Filem Malaysia, Bahasa Melayu

April 24, 2007

Bintang: Filem Malaysia, bahasa Melayu
Mohd Nasif Badruddin, (HARIAN METRO, 24 April 2007
 
KENAPA baru sekarang isu mendefinisikan filem Melayu atau filem Malaysia ditimbulkan sedangkan ia sudah lama berlegar dan menjadi tanda tanya di kalangan orang filem.
 
Adakah kerana dua filem bukan berbahasa Melayu, Erthikalaam dan 3rd Generation tersenarai ke Festival Filem Malaysia tahun lalu, baru ia diperbesarkan? Kekeliruan ini menjadi pokok perbincangan rancangan bual bicara Fenomena Seni yang dirakam di Univeristi Malaya dan disiarkan di RTM1 jam 9.30 malam Jumaat lalu.
 
Rancangan yang dihoskan Rosyam Nor ini menampilkan tiga panel iaitu pengarah dan penerbit Shuhaimi Baba, pensyarah Jabatan Pengajian Media, Dr Abu Hassan Hasbullah dan pelakon Farid Kamil.
 
Sebagai orang yang berpengalaman dalam industri, Shuhaimi berkata, sepanjang pembabitannya belum ada lagi yang dipanggil filem Malaysia.
 
Katanya orang yang memberi label sebegini tidak terbabit dalam industri kerana apa yang difahaminya ialah filem yang dibuat dalam bahasa Melayu untuk pasaran di sini dipanggil filem Melayu.
 
“Apabila ia keluar negara, barulah dipanggil filem Malaysia tetapi masih lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai teras bahasa kebangsaan. Apabila filem yang menggunakan bahasa lain dibawa keluar dan dilabel sebagai filem Malaysia, orang akan keliru.
 
“Jadi isu Malaysia ini bangsa apa kerana menampilkan bahasa yang pelbagai kerana masyarakatnya majmuk. Dalam bidang kreatif, kita tidak boleh letakkan sempadan dan perlu benarkan filem dihasilkan dalam bahasa lain.
 
Adalah tidak adil untuk menyekat bahasa tertentu saja dalam filem sedangkan kita ada sekolah Tamil dan Cina di tanah air.
 
“Mengenai permasalahan kini, kita tidak boleh harapkan filem semata-mata untuk perbetulkan keadaan walaupun filem ada kuasa unik untuk bawa perubahan. Setiap orang mempunyai persepsi berbeza terhadap filem yang ditonton,” katanya.
 
Tambahnya lagi, walau apapun kita harus berpegang pada Perlembagaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan juga bahasa penyatuan pelbagai bangsa di Malaysia.
 
“Janganlah tema Filem Kita Wajah Kita hanya menjadi slogan semata-mata dan tidak direalitikan sepenuhnya,” katanya.
 
Sebagai ahli akademik, Dr Abu Hassan membawa penonton mengimbau sejarah perfileman tanah air sekitar 1930-an apabila pengarahnya orang India tetapi menggunakan pelakon Melayu yang bertutur bahasa Melayu. Kini kitarannya tetap sama tetapi kenapa wujud pihak tertentu yang mempertikaikannya.
 
“Bangsa lain boleh membuat filem tetapi mereka perlu menghasilkannya dalam bahasa Melayu kerana kita ada dasar bahasa kebangsaan yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
 
“Apa yang lebih penting, filem perlu ada tanggungjawab pada bangsa dan negara serta menyemai jati diri cintakan negara.
 
Apa yang menjadi masalah sekarang, kita ada terlalu banyak mazhab seperti kreativiti, jati diri dan realiti. Filem adalah lensa kepada realiti sebenar. Selain itu, filem ada tanggungjawab mendidik masyarakat.
 
“Memang ada segelintir paparan masyarakat kita yang kurang elok, jadi ia tugas pembuat filem untuk memperbetulkan keadaan ini. Sebagai contoh dalam filem Indonesia kita tidak dapat dengar bahasa rojak digunakan sedangkan masyarakat mereka majmuk seperti negara kita juga,” katanya.
 
Farid Kamil pula berkata, dia dibesarkan dengan perkataan filem Melayu dan dari segi sejarahnya pun kita dipopularkan dengan filem Melayu jadi tidak adil untuk mengubah sejarah dan definisi.
 
“Filem adalah lambang bangsa dan bahasa yang digunakan mengikut peredaran zaman. Begitu juga dengan isu bahasa rojak, ia sudah lama berlaku cuma baru sekarang ia dipersoalkan,” katanya.
 
“Apa yang terjadi sekarang, belum ada lagi filem daripada bangsa lain yang dibuat dalam bahasa Melayu sepenuhnya dan sampai sekarang belum ada lagi hero Cina dan India yang ditonjolkan dalam filem Melayu,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: