Bukti Artis Serba Boleh

February 21, 2007

Salam
 
Bintang: Bukti artis serba boleh
Mohd Nasif Badruddin; (HARIAN METRO, 21 Februari 2007)
 
WALAUPUN ada segelintir pihak tertentu yang mempertikaikan kemunculan pelakon dan pelawak Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Arifin Abdul Hamid dan Angeline Tan sebagai ahli panel Fenomena Seni bertajuk Budaya Nasional Terpinggir, namun perbincangan yang dikupas mereka tidak mengecewakan dan menampakkan kematangan berfikir sebagai pelakon berkaliber dan mengetahui isu semasa.
 
Sedari awal perbincangan lagi, Zaibo merendah diri mengatakan isu ini patut diulas oleh pengarah, penulis skrip dan pembuat dasar serta bukannya pelakon seperti mereka, tambahan pula apabila seorang lagi ahli panel tidak dapat hadir di saat akhir.
 
Namun kata pengacaranya, Rosyam Nor, pemilihan mereka untuk membuktikan artis Malaysia memang serba boleh dan mampu bercakap apa saja isu yang dibincangkan dari sudut pandangan artis itu sendiri.
 
Disifatkan sebagai artis wanita bukan Melayu yang paling popular di kalangan orang Melayu, Angeline Tan berkata, budaya orang kita yang takut untuk bersuara membuatkan kita banyak bertolak ansur dan takut untuk melakukan perubahan dan hanya menerima apa saja yang dibawa orang luar. Hal sebegini tidak wajar dipersalahkan media semata-mata, sebaliknya ia tanggungjawab kolektif yang harus dipikul semua pihak untuk membentuk budaya nasional.
 
Mengenai fakta 90 peratus drama atau filem bukan Melayu menggunakan skrip luar, Angeline berkata, hal itu perlu ditanya kepada produser mengapa mereka mengambilnya, adakah kerana kos murah atau sebagainya.
 
“Senario ini amat ditakuti kerana ia tidak memaparkan budaya Malaysia yang sebenar sebagai contoh, dalam drama Cina hanya orang Cina yang berlakon tanpa sedikitpun paparan bangsa lain, begitu juga dengan drama Melayu dan India yang tidak menampakkan kaum lain.
 
“Berbalik soal skrip luar oleh orang yang tidak memahami budaya Malaysia, ia boleh diubah dan disesuaikan dengan keadaan semasa dan setempat kerana skrip hanyalah panduan. Ia menjadi tanggungjawab penerbit, pengarah dan pelakon mengolahnya kembali. Biar kita yang ‘bising’ dulu dan jangan sampai orang luar yang ‘bising’,” katanya.
 
Tambah pelakon sitkom ini lagi, kebanyakan rakyat Malaysia mampu bertutur dalam tiga bahasa dan sudah mencukupi untuk cerita Cina, India dan Inggeris disediakan dengan sari kata. Tetapi bagi cerita luar dari Sepanyol dan Mexico, ia boleh dialih bahasa.
 
“Soal penggunaan bahasa Inggeris slanga Melayu (Manglish) pula, saya melihatnya sebagai satu gaya penyampaian dan pertuturan yang berbeza. Masalah orang kita ialah suka meniru gaya orang bercakap dan takut dengan bayang-bayang sendiri.
 
“Sepatutnya kita perlu mempunyai identiti budaya nasional kita sendiri dan ia tanggungjawab kita bersama,” katanya.
 
Sementara itu, Zaibo pula berpendapat, kurang adil untuk membandingkan situasi di negara kita dengan negara luar kerana kita mempunyai sejarah yang berbeza dan masalah kita tidak terlalu kritikal. Kita tidak perlu menggembarkan-gemburkan masalah kulit seperti bahasa sedangkan banyak lagi isi penting yang perlu dibincangkan seperti soal identiti dan sebagainya.
 
“Sebagai contoh isu drama Pua Chu Kang yang sering membangkitkan isu tempatan dan ia mendapat tempat di hati peminat. Pokok pangkalnya ialah skrip yang dekat di hati penonton dan menonjolkan kepelbagaian kaum dan budaya.
 
“Bagi saya, bahasa satu medium penyampaian info. Soal alih bahasa tidak sepatutnya dibahaskan sangat kerana jika semua drama ingin dialih bahasa ia boleh mengurangkan kualiti kerana menampilkan lenggok yang berbeza ,” katanya.
 
Mengenai soal penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam drama India dan Cina, Zaibo berpendapat ia terlalu awal untuk mengubah keseluruhannya walaupun tidak mustahil. Ini kerana ada sebilangan kaum Cina dan India yang bertutur bahasa Melayu di rumah mereka, cuma tidak ditonjolkan di kaca televisyen.
 

Semangat Baru Teater

February 2, 2007

Semangat Baru Teater
Oleh Mohd Nasif Badruddin; (HARIAN METRO, 2 Februari 2007)
 
TAJUK Teater Melayu Tiada Penonton? yang dikupas dalam rancangan bual bicara Fenomena Seni di RTM1 Jumaat lalu secara tidak langsung membangkitkan kembali semangat juang di kalangan penggiatnya yang selama ini dianggap lesu dan sepi daripada sudut glamor dan publisiti.
 
Amat menyedihkan apabila ada yang berfikiran jumud dan dangkal sewaktu membicarakan teater, ia dikaitkan dengan bangsawan semata-mata dan persembahan kosong yang tidak mampu membawa penggiatnya ‘mencari makan’.
 
