Orang Filem Bukan Peminta Sedekah

December 5, 2006

 
Bintang: “Orang Filem Bukan Peminta Sedekah”
Adam Salleh; HARIAN METRO, (05 Disember 2006)
 
TANGGAPAN penerbit filem tempatan begitu ‘menagih’ dana kerajaan perlu diperbetulkan bagi mengelak mereka dilabelkan sebagai golongan yang suka menghabiskan duit rakyat. Tokoh Perfileman Finas 2006, Deddy M Borhan berkata, sekalipun dana itu diperolehi tetapi ia bukanlah percuma, sebaliknya akan dibayar pinjaman itu kembali.
 
“Sebagai penerbit filem bersendirian, kita memang memerlukan bantuan. Melalui Finas yang menyediakan Dana Skim Pinjaman Filem Cereka itu, peluang untuk penerbit mendapatkan dana itu terbuka luas. Cuma melalui cakap-cakap yang sering dikaitkan penerbit filem dengan dana, ia boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat pada orang filem.
 
“Kami (penerbit filem) mendapat dana itu bukan free, (percuma), kita sebenarnya pinjam wang kerajaan, kemudian kita bayar kembali, malah dikenakan bunga lagi. Orang filem bukan peminta sedekah, ini harus dijelaskan pada rakyat,” kata Deddy pada rancangan Fenomena Seni di TV1 baru-baru ini, yang bertajuk “Sampai Bila Kena Bantu?”
 
Deddy yang pernah mencipta kegemilangan melalui filem terbitan syarikatnya, Sabah Filem Production (SFP) pada era70-an dan 80-an, berkata pahit getir menerbitkan filem sebenarnya memberi kekuatan kepada dirinya.
 
“Ketika saya menerbitkan filem dulu, tidak ada Finas. Kami terpaksa merangkak dan tebalkan muka berjumpa tauke pawagam untuk membolehkan filem kami ditayangkan. Bukan mudah, malah saya biasa disindir tauke pawagam ini, apakah filem yang saya terbitkan itu boleh jual berbanding filem Hindi, filem Hollywood, Hong Kong dan Indonesia.
 
“Malah pernah filem saya mahu ditayangkan pada bulan puasa. Saya katakan pada tauke itu, jika begini teruklah saya sebab orang Melayu tak tengok wayang pada bulan puasa. Penerbit filem memang perlu dibantu,” katanya.
 
Pelakon dan pengarah, A R Badul berkata hasrat untuk memberi bantuan itu baik tetapi sudah tiba masanya Finas membuat ‘post mortem’ kerana tidak semua penerbit filem mendapat bantuan yang dijanjikan.
 
Menurutnya, bantuan mempunyai skop yang luas, justeru ia tidak boleh dijuruskan pada pinjaman wang semata-mata. Sedangkan pelbagai birokrasi dihadapi penerbit filem tempatan, menuntut bantuan berpanjangan dari kerajaan. “Bantuan buat filem bukan setakat RM50,000 atau RM100,000, tetapi lebih RM1juta. Kalau penerbit filem tempatan minta bantuan, bagi saya itu biasalah malah ada kontraktor pun pinjam duit kerajaan bukan dari sedara maramereka.
 
“Bantuan untuk penerbit filem bukan tidak cukup, tetapi tidak dapat. Kalau syarikat yang dapat pun cuma dua tiga pihak tertentu saja, malah saya sendiri pun tidak pernah dapat bantuan itu. Bunyi saja bantuan, tetapi hakikatnya tiada. Apa yang saya khuatir isu bantuan ini digambarkan seolah-olah orang filem ini seperti peminta sedekah,”katanya.
 
Selain Deddy dan A R Badul, Fenomena Seni yang diterbitkan oleh Mohd Zamani Ibrahim turut mengundang panel dari ahli akademik juga Pensyarah Media Universiti Malaya(UM), Dr Abu Hassan Hasbullah.
 
Menurut A R Badul, selain dana penerbit filem tempatan perlu dibantu kearah pembentukan satu kumpulan pemasaran. Baginya, sekalipun filem itu bermutu tetapi jika strategi pemasaran tidak menjadi, penerbit akan kerugian. “Tidak ramai penerbit filem kita mampu mengiklankan filem mereka untuk promosi di TV. Untuk tayangan 30 saat diT V, bayaran dikenakan sebanyak RM15,000, memang kami tidak mampu. Masalah dengan penapisan filem, kos pembelian filem serta proses tatawarna filem yang kian mahal, sememangnya menuntut bantuan,” katanya. Disebaliknya A R Badul mengingatkan golongan akademik agar membantu meningkatkan mentaliti orang filem.
 
Topik Sampai Bila Kena Bantu agak panas sebaik pengacara tetap, Rosyam Nor membuka bicara melalui pandangan e-mel daripada peminat yang mempersoalkan sikap penerbit filem yang asyik dibantu tanpa ada usaha untuk berdikari.
 
Seorang peminat memperkenalkan dirinya Jaafar dari Johor mengibaratkan penerbit filem tempatan seperti bayi yang perlu disuapkan makan, sedangkan pelbagai bantuan sudah disediakan Finas sejak sekian lama.
 
Selaku Ahli Lembaga Finas, Dr Abu Hassan berkata berbanding negara jiran khususnya Thailand dan Indonesia, karyawan filem di tanah air ini lebih beruntung kerana dengan adanya Finas organisasi filem dapat diselaras dengan baik. Bagaimanapun dia sedar pengertian bantuan itu tidak dinilai menyeluruh kerana fokus lebih ke dana disediakan itu.
 
“Perhatian kita cuma pada produksi, hingga kita terlupa pada aspek penyelidikan, membangunkan pengajian filem dalam usaha untuk membina platform baru untuk orang filem. Pemikiran orang filem juga harus berubah untuk berjumpa orang akademik supaya dapat kita membangkitkan semangat nasionalisme antara produksi dan pemamer,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: