Soseh-Soseh: Menteri pun tonton Fenomena Seni
HARIAN METRO, (25 Januari 2007)
 
KALAU tidak sibuk, boleh dikatakan setiap minggu SS menonton rancangan yang kian mendapat tempat di hati penggiat seni tanah air ini, Fenomena Seni. Walaupun segelintir pihak tertentu menghentam rancangan bual bicara yang disiarkan di TV1, setiap Jumaat, rasa pandangan itu kurang bijak dan mereka perlu menontonnya dari awal hingga akhir.
 
Ini kerana sesetengah tajuk yang dipaparkan hanyalah sebagai ‘perantara’ dan panduan untuk meneroka penyelesaian dan ia bukannya fakta atau kesimpulan seperti yang berlaku pada tajuk Masa Depan Filem Melayu Hancur baru-baru ini.
 
Jadi ahli panel yang diundang perlulah membuat kajian terlebih dahulu dan terserah kepada mereka untuk merungkaikannya sama ada bersetuju atau tidak.
 
Mungkin ramai yang tidak tahu, walaupun rancangan ini nampak santai, tetapi ia memberikan impak besar kepada pembangunan seni tanah air. Bukan hanya artis yang menonton, tetapi apa yang membuatkan SS kagum, Menteri Penerangan serta Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pun turut menontonnya. Malah jika tidak sempat menonton, mereka sanggup merakamnya dan menonton kembali.
 
Apa yang SS dapat tahu lagi, tidak semua artis dan penggiat seni yang berani muncul dalam Fenomena Seni yang disiarkan secara langsung. Jika tak kena gaya, boleh malu besar dan terduduk mereka dihentam ahli panel lain.
 
Malah ada di kalangan mereka yang diundang bertanyakan siapa gandingan mereka, mungkin runsing jika buku bertemu ruas agaknya.
 
Bagi SS, Fenomena Seni bukanlah tempat untuk berdebat atau mencari siapa salah, tetapi ia tempat untuk mencari penyelesaian dan membantu pembangunan industri seni tanah air.
 
Tahniah buat hosnya, Rosyam Nor dan krew penerbitan Fenomena Seni.
Advertisements

Teater Kian Terpinggir

January 25, 2007

Teater kian terpinggir?
HARIAN METRO, (25 Januari 2007)
 
PERKEMBANGAN dunia teater tanah air seringkali dimomok sebagai tidak berkembang dan terlalu sukar untuk dijual, menjadi intipati perbincangan program bual bicara popular Fenomena Seni malam ini.
 
Amat sukar untuk kita ketahui apa sebenarnya berlaku dalam dunia pementasan teater kecuali orang-orang yang terbabit dalam dunia teater itu sendiri. Satu-satunya, teater yang mendapat publisiti meluas dan diketahui orang ramai ialah Puteri Gunung Ledang yang turut mencetus satu fenomena di persada seni tempatan.
 
Persoalannya, masih adakah masa depan untuk seni teater tanah air atau sudah sampaikah masanya teater mengucapkan selamat tinggal?
 
Sama-sama kita saksikan satu lagi topik menarik Fenomena Seni bersama perantara Rosyam Nor dan tiga ahli panelnya iaitu pelakon dan penggiat teater terkenal Ahmad Tarmimi Siregar; Ketua Jawatan Aswara, Rosminah Tahir dan Pensyarah Kanan, Jabatan Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah.
 
Jangan lupa temu janji anda bersama Fenomena seni jam 9.30 malam, menerusi saluran RTM1.
Industri Meriah Tapi Filem Kita Hilang Hala Tuju
Hartati Hassan Basri dan Mohd Nasif Badaruddin; HARIAN METRO, (25 Jan 2007)
 
KALAU dilihat secara mendalam topik Masa Depan Filem Melayu Hancur yang dibincangkan dalam program Fenomena Seni Jumaat lalu, ia boleh dilihat sebagai satu amaran kepada karyawan filem mengenai masa depan filem kita.
 
Kalau sekadar dilihat dari segi kutipan filem yang mencatat box-office atau pecah panggung serta pertambahan bilangan filem yang dihasilkan akhir-akhir ini, mungkin topik ini dianggap tidak relevan dengan keadaan semasa.
 
Tapi adakah filem-filem yang dihasilkan itu bermutu dan membanggakan? Istilah mengenai filem Melayu atau filem nasional juga sering diperdebatkan apabila kini ada filem Melayu, ada filem yang dihasilkan dalam bahasa Mandarin dan Tamil.
 
Malah ada filem menggunakan pelbagai bahasa, relevan dengan bahasa pertuturan masyarakat Malaysia. Istilah filem Melayu dikatakan tidak boleh dipakai lagi kerana rakyat negara ini berbilang kaum dan bukan Melayu saja.
 
Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim yang diundang sebagai panel dalam program itu pada awalnya mempersoalkan tajuk ini kerana disifatkannya tidak bersandarkan fakta dan sekadar andaian semata-mata.
 
Katanya, filem Melayu semakin berkembang dengan penambahan jumlah filem dan kutipan dari tahun ke tahun. Misalnya pada 1997 ada 10 filem tetapi jumlahnya meningkat kepada 16 pada 2003 kemudian 21 (2004) manakala 2005 dan 2006 lebih 20 filem ditayangkan.
 
Jumlah kutipan juga, katanya, turut meningkat dari RM16 juta pada 1997 kepada RM26 juta pada 2005 dan pada 2006 angka kutipan bertambah kepada RM27.8 juta.
 
Selain Mahyidin, rancangan yang dihoskan Rosyam Nor ini turut mengundang Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai dan Pengarang Bintang Popular, Berita Minggu, Roslen Fadzil.
 
Mengulas diskusi ini, bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Zain Hamzah berkata filem Melayu belum lagi hancur cuma nampak tidak tentu arah dan hilang hala tuju. Jika tidak dikawal ia boleh menuju kehancuran.
 
Katanya, sepatutnya penggiat industri menggunakan filem sebagai medium untuk pembangunan budaya dan menggunakan imej bahasa Melayu tetapi sekarang ini filem kita nampak tidak tentu arah dengan bahasa rojak dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
 
“Kemasukan filem luar turut menyumbang ‘kegagalan’ kita membantu pembangunan imej negara bangsa Malaysia. Mereka macam tidak peduli langsung hal pembinaan imej.
 
“Malah apabila disebut filem berjaya, banyak orang kata ia dinilai dari segi kutipan pecah panggung. Ini tidak tepat sebenarnya kerana filem terbaik patut dinilai dari segi kualiti.
 
“Sebagai contoh, filem Cicak-Man yang dianggap berjaya tetapi saya tidak nampak di mana budaya serta imej Melayu dan Malaysia yang ditonjolkan. Ia tidak lebih sekadar hiburan semata-mata dan tiada elemen mendidik,” katanya.
 
Tambah Zain, tidak dinafikan Finas banyak membantu industri melalui Dasar Filem Negara (DFN), tetapi adakah ia diikut atau tidak?
 
“Apa yang diperhatikan, ramai yang lebih berminat membicarakan soal untuk mendapatkan dana filem RM50 juta berbanding pengisian filem.
 
“Filem sewajarnya memasukkan elemen perpaduan dan ia tidak semestinya menampilkan gandingan tiga bangsa semata-mata. Tetapi boleh ditampilkan dalam apa jua bentuk walaupun contoh kecil tetapi memberikan impak besar seperti orang Melayu membantu membuang kaca di tempat kanak-kanak Cina bermain,” katanya.
 
Bekas Ketua Pengarah Finas kedua itu turut mencadangkan supaya Fenomena Seni membincangkan tajuk bagaimana industri filem memainkan peranan dalam perpaduan rakyat Malaysia.
 
Ini kerana kerajaan hanya memberikan gambaran dan tema sahaja, tetapi bagaimana pelaksanaan dan sumbangan yang dapat diberikan penggiat filem terhadap usaha murni ini.
 
Pensyarah Filem di Jabatan Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, pada dasarnya masa depan filem Melayu memang cerah tetapi apa yang kurang ialah dari aspek intelektual dalam garapannya.
 
Katanya, filem Melayu yang dihasilkan sekarang lebih berlegar kepada tema sempit manakala naratifnya dangkal dan tidak berkembang.
 
“Karyawan kita tidak melihat dan membawa isu kemanusiaan yang lebih besar seperti kemiskinan, sempadan, politik atau kemalangan jalan raya yang menjadi pembunuh masyarakat kita.
 
“Sebaliknya, karyawan kita lebih suka mengangkat persoalan kecil yang bukan terjadi dalam masyarakat sebenar seperti filem Nana Tanjung. Banyak persoalan besar seperti banjir yang menenggelamkan Johor atau bapa merogol anak atau pemandu mabuk yang meragut nyawa masyarakat,” katanya.
 
Tambah Dr Abu Hassan, selain naratif, karyawan kita juga tidak sedar mereka memerlukan dasar yang perlu dipegang dalam menghasilkan filem.
 
“Orang yang akan menilai dan angkat filem kita ialah masyarakatnya sendiri dan masyarakat luar. Memang ada filem kita yang hebat apabila menang di festival luar negara tetapi apakah masyarakat kita sudah benar-benar menghargai dan mengangkat filem kita?
 
