Malam Asasinema Dedah karya Amatur

April 25, 2007

Malam Asasinema dedah karya sutradara amatur
Rozdan Mazalan (BERITA HARIAN, 25 April 2007)
 
KELAHIRAN bakat baru dan tenaga kreatif yang mempunyai asas baik mengenai seni budaya dari universiti amat penting untuk membangunkan industri filem negara yang lebih berhemah, bermutu dan tinggi jati diri.
 
Jika pendedahan awal tidak diberikan kepada graduan perfileman, industri sukar berkembang pesat seperti negara luar yang sering mendapat sokongan banyak pihak dalam membina generasi baru dalam bidang itu.
 
Berikutan itu, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM) menjadi contoh kepada usaha melahirkan lebih ramai pengarah pelapis serta tenaga kreatif produksi seperti jurukamera, penulis skrip dan penataan seni.
 
Justeru, menerusi kelulusan akademik dimiliki, ia memberi satu kelebihan kepada mereka untuk menterjemahkan karya bermutu bersesuaian dengan konsep dan ilmu perfileman yang ditimba selama ini.
 
Pensyarah filem Jabatan Pengajian Media UM, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata tidak banyak pengarah dilabel sebagai sutradara bebas (indie) diberi perhatian mengenai karya diterbitkan terutama lepasan universiti.
 
“Berikutan kekurangan itu, kita mengambil inisiatif melancarkan Malam Asasinema yang juga lanjutan daripada aktiviti Minggu Media yang diadakan selama lima hari, baru-baru ini. Apa yang menarik selain tayangan filem daripada mahasiswa, aktiviti lain yang turut diadakan ialah Wacana Media, Pertandingan Membaca Berita, Pertandingan Pidato, Sayembara Puisi dan Fenomena Seni.
 
“Acara yang bermaksud malam asas untuk sinema seperti ini memberi peluang kepada mahasiswa menunjukkan bakat dalam bidang diceburi dan diminati, juga menjadi kelebihan kepada kami mengesan bakat berpotensi. Berdasarkan penyertaan mahasiswa, ia difikirkan menjadi agenda penting bagi pembikin sinema amatur memperkembangkan bakat mereka dan menembusi pasaran semasa kelak.
 
“Bezanya, fokus karya mahasiswa selepas ini lebih memberi perhatian kepada pasaran sinema lebih kecil iaitu di kawasan luar bandar termasuk sekolah dan dewan orang ramai. Lebih kurang 13 juta penonton yang tidak ke pawagam sebenarnya mempunyai potensi hadir menonton di pawagam kecil seperti ini.
 
“Biarpun fokus pasaran kecil tetapi ia menjadi titik tolak kepada filem tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih luas selepas ini,” katanya ketika ditemui pada malam pelancaran Asasinema, baru-baru ini.
 
Kata Dr Abu Hassan, sehingga kini terdapat 10 filem karya mahasiswa UM disiapkan dan masih menantikan tarikh sesuai bagi tayangan menerusi sinema kecil itu. Berbanding genre filem yang ingin diketengahkan, idea yang ingin disampaikan menjadi faktor utama kepada perkembangan sinema amatur ini.
 
Malam sejarah buat mahasiswa itu turut dihadiri pelakon popular, Rosyam Nor, selain M Nasir dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim. Mereka turut menyaksikan dua filem pendek yang dihasilkan mahasiswa iaitu Anak Ikan Di Tok Bali dan Nazam yang dipilih daripada 18 filem pendek.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: