apabila lancang (kapal layar) yang digunakan sebagai set utama dalam filem Lanchang Kuning arahan M Amin pada 1962 hampir menggilis Latifah.
 
“Dia (Latifah) sering dapat watak yang dahsyat. Tapi dia selalu ok. Apa yang pengarah suruh buat, dia ok saja. Ketika berlakon filem Lanchang Kuning, penggambarannya sering ditangguh hingga enam hari kerana asyik hujan selain setnya yang tidak siap.
 
“Tiba pada masa ditetapkan, dia baring di atas landasan kononnya untuk aksi dia digilis lancang. Apabila dia baring, tiba-tiba tali yang mengikat lancang putus, menyebabkan Nordin Ahmad dan pelakon tambahan lain menjerit, menyelamatkan Latifah.
 
“Kalau tidak, saya rasa badan dia tinggal separuh digilis kapal. Akibat kejadian itu, saya demam tiga hari, sebab terkejut dengan kejadian itu dan sebab saya sayangkan dia,” katanya.
 
Latifah pula semasa mengimbas kejadian itu berkata, peristiwa berkenaan memang tidak pernah dilupakan dan beliau memang sangat terkejut, lalu meminta pengarah menangguhkan selama sehari untuk penggambaran babak itu.
 
Bagaimanapun, itu semua tidak menjejaskan tanggungjawabnya sebagai pelakon. Bekerja dengan pelbagai pengarah menyebabkan beliau sudah ‘masak’ dengan kerenah dan pendekatan arahan masing-masing.
 
“Dalam filem Hang Jebat, pengarahnya Hussien Hanif sangat teliti dalam filem arahannya. Dia suruh saya masuk dalam kolam yang penuh dengan karbaid dan menyelam sehingga badan saja jadi gatal-gatal.
 
“Untuk filem Patong Chendana, pengarah M Amin suruh saya masuk dalam air kotor. Terpaksalah juga saya ikut. Apa nak buat kerana itu kerja kita. Ikut sajalah kehendak pengarah walaupun tak suka,” jelasnya.
 
Aimi Jarr yang memulakan program ini dengan mukadimah meleret-leret selain memberi peluang banyak pihak bercakap membuatkan tidak banyak yang diperkatakan Latifah sendiri mengenai pengalaman suka dukanya sebagai bintang filem terkenal.
 
Walaupun diakui mempunyai pengalaman dan hubungan rapat dengan seniman dan seniwati veteran, sebagai moderator, Aimi seharusnya lebih fokus kerana tetamu yang hadir hendak mendengar Latifah yang sepatutnya banyak bercakap.
 
Begitupun, Aimi sempat menyatakan P Ramlee hampir mengahwini Latifah tetapi dibatalkan selepas terlihat gambar pelakon itu terpampang di majalah. Ini diakui oleh Latifah.
 
“Dia tak jadi kahwin dengan saya mungkin selepas tengok gambar saya pakai baju mandi di sebuah majalah hiburan. Gambar itu diambil ketika saya bersama Saadiah dan Raja Hamidah sedang berkelah di pantai,” katanya.
 
Majlis ini diakhiri dengan serangkap pantun daripada Latifah yang dipetik daripada filem Gurindam Jiwa arahan M Amin pada tahun 1965 iaitu, “tuai padi antara nampak, esok jangan layu-layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan”.

Jarum Emas Adam Salleh

June 18, 2007

CUPLIKAN dari: Adam Salleh, JARUM EMAS
HARIAN METRO ONLINE, Isnin – 18 Jun 2007
 
NAK diikutkan, jika diajak berdiskusi perihal wartawan hiburan sekarang, seperti tidak relevan dengan saya. Komitmen saya kini lebih banyak pada operasi di pejabat. Kali terakhir saya turun padang membuat liputan sebagai wartawan hiburan pada 1995.
 
Kemudian saya ditukarkan ke meja berita, bertugas malam, ke Metro Ahad seterusnya ke jawatan editor sejak 2004.
 
Apa berlaku di gelanggang hiburan cuma saya ketahui melalui ‘in-put’ daripada wartawan. Justeru bila diajak menjadi panel program bual bicara, Fenomena Seni, dengan tajuk ‘Wartawan Hiburan Tidak Cerdik’, mulanya saya menolak.
 
Situasi wartawan hiburan sekarang dengan era yang saya lalui pada 1980-an agak berbeza. Lebih layak jika topik itu dihurai atau diperjelaskan oleh wartawan hiburan era ini.
 
Merekalah yang bercampur gaul, sepanjang masa, bermain pena dengan artis masa kini yang rata-rata usia di kalangan mereka juga.
 
Bagaimanapun, bila tiada wartawan bersedia tampil menjadi panel program itu, akhirnya saya setuju. Itupun enam jam sebelum rancangan itu bersiaran secara langsung dari Studio 2, Wisma TV, Angkasapuri.
 
Turut menjadi panel membincangkan isu itu ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah dan pengacara terkenal juga pelakon, Azwan Ali. Mendengar tajuknya saja, ‘Wartawan Hiburan Tidak Cerdik’ cukup untuk difahami, tidak dapat tidak, ia pasti nak ‘mengenakan’ kerjaya wartawan hiburan.
 
Sukar untuk dinafikan jika kerja kita berdamping artis, sedikit sebanyak tempias glamor terpalit sama. Saya katakan begini kerana bila mengaitkan dunia kewartawanan, antara wartawan sukan, jenayah, berita, rencana dan lain-lain, wartawan hiburanlah yang lazimnya jadi sasaran topik untuk dibual serta didebatkan.
 
Mudah cerita, asal program baru, untuk pancing publisiti usiklah wartawan hiburan. Jika taktik ‘mengena’, program itu cepat diminati.
 
Pada masa sama, melalui program berkonsepkan begitu, boleh menjadi ruang untuk artis ‘lepas geram’, terutama pada wartawan hiburan yang difikir merimaskan kerjayanya sebagai artis selama ini.
 
Barangkali kerana tanggapan begini, ada wartawan hiburan mulai cuak atau dalam bahasa keras sedikit ‘malas nak melayan’ isu basi yang acapkali dihangatkan kembali.
 
Bila mengaitkan perihal dunia artis tempatan pula, ramai di kalangan kita terlupa, era 1970-an ruang publisiti untuk artis tempatan di akhbar agak terhad.
 
Kalaupun ada majalah hiburan popular pada era itu, kurang daripada lima. Di akhbar pula tiada ruangan khusus untuk hiburan, seperti di Harian Metro kini ada RAP (Rentak Artis Popular), Berita Harian ada HIP (Hiburan Informasi Pentas) dan di Metro Ahad ada Selebriti, begitu juga dengan akhbar arus perdana lain.
 
Melalui ruangan khas begini, secara tidak langsung ia dapat memberi ruang lebih luas untuk artis mendekatkan diri dengan peminat mereka. Fenomena membuka ruang luas untuk artis tempatan ini bermula pada era 1980-an.
 
Implikasinya besar, pada era 1980-an persada seni kita menjadi gemilang. Seniman lama seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee ketika itu umpama ‘al-Quran buruk’ tetapi dek mainan pena kalangan wartawan hiburan yang cerdik ketika itu, prestij P Ramlee dijulang sebagai Seniman Agung, bukan lagi disebut seniman veteran.
 
Melalui gelaran Seniman Agung yang diberi wartawan, takdirnya P Ramlee akhirnya dianugerahi gelaran Tan Sri.
 
Cetusan idea wartawan hiburan, akhirnya dapat diadakan Anugerah Festival Filem Malaysia Pertama (FFM1) yang dianjurkan Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980. Barulah disusuli pelbagai anugerah lain seperti Juara Lagu serta Anugerah Bintang Popular anjuran akhbar Berita Harian yang semuanya bermula pada era 1980-an.
 
Suburnya dunia hiburan ketika itu jelas, industri hiburan dimeriahkan dengan lagu segar, tidak seperti sekarang lagu kompilasi. Melalui lagu segar, ia mencabar minda karyawan muda berdaya kreatif.
 
Saya masih ingat ketika itu jika ada sidang akhbar sama ada pelancaran filem atau album, bukan saja wartawan hiburan hadir, bahkan juruhebah radio dari RTM sanggup ‘turun padang’.
 
Namun kini payah lihat ‘batang hidung’ juruhebah pada sidang akhbar. Mereka merajuk gara-gara mulut celupar penyanyi menuduh mereka ‘disuap’.
 
Menjaga kepentingan artis tempatan bukan tugas mudah. Orang media tidak hanya berurusan dengan artis tempatan. Penyanyi Barat, biasanya mempunyai publisis mereka di sini bagi menjaga publisiti mereka di media tempatan.
 
Sekadar contoh, konsert Christina Aguilera di Singapura pada 30 Jun ini, pegawai mereka melalui syarikat rakaman antarabangsa di sini sudah berurusan dengan saya sejak awal tahun ini. Strategi publisiti bersistematik.
 
Asakan artis luar, terutama dari Indonesia dan Singapura, harus dibimbangi artis kita. Itu belum lagi lambakan artis yang lahir dari program realiti TV, yang sedikit sebanyak menyebabkan ‘kek besar’ terpaksa dikongsi bersama. Penyudahnya kelak, artis yang benar-benar artis usahkan nak makan kek, makan kismis pun kempunan.
 
Artis juga perlu memainkan peranan untuk merangsangkan minat wartawan menulis mengenai dirinya. Bukan nak kata, melalui sembang bersama wartawan hiburan generasi baru, mereka lebih senang berurusan dengan artis Indonesia.
 
Apakan tidak, berdepan artis seberang, pihak media boleh bertanya apa saja, sama ada soal kerjaya atau peribadi. Mereka boleh menjawab secara berhemah, bukan ‘no komen’. Pada waktu sama pula artis seperti Krisdayanti, Rossa dan Agnes Monica memuji-muji wartawan hiburan kita yang dikatakan tidak ekstrem berbanding negaranya.
 
Pujian sebegini daripada artis luar pasti menyuntik semangat buat ‘adik-adik kita’ dalam kewartawanan hiburan, tetapi bahayanya buat artis tempatan jika wartawan hiburan merajuk atau hilang selera menulis cerita mereka pula.
 
Mutakhir ini pula, ramai wartawan hiburan yang bertugas di akhbar Inggeris berhenti kerja, tidak kurang yang menyahut seruan Ilahi.
 
Saya tidak dengar adanya komen daripada artis tempatan betapa ruginya mereka jika wartawan Melayu yang bertugas di akhbar Inggeris berhenti kerja atau meninggal dunia.
 
Bagi saya, bila tiada wartawan hiburan Melayu di akhbar Inggeris, yang rugi adalah artis. Lama kelamaan berita artis tempatan yang majoritinya artis Melayu tiada di akhbar Inggeris, sebaliknya dimeriahkan dengan artis dari Hollywood, Hong Kong, Bollywood serta artis yang dirasakan mempunyai prestij terpuji.
 
Natijahnya, sama ada artis itu kurang senang pada wartawan hiburan, hakikatnya yang ghairah menulis mengenai mereka adalah wartawan hiburan Melayu itu sendiri. Justeru, carilah jalan untuk kita kembali mengharmonikan hubungan.
 
ADAM: Setandan pisang, satu dua tidak baik, yang lain masih boleh dirasai juga.
Wartawan, Artis Ibarat Cubit Paha
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
HARIAN METRO ONLINE, Jumaat – 15 Jun 2007
 
IBARAT cubit paha kanan, paha kiri terasa. Barangkali itulah yang dirasai kebanyakan wartawan hiburan tempatan apabila program bual bicara, Fenomena Seni yang dikendalikan Rosyam Nor membangkitkan isu serta persoalan mengenai Wartawan Hiburan Kurang Cerdik?
 
Apakah hanya kerana nila setitik, semua wartawan hiburan dianggap sama? Apakah disebabkan segelintir yang tidak memenuhi etika, semua wartawan hiburan harus dilabel sebagai tidak cerdik dan bijaksana?
 
Bagaimana pula keadaannya apabila wartawan hiburan berdepan dengan segelintir artis yang tidak bijak dan hanya mementingkan populariti serta glamor? Adakah masyarakat di luar sana mengetahui bagaimana sukarnya bagi wartawan menulis artikel mengenai kerjaya seni mereka?
 
Dengan pengetahuan yang sedikit dan tidak sebanyak mana, wartawanlah yang terpaksa menggarap ayat bagi menampakkan artikel itu kemas dan seolah-olah mereka itu mempunyai pengetahuan yang tinggi, walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya.
 
Namun tidak dinafikan, suasana industri hiburan zaman dulu dan sekarang memang jauh berbeza. Dengan lambakan artis yang pelbagai ragam serta aliran pemikiran serta persekitaran yang semakin mencabar, ada kalanya wartawan hiburan juga hilang tumpuan.
 
Rosyam selaku pengacara mempersoalkan mengapa wartawan hiburan zaman sekarang membuat liputan seperti media dari Barat yang banyak memberikan tumpuan mengenai cerita berkaitan gosip atau dalam kain.
 
Pantas juga persoalan itu ditangkis Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh, sebagai salah seorang panel dalam program yang disiarkan secara langsung dari Studio 2, Wisma TV, Angkasapuri, Jumaat lalu.
 
Menurut Adam, kalau hendak mempertikaikan bentuk laporan atau penulisan wartawan sekarang, rasanya ia bersesuaian dengan gaya hidup segelintir artis tempatan yang kian hari kian berkiblatkan kebaratan.
 
“Namun penulisan wartawan hiburan sekarang masih lagi dilakukan secara berhemah. Kalau hendak buat penulisan yang lebih ekstrem, kita boleh lakukan tapi takut ‘terkencing’ artis dibuatnya,” katanya.
 