“Jawapannya tidak. Jadi, cabaran karyawan kita ialah bagaimana mahu membuatkan 24 juta rakyat Malaysia bangga dengan filem kita.
 
“Tapi sekarang ada karyawan menghasilkan filem Melayu, filem Cina dan filem Tamil. Mengapa harus terjadi begitu? Seharusnya kita perlu ada satu filem yang boleh diterima masyarakat kita iaitu masyarakat Malaysia.
 
“Seharusnya karyawan kita sedar bahawa filem kita perlu ada identiti. Jalan terbaik ialah dengan menghasilkan filem Melayu tetapi boleh diterima masyarakat Malaysia. Untuk kaum Cina ada filem dari Hong Kong begitu juga masyarakat India ada filem dari India.
 
“Jadi kita tidak perlu filem yang menggunakan bahasa itu, sebaliknya filem Melayu dengan tema dan persoalan yang lebih besar.
 
“Saya tidak bersetuju kita perlu ada filem bahasa Cina atau Tamil kononnya menggambarkan realiti masyarakat. Sepatutnya karyawan kita perlu pertahankan kekurangan ini dengan menghasilkan filem yang ada identiti iaitu melalui filem nasional dan menjadi industri filem Melayu,” katanya.
 
Sementara, itu penulis skrip dan pengarah Norhan Mahmod, berkata tajuk Masa Depan Filem Melayu Hancur adalah wajar kerana ia membincangkan ‘masa depan’ berdasarkan keadaan semasa yang tidak tentu arah dan bukannya hancur ketika ini.
 
“Kita lihat sekarang, tidak semua filem yang ditayangkan berjaya menambat hati penonton dan mencapai tahap ‘pecah panggung’. Jadi hanya bersandarkan dua atau tiga filem yang laku dan mengatakan kutipan RM27.8 juta tahun lalu adalah bukti berjaya tidak tepat dan tidak boleh dijadikan ukuran kerana tidak semua jumlah ini ditampung sama rata.
 
“Jika diteliti lagi, filem berkisarkan anak mami berjaya kerana ia sudah ada peminatnya tersendiri, manakala filem baru seperti Cicak-Man adalah benda baru. Jadi, ia secara kebetulan memenuhi cita rasa kehendak peminat masa kini dan bersifat bermusim. Tambahan pula pelakon yang ditampilkan adalah wajah sama yang popular kini dan ditambah pula dengan kontroversi pelakon lain yang turut menyumbang kehangatannya.
 
“Kita harus ingat, filem Melayu pernah mengalami zaman jatuh bangun seperti era kemasukan filem Indonesia di tahun 60-an dan 70-an dulu yang ‘meranapkan’ kita. Situasi sekarang juga menunjukkan kian banyak drama bersiri dari Filipina dan Thailand yang mendapat perhatian penonton.
 
“Jika tidak dibendung dari sekarang, tidak mustahil selepas ini banyak lagi filem Filipina dan Thailand yang akan masuk selain dari Indonesia. Jika hal ini berterusan, bagaimana filem kita hendak bersaing dan bina jati diri negara bangsa Malaysia Filem luar hanya memikirkan keuntungan dan tidak fikir tanggungjawab kepada negara luar,” katanya.
 
Jelasnya lagi, apabila tiba saat itu nanti, filem Melayu akan hancur dengan sendirinya apabila tiada lagi orang ingin menonton kerana filem kita tiada pengisian dan tidak dijaga.
 
Apa yang lebih parah ketika ini, filem Melayu sekarang bukan setakat kurang pengisian, tetapi seakan tiada mesej. Penggiat filem tiada kesedaran dan kefahaman untuk mendidik masyarakat dengan moral dan resam tempatan.
Depan Mata Memasyarakatkan Filem
Hartati Hassan Basri; HARIAN METRO, (22 Jan 2007)
 
NAMPAKNYA program bual bicara Fenomena Seni pada 12 Januari lalu agak dingin ketika barisan panel membincangkan isu Masa Depan Filem Melayu Hancur kerana skop perbincangan lebih menjurus kepada luaran dan tidak mengupas dan melihat dengan mendalam maksud tajuk yang dipilih.
 
Sebaliknya perbincangan lebih panas di luar studio apabila ia terus diperdebatkan selama seminggu. Istilah hancur seharusnya dilihat dari pelbagai sudut.
 
Ada yang menganggap tajuk itu tidak releven dengan keadaan semasa kerana industri filem Melayu berkembang dengan baik melalui peningkatan pengeluaran filem yang dihasilkan akhir-akhir ini.
 
Malah, kutipan mencatat box-office atau pecah panggung juga dikatakan sebagai bukti masyarakat kita menerima dengan baik kehadiran filem tempatan. Itu yang dipertahankan panel, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim sebagai sokongan mengatakan topik dipilih tidak sesuai.
 
Ia dikuatkan lagi dengan komen produser dan pengarah hingga ramai menyalahkan tajuk yang dipilih. Bagi saya tajuk tidak salah kerana tujuan diadakan perbincangan ialah untuk mengupas apakah benar atau tidak pernyataan yang dipilih.
 
Sudah tentu setiap ahli panel ada pendapat masing-masing dan peranan mereka untuk membincangkan perkara itu. Apakah pengacaranya, Rosyam Nor tidak cukup provokatif untuk menghangatkan suasana?
 
Kalau dilihat secara halus, semua pihak harus melihat tajuk itu sebagai satu amaran dan berbuat sesuatu supaya masa depan filem Melayu tidak jadi begitu. Kita cari jalan bagaimana mahu menyelesaikan masalah mudah tapi amat rumit ini – sokongan majoriti masyarakat.
 
Cuba tanya orang di sekeliling kita, apa pandangan mereka terhadap filem Melayu? Saya pasti ramai menjawab spontan, “entahlah, kerana tidak menonton filem Melayu” atau “filem Melayu masih ditakuk lama”.
 
Itulah tanggapan majoriti masyarakat kita. Apakah dengan jumlah penonton sekitar 500,000 orang itu boleh dikatakan sebagai mendapat sokongan masyarakat berbanding 24 juta jumlah rakyat yang ada di negara ini.
 
Bila agaknya filem Melayu mampu menarik lebih ramai penonton? Kalau tidak semua, suku pun sudah cukup baik. Jadi, cabaran bagi karyawan kita ialah bagaimana mahu memasyarakatkan filem kita dan saya melihat perkara ini satu tanggungjawab bersama.
 
Pengarah memerah kreativiti untuk menghasilkan filem bermutu, produser pula menyokong ke arah menghasilkan filem berkualiti, kerajaan membantu menyediakan dana dan juga prasarana manakala masyarakat memberi peluang dan ruang untuk menerima kehadiran filem Melayu.
 
Kekurangan panggung di bandar saja adalah masalah utama tapi bagaimana cara untuk membantu penonton di kampung? Rasanya tidak perlulah hanya melihat atau merancang menyediakan panggung canggih dan selesa dengan tiket mahal.
 
Sebaliknya tempat terbuka dengan layar putih juga boleh diadakan tayangan filem. Begitu juga tayangan di panggung eksperimen di institusi pengajian tinggi supaya dari golongan bawahan hingga atasan boleh menontonnya dan masyarakat majoriti punya pilihan apakah mahu panggung selesa dengan membayar tiket mahal atau tiket murah di tengah padang?
 
Saya tertarik dengan komen Pensyarah Filem di Jabatan Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah. Walaupun hanya dalam perbualan agak singkat, banyak yang boleh direnung dan dikongsi bersama dengan bekas senior saya ketika menuntut di Jabatan Penulisan dulu (kini Jabatan Media).
 
Katanya, mencari istilah untuk filem nasional juga agak kacau dan masih menemui jalan buntu apabila masing-masing mempertahankan pendirian dengan menghasilkan filem dalam bahasa Melayu dan ada pula filem Cina, filem Tamil dan filem rojak.
 
“Filem rojak itu dikatakan sesuai kerana menggambarkan realiti masyarakat kita. Apakah itu yang harus menjadi identiti filem kita? Bagi saya kita perlu ada satu identiti dan ia hanya boleh dilakukan melalui satu bahasa iaitu bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan.
 
“Kalau guna bahasa Cina, sudah ada filem dari China, Taiwan dan Hong Kong. Kalau filem Tamil, ada filem dari India. Tapi kita mahu satu identiti iaitu filem Melayu.
 
“Tidak kisahlah kalau masyarakatnya berkulit putih atau hitam tetapi apa yang menjadi identitinya ialah bahasa pertuturannya. Sudah seharusnya bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi menjadi bahasa identiti filem kita.
 
“Karyawan filem harus mencari jalan bagaimana mahu menarik penonton Cina dan India untuk menonton filem Melayu. Bagi saya bukan dengan cara menghasilkan filem dalam bahasa mereka sebaliknya cerita yang mewakili masyarakat Malaysia yang majmuk tetapi menggunakan bahasa sama iaitu Melayu.
 
“Masa depan filem Melayu cerah tetapi kalau tidak ditangani dengan baik dari sekarang, tidak mustahil menjadi hancur,” katanya.
 
Mungkin ia boleh kita renung bersama. Selamat Tahun Baru Hijrah, semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan melangkah ke penghidupan yang lebih baik.