Namun, apabila Puteri Gunung Ledang The Musical dipentaskan sebanyak 41 persembahan dengan 50,687 penonton selama dua musim di Istana Budaya (IB), ia membuka mata orang ramai membuktikan bahawa teater kita masih ada peminat, cuma kurang bilangannya.
 
Jika diteliti lagi kebanyakan teater yang berjaya, menggunakan pelakon drama atau filem sebagai teraju utama serta diperkukuhkan dengan publisiti yang meluas.
 
Mengulas lanjut persoalan ini, Pensyarah Kanan, Jabatan Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah selaku tamu rancangan yang disiarkan secara langsung dari Angkasapuri itu berkata, sebenarnya kita sudah ada tradisi teater yang kukuh dan tidak ketinggalan kerana mempunyai asas teater yang kuat menerusi persembahan tradisional seperti wayang kulit, menora dan sebagainya.
 
“Seni perlu dilihat sebagai alat membina peradaban dan membangunkan masyarakat dan teater salah satu daripada cabangnya. Sewajarnya, kita menyemai seni ini daripada peringkat tunas lagi dalam sistem pendidikan seperti di Jerman yang mempunyai Sains Teater. Begitu juga di Vienna, Austria yang terkenal dengan jolokan kota yang penuh dengan kelab teater,” katanya.
 
Mengenai fungsi IB sebagai pusat teater tanah air, Abu Hassan berkata, IB harus menjadikan Opera House di Vienna sebagai contoh terbaik yang memayungi perusahaan teater dan menjadi kompleks yang mengembangkan teater dari segi sistem, falsafah dan strategi. IB juga harus mengekang karenah birokrasi yang menghalang penggiat teater mengangkat karya mereka ke sana. Sedari awal, IB perlu mempercayai produk tempatan, mendokongnya supaya berkembang sehingga menjadi perusahaan.
 
“Jika diteliti lagi, setiap sekolah atau daerah mempunyai dewan, tapi kurang digunakan. Pihak tertentu boleh mengambil inisiatif menggunakan tempat ini mementaskan teater hasil strategi yang dirancang. Mungkin ia boleh dimulakan dengan mewujudkan kelab teater atau drama di sekolah. Untuk menjadi bangsa berjaya, kita perlu meletakkan seni dan budaya di depan, jangan terlalu memuja ilmu sains,” katanya.
 
Selain Abu Hassan, rancangan yang dihoskan Rosyam Nor dan diterbitkan Mohd Zamani Ibrahim ini turut mengundang dua lagi ahli panel iaitu Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Rosminah Tahir serta pelakon dan penggiat teater, Ahmad Tarmimi Siregar.
 
Selaku ahli akademik yang juga penggiat teater, Rosminah mempersoalkan di mana tempat yang dikatakan teater Melayu tiada penonton. Situasi sekarang ialah, teater kita ada penonton, cuma bilangannya kurang memberangsangkan.
 
Katanya, di samping terbabit sebagai tenaga pengajar, dia juga turut mendalami ilmu teater yang disifatkan sebagai peluang mengajar sambil belajar. Teater secara tidak langsung adalah modal insan yang memupuk pelbagai perkara positif seperti keyakinan diri dan sebagainya.
 
“Pembangunan mengenai teater harus bermula dari bawah dan orang yang di atas perlu turun ke bawah membantu masyarakat. Setakat ini, kita sudah ada kesedaran dan mula gerakkan kepentingan seni budaya kepada masyarakat. Pada permulaan 2007, kerajaan sudah mewujudkan dua sekolah seni iaitu di Johor dan Sarawak.
 
“Teater perlu dilihat sebagai wadah kehidupan dan kita sudah ada pelbagai jenis teater termasuk yang bersifat terbuka seperti wayang kulit. Penggiat teater jangan hanya melihat untuk mementaskan teater besar di IB sahaja kerana ia mempunyai kelas dan prestijnya yang tersendiri.
 
“Untuk mendapat tempat di hati masyarakat, kita perlu menerapkan nilai komersial dan pada masa sama menampilkan jati diri budaya kita sebagai tanggungjawab sosial di samping menggunakan strategi pemasaran yang betul,” katanya.
 
Sementara itu Tarmimi menyifatkan, dia bersyukur kerana Fenomena Seni mengangkat tajuk mengenai teater untuk dibincangkan dan diketengahkan ke khalayak masyarakat supaya orang melihatnya sebagai perusahaan.
 
“Untuk mementaskan teater, tidak semestinya di IB dan mencapai 1,000 penonton, tetapi masalah sekarang ramai yang nampak hanya IB tempat untuk teater. Walhal banyak lagi pentas lain untuk teater seperti di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) dan Aswara sendiri.
 
“Masalah sekarang, masyarakat kita terlalu diatur dengan sistem dan meminggirkan seni dalam pelajaran serta kurang sedar kepentingannya di masa depan yang menjadi tamadun bangsa. Sedangkan ilmu teater membangunkan orang menjadi manusia.
 
“Untuk menggembilangkan teater, setiap pihak perlu memainkan peranan terutamanya IB yang menjadi tunjang teater di tanah air. Orang teater perlu diberi peluang untuk ke tengah dan kita tidak mungkin dapat bergantung harap kepada kerajaan semata-mata. Kita perlukan geran dan pihak swasta harus diberi kelonggaran dikecualikan cukai apabila mereka menghulurkan bantuan atau dana,” katanya.