“Banyak isu yang boleh diketengahkan. Misalnya jika ke pusat hiburan berapa ramai artis kita yang mabuk, begitu juga yang terbabit dengan seks bebas. Rasanya kalau kita buat, artis pula yang ‘terkencing’ dan tidak tahan pula,” katanya.
 
Selain Adam, panel yang diundang untuk membicarakan topik yang begitu hangat serta sensasi pada malam itu ialah pengacara dan pelakon, Azwan Ali serta Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah.
 
Azwan yang tertarik dengan tajuk yang dibincangkan itu mempunyai pandangan tersendiri berhubung perkara itu. Malah, dia sendiri mengakui menjadi mangsa dianiaya dengan beberapa perkara dan tindakan yang dilakukannya gara-gara sikap beberapa wartawan yang tidak profesional.
 
“Tidak dinafikan hubungan wartawan dan artis ibarat aur dengan tebing, ibarat gigi dengan lidah saling berhubung dan berkait antara satu sama lain. Wartawan banyak membantu bagi menentukan perjalanan atau karier artis sama ada yang popular atau artis yang baru mahu bertapak dalam industri ini.
 
“Namun, masih ada segelintir wartawan yang tidak melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan cara yang betul kerana menggunakan ruang menyebar maklumat atau informasi yang salah. Sebagai artis perkara ini turut berlaku kepada saya.
 
“Perkara ini terbukti apabila ada di antara wartawan ini yang menyalahgunakan kuasa menulis untuk menjatuhkan karier dan periuk nasi artis,” katanya.
 
Ahli akademik, Dr Abu Hassan pula menyarankan wartawan bersandar kepada perkara asas iaitu tanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas.
 
Katanya, wartawan perlu bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis. Baginya, hiburan sebagai komoditi namun ia masih tertakluk kepada keharmonian dan kemakmuran terhadap maklumat yang disampaikan. Perkara ini yang mendedahkan sikap wartawan yang kurang cerdik.
 
“Sebagai ahli akademik, saya dapat perhatikan ada beberapa golongan wartawan iaitu wartawan fizikal dan bukan fizikal.
 
“Apa yang dimaksudkan wartawan fizikal ialah golongan wartawan media cetak dan elektronik manakala penulis blog (ruangan khas) yang menggunakan nama samaran di Internet atau penulis yang mencatat informasi secara rambang di ruangan Internet sebagai istilah bagi wartawan bukan fizikal.
 
“Peranan kedua-dua golongan ini agak sama cuma yang berbeza dari segi penyampaiannya. Ada di antara golongan wartawan bukan fizikal yang menyalahgunakan ruangan yang ada untuk menyebarkan maklumat palsu dan berunsur fitnah seperti apa yang berlaku sekarang.
 
“Biarpun salah kita tidak boleh menyalahkan kewujudan blog ini. Berdasarkan pengalaman dan sebagai antara pemilik blog perkara penyebaran unsur fitnah ini sukar dibendung.
 
“Pokok pangkalnya, adalah tanggungjawab. Mereka tidak boleh menulis gosip sesuka hati. Inilah yang berlaku apabila kritikan bertukar kepada kutukan.
 
“Di sini, saya bersimpati dengan perkara yang menimpa Azwan. Jika saya berada di tempat Azwan, saya mungkin mempunyai pendapat yang sama,” katanya.
 
Sementara itu, Adam pula menyatakan kurang bersetuju dengan tajuk yang diperbincangkan memandangkan antara wartawan dan artis saling bekerjasama.
 
“Wartawan adalah tempat khusus bagi artis meraih publisiti. Kedua-dua golongan ini saling berkait rapat. Ibarat cubit peha kiri, paha kanan juga terasa. Wartawan sentiasa menyampaikan berita, perkembangan dan tidak terkecuali ruangan gosip seseorang artis.
 
“Namun, gosip hanya mainan artis. Soal gosip yang dibincangkan juga kebanyakan berkaitan isu basi yang sering dihangatkan kembali.
 
“Sebagai artis, mereka perlu bersedia berdepan pahit getir dalam dunia hiburan kerana hakikatnya mereka sendiri maklum kalau takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai.
 
“Seperkara lagi, sekalipun artis kurang senang terhadap segelintir wartawan tetapi mereka harus faham, wartawan hiburan Melayu sajalah yang ghairah menulis publisiti mereka berbanding wartawan media lain, umpama dalam setandan pisang, satu, dua mesti ada yang tidak baik tetapi yang lain masih boleh dirasai,” katanya.